|
JERANTUT - Kejadian curi durian di daerah ini semakin menjadi-jadi ekoran faktor peningkatan permintaan terhadap raja buah itu sejak beberapa minggu lalu.
Beberapa pemilik dusun di daerah ini ketika ditemui semalam mengakui terdapat banyak kejadian kehilangan durian yang dipercayai dicuri pada waktu malam.
Menurut Abdul Azim Abdul Ghani, 21, kehilangan durian di dusun milik bapanya di sini kerap berlaku sejak beberapa hari lalu ketika mereka memulakan kerja mengutip raja buah itu pada waktu pagi.
"Beberapa hari sebelum itu, ada banyak buah yang menunggu masa untuk gugur tapi apabila hendak dikutip, buah tidak ada.
"Kalau di dahan sudah tidak ada buah, itu maknanya ia sudah gugur tapi di tanah pun tidak ada. Kami percaya ada kecurian buah durian di dusun," katanya.
Sehubungan itu, Abdul Azim berkata, dia bersama rakannya, Mohd Ikhwan Afendi Md. Daud, 21, terpaksa berjaga di pondok yang dibina di dusun berkenaan untuk membuat pemantauan.
"Kami bina pondok dan tidur secara bergilir untuk mengutip dan menjaga durian yang gugur.
"Pencuri mahu ambil kesempatan disebabkan banyak permintaan kerana harganya yang sangat murah ketika ini," tambahnya.
Ujarnya lagi, terdapat 50 pokok durian pelbagai jenis di dusun seluas empat hektar milik bapanya di Kampung Ulu Cheka di sini.
"Hasil yang dikutip, kami jual RM4.00 hingga RM8.00 sekilogram mengikut jenis durian. Pendapatan hasil jualan pun boleh cecah RM500 sehari," jelasnya. - K! ONLINE |
|