“Itu memang tidak betul. Itu bukan dia. Tak. Sah, itu bukan (suara) suami saya."
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertegas menafikan beberapa klip audio tular yang mirip suara suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Foto: IG Dr Wan Azizah
Memetik Astro AWANI, Presiden PKR itu turut mengesahkan bahawa Anwar yang sudah mendengar klip audio berkenaan turut menafikannya.
Dr Wan Azizah berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Parlimen, semalam.
Menerusi audio berkenaan, kedengaran suara mirip Ketua Umum PKR itu kononnya mengakui meminta Rafizi Ramli mencabar Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Azmin, bagaimanapun mendakwa tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
“Tak dengar, tak tengok, tak tahu,” katanya.
Klip itu turut mempersoalkan pelantikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Khazanah Nasional Bhd yang baru selain mengutuk keras hubungan baik antara beliau dan Azmin.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan beliau tidak mencampuri urusan PKR, sekaligus menolak dakwaan berkomplot dengan Azmin untuk menjatuhkan Anwar.
"ernahkah anda melihat yang bercakap buruk tentang Anwar atau Azmin atau orang lain? Ini parti mereka. Saya tak campur tangan," katanya. - CARI |