|
KELANTAN tegas dengan pendirian memerangi kegiatan lelaki berkelakuan wanita atau pondan di negeri itu.
Malah, Ketua Hakim Syarienya, Datuk Daud Muhammad berkata, tindakan boleh dikenakan termasuk kepada pihak luar yang berkunjung ke negeri itu untuk melakukan kegiatan berkenaan.
Katanya, Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 memperuntukkan pesalah boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sekurang-kurangnya enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Tidak pasti sama ada negeri lain mempunyai undang-undang begini, namun di Kelantan, kita ada peruntukan yang jelas melarang sesiapa yang berpakaian atau berlagak seperti pondan di tempat awam dan mereka boleh didenda dan dipenjara.
“Terpulang kepada mereka (lelaki itu) jika mereka ingin kelihatan seperti perempuan di rumah tetapi jangan di tempat awam.
“Ia adalah satu kesalahan serius,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pentauliahan 31 Peguam Syarie di Jabatan Mahkamah Syariah di Tunjong di Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pendakwa Syarie Kelantan Zaini Sulaiman.
Mengulas lanjut, Daud percaya pondan masih wujud di negeri itu berikutan beberapa faktor termasuk pergaulan bebas lelaki dan perempuan selain kurang perhatian daripada ibu bapa sejak kecil.
“Ketika saya berkhidmat sebagai Ketua Penguat kuasa Agama Negeri pada 1980-an lagi sudah ada kes seperti ini, malah terdapat antara 40 hingga 70 pondan kita kesan.
“Pada zaman itu, kami sentiasa mengadakan dialog dan kaunseling untuk mendidik mereka. Sekarang ini saya percaya bilangan mereka mungkin sudah berkurangan daripada 1980-an,” katanya.
Menurutnya, operasi membabitkan pihak berkuasa untuk membanteras masalah itu dilihat kurang sehingga pondan di negeri ini bebas menjalankan ‘aktiviti’ mereka.
“Saya ingin menasihati pihak berkuasa tempatan terutama badan penguat kuasa supaya sentiasa menjalankan operasi dan memberi kaunseling kepada golongan ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 7:47 PM
|
|