Firaun menoleh ke arah Haman dan mengeluarkan perintah kepadanya. “Aku mahu kau membina sebuah bangunan yang tinggi mencakar langit. Tingginya itu haruslah mencapai ke pintu-pintu langit. Aku hendak naik dan melihat bagaimanakah rupa Tuhan Musa itu. Bukankah Tuhan Musa itu berada di atas langit?” “Saya akan melaksanakan perintah tunku itu. Saya akan segera mengumpulkan jurutera-jurutera, beribu-ribu tukang batu dan tukang kayu untuk membinanya,” kata Haman, berjanji kepada Firaun. Setelah bertungkus lumus membina bangunan itu, maka siaplah bangunan yang tinggi hinggakan puncaknya tidak kelihatan. Sebaik sahaja bangunan itu siap, Firaun pun segera naik ke tingkat yang paling atas dan memerintahkan supaya dibuatnya anak panah untuknya.
|