DAN berkatalah Firaun,
“Hai Haman, buatkanlah bagiku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu, (iaitu) pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta...” (al-Mu’min: 36-37)
PADA suatu hati, Firaun memerintahkan para menteri serta para pemimpin di Mesir berkumpul di istananya. Firaun mengeluarkan perintah kepada Haman, iaitu salah seorang menterinya, supaya mengetuai pertemuan tersebut. Firaun tidak berpuas hati dengan seruan Nabi Musa yang menyatakan bahawa hanya Allah sahaja yang layak disembah. Firaun mahu semua rakyat menyembah dirinya sahaja. Dia mendakwa dirinya adalah tuhan yang memerintah seluruh alam itu. Sebaik sahaja semua rakyatnya berkumpul, Firaun terus berkata, “Hai Haman, adakah aku ini seorang pendusta?” “Tidak ada seorang pun yang berani menentang tuanku,” Kata Haman. Firaun berkata dengan marah, “Tetapi Musa berani menentang aku. Musa pernah mengatakan bahawa ada Tuhan lain selain aku di langit.” “Wahai tuanku, sesungguhnya Musa itu berbohong,” kata Haman lagi. “Aku sudah mengetahui bahawasanya dia berdusta.”
|