|
Seorang bomoh lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan merogol isteri orang sebanyak tiga kali awal bulan lepas.
Leong Lai Keong, 52, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Utusan Online melaporkan, Lai Keong didakwa telah mendorong seorang perempuan berusia 40 tahun 11 bulan untuk merelakan dirinya dirogol.
Sekiranya tidak mengikut kehendak tersebut, mangsa dan keluarganya akan ditimpa bencana.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah hotel pukul 4.30 pagi, 22 Jun lalu, di Bilik 101.
Leong Lai Keong, Foto: Utusan Online
Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mela-kukan perbuatan serupa di sebuah tokong buatan di Tingkat 1, Bangunan Kedai di Jalan Kebun Sultan, pada pukul 6.30 pagi, keesokan harinya dan pukul 6.30 pagi, 29 Jun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 375(C) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mangsa mengenali bomoh berasal dari Kedah itu pada awal Mei lalu.
Kemudian mangsa menjalani rawatan pertama di sebuah chalet di Pantai Cahaya Bulan di sini dengan upacara mandi bunga bagi 'membuang sial' dan suka meracau selepas terkena ‘buatan orang’. -CARI |
|