CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1920|Reply: 2

Proses Kejadian Manusia Pertama: Keselarian antara Al-Qur'an dan Penemuan Sains

  [Copy link]
Post time 16-8-2018 02:00 AM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
Edited by mays_lurdab at 16-8-2018 07:28 AM

Walaupun terdapat pelbagai bukti tentang kebenaran ayat-ayat suci Al-Qur'an, namun masih terdapat golongan yang cuba menyebarkan keraguan terhadap kesahihannya. Golongan ini berusaha sedaya-upaya untuk membuktikan bahawa Al-Qur'an bukanlah daripada Tuhan Pencipta Alam tetapi hanyalah ciptaan Nabi Muhammad (S.A.W), yang dibantu oleh sebilangan orang. Pelbagai alasan dikemukakan oleh golongan ini termasuk menyertakan bukti-bukti saintifik bagi menyokong pendapat mereka. Mereka cuba menjauhkan manusia daripada mengenali Al-Qur'an juga mendalaminya. Antara isu yang sering dibangkitkan untuk menimbulkan keraguan adalah penjelasan Al-Qur'an tentang asal-usul manusia yang tidak selari dengan penemuan sains terkini. Maka menjadi tanggungjawab mereka yang berilmu walaupun hanya secebis, untuk memberikan penjelasan secara saintifik agar manusia sentiasa yakin bahawa Al-Qur'an bukanlah ciptaan manusia tetapi wahyu daripada ALLAH, Pencipta Seluruh Alam.

Semasa kanak-kanak, penulis selalu diperdengarkan dengan kisah penciptaan manusia pertama daripada tanah. Berbagai-bagai versi cerita yang telah penulis dengar. Malah sehingga ada yang mengada-adakan cerita dengan mengisahkan penciptaan manusia itu bermula daripada tanah liat. Kemudian dibentuk menjadi seperti patung manusia. Seterusnya ditiupkan roh, lalu jadilah ia manusia hidup yang mempunyai tulang,  daging, urat, otot dan roh. Namun bagi penulis yang telah terdedah dengan ilmu genetik dan biologi molekul, penjelasan tersebut masih belum dapat memuaskan hati dan masih jauh daripada kebenaran. Atas dasar alasan untuk mencari kebenaran,  maka bermulalah pencarian penulis bagi mengumpulkan sebanyak-banyaknya bukti saintifik yang mempunyai perkaitan tentang keselarian antara Al-Qur'an dan penemuan baru secara saintifik.

Ilmu sains terkini secara ringkasnya menyatakan manusia dan semua benda hidup berasal daripada leluhur yang sama iaitu sel asas yang berkembang menjadi organisma yang lebih maju dan kompleks. Teori Neo Darwinisma mengatakan bahawa semua benda hidup mula terbentuk bermula daripada bahan-bahan kimia tidak hidup yang terkumpul dalam sebuah takungan air yang hangat (warm little pond) lalu membentuk bahan genetik. Seterusnya bahan genetik tadi dilingkungi buih-buih lipid untuk membentuk sel-sel ringkas. Sel-sel ringkas tersebut sentiasa bertukar-tukar bahan genetik dengan sel ringkas yang lain sehingga menjadi stabil dan dapat hidup lebih lama. Struktur membran sel yang sebelumnya dinamik untuk memudahkan pertukaran bahan genetik berubah menjadi tetap. Sel-sel yang mempunyai membran sel yang tetap ini pula menjadi organisma unisel yang akan berevolusi menjadi organisma multisel dan seterusnya berkembang menjadi spesies-spesies yang wujud di atas muka bumi ketika ini.  

Pengetahuan saintifik ketika ini kelihatan seperti bercanggah dengan Al-Qur'an kerana Al-Qur'an menyatakan asal-usul manusia itu adalah daripada tanah. Tambahan pula, ayat-ayat Al-Qur'an yang menerangkan tentang penciptaan manusia mempunyai perincian yang berbeza dan tidak konsisten. Sebagai contoh ayat Al-Qur'an surah ke 25 ayat ke 54 (QS 25:54) menyatakan manusia berasal daripada air, QS 15:26 manusia diciptakan daripada tanah liat kering, daripada lumpur hitam dan QS 55:14 daripada tanah kering seperti tembikar. Namun hal tersebut dapat dirungkai melalui satu artikel yang diterbitkan dalam majalah As Syariah edisi pertama bertarikh 9 November 2011 bertajuk Hikmah Penciptaan Adam yang menjelaskan perbezaan perincian tersebut adalah untuk menjelaskan peringkat-peringkat kejadian manusia secara lebih terperinci. Disertakan di bawah ini adalah petikan daripada artikel tersebut:-  

Dalam proses penciptaan Adam itu juga dijelaskan, Allah menggenggam seluruh bumi dalam satu genggaman baik tanah yang lunak maupun yang keras, serta yang baik maupun yang buruk. Ini dimaksudkan agar keturunannya sesuai dengan tabiat-tabiat ini.  Maka jadilah dia pada awalnya sebagai tanah. Lalu Allah lemparkan air sehingga menjadi lumpur. Setelah sekian lama, berubahlah menjadi lumpur hitam yang baunya pun ikut berubah. Lalu Allah keringkan setelah dibentuk menjadi semacam tembikar (tanah liat kering) yang memiliki bunyi.

Dalam proses ini, dia adalah sebuah jasad tanpa roh. Ketika penciptaan jasmaninya telah sempurna, Allah meniupkan roh kepada jasad itu. Berubahlah jasad itu dari benda mati menjadi sesuatu yang hidup, yang memiliki tulang, daging, urat, otot, dan roh.

Walau bagaimanapun, penulis masih belum dapat menemui sebarang fakta saintifik yang dapat dikaitkan dengan ayat-ayat Al-Qur'an yang di atas. Sehinggalah pada tahun 2015, telah terbit sebuah buku bertajuk 'A New History of Life' karangan Profesor Peter Ward dan Profesor Joseph Kirshvink. Kedua-dua pengarang ini adalah saintis yang banyak mengkaji tentang asal-usul fosil dan batuan di bumi. Buku ini banyak menerangkan tentang proses kejadian bumi dan benda hidup secara sistematik mengikut bukti-bukti fosil dan umur batuan yang telah ditemui oleh para saintis. Selain itu,  buku ini juga menerangkan pelbagai teori tentang asal-usul benda hidup yang pernah diusulkan oleh para saintis sama ada melalui jurnal-jurnal saintifik mahupun buku-buku ilmiah. Tetapi apa yang menarik tentang buku ini dan penulis ingin kongsikan bersama  adalah tentang suatu hipotesis alternatif tentang asal usul benda hidup yang mempunyai persamaan dengan proses penciptaan manusia yang pertama yang diceritakan dalam Al-Qur'an.

Berbeza dengan teori Neo-Darwinisme yang mencadangkan asal-usul benda hidup bermula dari takungan air di permukaan bumi, hipotesis alternatif ini pula mencadangkan semua benda hidup berasal dari dasar laut. Hipotesis ini dikenali sebagai hipotesis asal-usul benda hidup daripada lohong hidrotermal alkali dasar laut (bagi mendapatkan lebih kefahaman,  pembaca boleh menonton video tentang hipotesis alternatif ini di utube di bawah tajuk "Origin of Life"). Secara ringkasnya mengikut teori ini, semua benda hidup adalah berasal daripada struktur lantai laut yang menyemburkan air panas. Lantai laut yang mempunyai rekahan-rekahan akibat kesan pergerakan plat tektonik akan menyebabkan air laut memasuki dasar laut dan akan dilepaskan semula melalui lohong hidrothermal. Tempat-tempat keluar air panas ini akan membawa mineral daripada dasar laut termasuk ferum yang menjadikan lohong hidrothermal tersebut diliputi gel atau bahan seakan-akan lumpur hitam. Akibat pengeluaran air panas yang kerap,  mineral tadi akan terkumpul dan membentuk struktur silinder/serombong seperti tembikar yang tumbuh menegak ke atas daripada dasar laut.

Pengetahuan tentang proses sebenar penciptaan manusia terawal hanya ada pada ALLAH. Namun apa yang ingin penulis kongsikan adalah penjelasan yang paling mungkin tentang proses kejadian manusia pertama berdasarkan penemuan saintifik terkini dan keterangan ayat-ayat Al-Qur'an. Sebelum kita membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam,  ada baiknya pembaca yang bukan dalam bidang biologi atau sains hayat dapat mengetahui sedikit sebanyak tentang bahan genetik. Hal ini kerana hasil penelitian penulis,  apa yang diterangkan dalam Al-Qur'an tentang penciptaan manusia adalah bermula dengan penciptaan bahan genetik atau banyak yang kita dengar sekarang ini sebagai DNA. Apakah fungsi DNA? DNA atau bahan genetik adalah 'blueprint' atau pelan asas kepada sesuatu benda hidup. Jika kita mengambil contoh pembinaan sebuah bangunan,  arkitek akan menyediakan pelan asas atau 'blueprint' berdasarkan kehendak pemilik bangunan. Daripada pelan asas tersebut,  kontraktor pembinaan akan mentafsirkan pelan tadi kepada para pekerjanya sehingga tersergamnya bangunan tersebut di akhir projek pembinaan tersebut. Berbalik kepada bahan genetik,  ia sebenarnya berbentuk seperti rantaian panjang yang mengandungi kod-kod asas bahan kimia yang boleh disingkatkan namanya dalam bentuk huruf A, G, T dan C. Kod-kod asas ini disusun sebegitu rupa supaya dapat diterjemah dalam bentuk asas protin yang membentuk jasad semua benda hidup. Ibarat sebuah pita rekod (tape recorder) atau cakera padat (CD) yang menyimpan kod-kod magnetik atau kod-kod digital,  rantaian yang mengandungi kod-kod genetik akan dibaca oleh proses kimiawi membentuk bahagian-bahagian badan sesuatu benda hidup semasa proses tumbesarannya seawal kejadian benih sehinggalah benda hidup tersebut mati dan dalam waktu yang sama menghasilkan anak-anak yang mewarisi genetiknya untuk kelangsungan keturunannya.

Oleh itu peringkat pertama kejadian benda hidup dan manusia adalah bermula daripada penghasilan kod-kod genetik (bahan genetik) yang seterusnya menjadi air mani atau benih manusia yang pertama yang akan melekat pada suatu tempat yang kukuh seperti ayat Al-Qur'an di bawah:-

QS (Al-Mukminun)
23:12 Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia daripada saripati (berasal) daripada tanah.
23:13 Kemudian Kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh

Penemuan-penemuan terbaru  dalam kajian tentang Asal-Usul Benda Hidup (The Origin of Life),  telah mendapat pelbagai bukti bahawa bahan genetik benda hidup dapat terhasil daripada struktur terbuat daripada tanah seperti dalam petikan buku "The New History of Life" yang menyatakan:-

The idea that mineral surfaces could act as templates for life’s formation is not new. The faces of these flat minerals such as clay and crystals of silicate minerals or pyrite could have been microscopic regions where early organic molecules could have accumulated. As envisioned by geologist A. G. Cairns-Smith some decades ago, the earliest life would have had several characteristics: it could evolve, it was “low-tech,” with few genes (sites on the DNA molecule that code for the formation of specific proteins) and little specialization, and it was made of geochemicals, arising from condensation reaction on solid surfaces, either from pyrite or iron sulfide membranes. Yet many students of early life remain skeptical of this scenario, particularly as the organic takeover lacks a process involving natural selection through which it might evolve.

Namun,  pemikiran sekular kebanyakan saintis barat yang tidak percaya kepada kitab suci Al-Qur'an telah mewujudkan teori dan hipotesis yang lebih cenderung dengan pendapat bahawa manusia dan semua benda hidup terbentuk secara semulajadi. Namun jika para saintis pada masa kini dapat menukar perspektif pemikiran dan mempercayai bahawa manusia itu diciptakan oleh Tuhan, mereka tentunya akan mendapati kebanyakan penemuan-penemuan baru tersebut sebenarnya adalah selari dengan Al Qur'an.

Merujuk kepada perenggan pertama daripada artikel Majalah As Syariah di atas iaitu:
Dalam proses penciptaan Adam itu juga dijelaskan, Allah menggenggam seluruh bumi dalam satu genggaman baik tanah yang lunak maupun yang keras, serta yang baik maupun yang buruk. Ini dimaksudkan agar keturunannya sesuai dengan tabiat-tabiat ini.

Jika diteliti, proses kejadian manusia yang pertama ini seolah-olah berlaku di bumi. Mungkin hal ini memerlukan penjelasan yang lebih mendalam. Namun perkara ini juga tidak mustahil seperti yang dijelaskan oleh Profesor HAMKA yang telah menerangkan secara panjang lebar dalam Tafsir Al-Azhar apabila menafsirkan ayat-ayat Al-Qur'an daripada Surah Al Baqarah yang menerangkan tentang penciptaan Nabi Adam.

Merujuk kepada buku "A New History of Life", pengarangnya menjelaskan pada suatu ketika sebelum manusia wujud telah berlaku beberapa kali fenomena kepupusan benda hidup secara besar-besaran (Mass Extinction)  di atas muka bumi,  dan pernah terjadi keseluruhan muka bumi diliputi ais menghasilkan struktur yang dipanggil "snowball". Mungkin inilah yang dimaksudkan "Allah menggenggam seluruh bumi dalam satu genggaman" sebagai salah satu proses menciptakan manusia. Tujuannya mungkin untuk menyediakan bumi dengan segala keperluan dan bahan yang perlu sebelum penciptaan makhluk yang bernama manusia itu.

Dalam perenggan kedua daripada artikel Majalah As Syariah pula menyebut:-

Maka jadilah dia pada awalnya sebagai tanah. Lalu Allah lemparkan air sehingga menjadi lumpur. Setelah sekian lama, berubahlah menjadi lumpur hitam yang baunya pun ikut berubah. Lalu Allah  keringkan setelah dibentuk menjadi semacam tembikar (tanah liat kering) yang memiliki bunyi.
Perenggan ini merujuk kepada ayat-ayat Al-Qur'an seperti berikut:-

QS (Al-Hijr)
15:26 Dan sunguh, Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk.
15:28 Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Sungguh, Aku akan menciptakan seorang manusia  dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk.
15:33 Ia (Iblis) berkata, "Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk."

Hipotesis lohong hidrothermal ini menyatakan proses pembentukan sel terawal bermula dalam air di bawah dasar laut. Dasar laut yang kebiasaannya daripada jenis tanah liat (smectite) pada lokasi pergerakan plat tektonik akan mempunyai struktur tanah yang nipis dan biasa berlaku rekahan. Rekahan ini akan menyebabkan air laut yang mempunyai tekanan tinggi masuk dan bercampur dengan air panas daripada perut bumi menyemburkan air panas melalui lohong hidrothermal. Penyemburan air panas daripada perut bumi ini membawa sekali mineral-mineral bumi termasuk nikel dan ferum menyebabkan terbentuknya bahan seperti gel berwarna hitam yang kelihatan seperti lumpur hitam. Bahan ini adalah seperti yang diterangkan oleh magma panas daripada perut bumi.  Percampuran air laut dan magma panas yang kaya dengan sumber galian seperti ferum akan menyebabkan tanah liat tadi menghitam dan bertukar menjadi struktur gel atau lumpur berwarna hitam yang dipanggil botroid. Struktur ini juga menjadi tempat semburan air panas (lohong hidrothermal) keluar daripada perut bumi keluar ke dasar laut.

Akibat kerapnya semburan air panas yang membawa mineral daripada perut bumi ini,  mineral tersebut akan terkumpul di sekitar lohong hidrothermal tersebut membentuk struktur tanah keras seperti tembikar. Keadaan ini selari dengan ayat Al-Qur'an seperti di bawah:-

QS (Ar-Rahmān)
55:14 Dia menciptakan manusia daripada tanah kering seperti tembikar

Bagaimana dengan perkataan tanah kering dalam ayat di atas, sedangkan struktur tersebut berada dalam air laut...agak mengelirukan bukan?  Namun jika diperhalusi perkataan ini,  mungkin ia membezakan antara tanah liat basah (yang mengandungi peratusan air yang tinggi), iaitu sebagai contoh, tanah liat yang biasa digunakan untuk membentuk barangan tembikar. Apabila ia dibakar pada suhu yang tinggi, maka ia menjadi tembikar yang mempunyai peratusan air yang sangat sedikit. Oleh itu perkataan tanah liat yang kering mungkin merujuk kepada struktur seperti tanah liat yang dibakar sehingga menjadi keras seperti tembikar dan tak boleh kembali semula kepada struktur tanah liat yang asal. Kandungan air yang sangat kurang inilah yang disebut sebagai tanah yang kering.

Kajian lanjut mendapati, struktur seperti tembikar ini mengandungi liang-liang poros bersaiz lebih kurang 2um yang permukaan dalamnya dilitupi mineral yang disebut 'iron pyrite' iaitu FeS2. Liang-liang poros dengan permukaan dalamannya yang dilapisi 'iron pyrite' ini penting dalam tindakbalas pembentukan rantaian DNA terutamnya disamping biomolekul-biomolekul asas yang lain untuk pembentukan sel-sel yang ringkas. Semburan daripada lantai laut akan membawa bahan-bahan asas yang diperlukan untuk pembentukan biomolekul asas manakala struktur serombong yang meninggi menyediakan tingkatan-tingkatan ruang tindak balas yang mempunyai suhu yang berlainan (dengan suhu semakin berkurangan apabila tingkatan semakin meninggi). Pada tingkatan terbawah dengan suhu yang paling tinggi adalah menempatkan ruangan pembentukan biomolekul-biomolekul asas, tingkatan seterusnya nukleotida, tingkatan seterusnya tempat pemanjangan nukleotida dan sehingga pada peringkat yang tertinggi pula menempatkan membran sel yang akan membungkus bahan genetik agar menjadi satu sel hidup yang akan menjadi sel benih atau air mani. Maka setelah sel benih terbentuk,  maka mulalah Nabi Adam tumbuh daripada sel benih tadi secara beransur-ansur seperti yang dijelaskan dalam Surah Nuh seperti berikut:

QS (Nūh)
71:17 Dan ALLAH menumbuhkan kamu dari tanah, tumbuh (beransur-ansur).

Sehingga ia membentuk jasad tanpa roh seperti yang dijelaskan dalam perengggan terakhir petikan daripada artikel Majalah As-Syariah:
Dalam proses ini, dia adalah sebuah jasad tanpa roh. Ketika penciptaan jasmaninya telah sempurna, Allah meniupkan roh kepada jasad itu. Berubahlah jasad itu dari benda mati menjadi sesuatu yang hidup, yang memiliki tulang, daging, urat, otot, dan roh.

Perkara di atas bertepatan dengan beberapa hadis dan juga maklumat saintifik berkaitan tempoh pembesaran embrio dalam tempoh 40 hari atau bulan yang pertama. Pada peringkat tersebut,  bayi hanya dalam bentuk seketul daging dengan saiz yang sangat kecil.  Selepas ditiupkan roh,  maka jadilah ia sebagai sesuatu yang hidup dan tumbuh membesar sehingga kepada peringkat tulang,  daging,  urat,  otot dan roh. Walau bagaimanapun, tiada sebarang bukti saintifik yang jelas dapat dikaitkan dengan proses pembesaran manusia dalam lohong hidrothermal.  Semuanya hanya ada dalam pengetahuan ALLAH yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Namun begitu terdapat penemuan tentang spesis misteri di bawah dasar laut yang dinamakan Cacing Tabung Raksasa (Giant Tube Worm; Riftia pachyptila) yang mampu hidup dalam kawasan lohong hidrothermal. Antara ciri utama cacing misteri ini adalah ia mempunyai struktur tubuh berbentuk tiub dan mampu mencecah kepanjangan melebihi 2 meter. Lebih misteri,  di bahagian hujung tubuhnya mempunyai struktur yang mengandungi hemoglobin yang berfungsi dalam proses mendapatkan oksigen untuk keperluan tubuhnya. Cuma apa yang berbeza dengan hemoglobin manusia,  selain dapat menyerap gas oksigen dan karbon dioksida, ia mampu menyerap gas hidrogen sulfida (H2S) yang penting dalam penghasilan asid amino dan nutrien lain untuk cacing ini hidup seperti organisma lain.  Berbeza dengan organisma lain yang memperoleh nutrien sama ada melalui pemakanan atau fotosintesis,  organisma ini menggunakan bantuan bakteria kemosintesis yang menghasilkan nutrien  melalui tindakbalas kemosintesis. Bermaksud, organisma ini dengan bantuan bakteria kemosintetik mampu menyediakan nutrien atau makanannya sendiri dalam persekitaran yang mempunyai bahan-bahan asas yang terhad sehingga mampu membentuk struktur tubuh yang agak besar berbanding organisma yang lain yang hidup di kawasan hidrothermal.

Walau pun masih belum ditemui sebarang perkaitan antara Riftia pachyptila dengan pembentukan organisma kompleks, namun secara logik akal perkara tersebut tidak mustahil untuk berlaku.  Penerokaan manusia ke dasar laut masih belum sampai ke peringkat 100%. Buktinya ialah dalam usaha pencarian kapal terbang MH 370 yang hilang secara misteri,  walaupun melibatkan usaha pelbagai negara dan teknologi yang canggih,  namun keseluruhan data yang diperolehi dan dapat dianalisa tidaklah mampu mencapai sehingga keseluruhan ruang dasar laut, malah hanya dapat memberi fokus kepada ruang-ruang tertentu sahaja. Keupayaan manusia dan teknologi sedia ada belum dapat meneroka keseluruhan permukaan dasar laut kerana struktur dasar laut yang kadang-kala membahayakan nyawa peneroka. Mungkin sedikit masa lagi kita akan dikejutkan dengan penemuan-penemuan baru daripada penyelidikan dasar laut untuk melengkapkan kisah kejadian asal-usul manusia ini. Memadailah kita sebagai seorang muslim mempercayai dan sentiasa yakin bahawa apa yang tersebut dalam Al-Qur'an itu bukanlah rekaan Nabi Muhammad S.A.W,  tetapi ayat-ayat yang langsung daripada ALLAH PENCIPTA seluruh alam.

Wallahualam.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 16-8-2018 06:41 AM From the mobile phone | Show all posts
Good info!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-8-2018 07:29 AM From the mobile phone | Show all posts
CikNano replied at 16-8-2018 06:41 AM
Good info!

Thanx CikNano
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 08:29 AM GMT+8 , Processed in 0.698934 second(s), 29 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list