Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui mati di dalam mesin pengering pakaian di rumahnya, lapor Mail Online.
Kredit foto: FB
Lebih menyedihkan, Brantley Lloyd ditemui bapanya, Chet, di dalam mesin berkenaan di rumahnya di Virginia, Amerika Syarikat (AS) pada 7 Ogos iaitu sehari selepas menyambut ulang tahun kelahiran ketiganya.
Menurut bapa mangsa, mood kanak-kanak itu tidak baik hingga dia dikatakan muntah-muntah kerana asyik menangis pada malam sebelum kejadian.
Dalam wawancara bersama Virginian Pilot, Chet mendakwa dia tidak tahu apa yang sudah berlaku.
Kredit foto: FB/Mail Online
"Dia tidak memberi sebarang respon dan tubuhnya berpeluh serta sangat panas.
"Saya tidak tahu jika dia panik dan gagal keluar dari mesin itu. Dia menghidap asma," katanya.
Chet mendakwa, mangsa mungkin memanjat masuk sendiri ke dalam mesin pengering itu ketika dia sedang tidur.
Menurut laporan, kira-kira jam 5 petang, satu panggilan kecemasan dibuat, namun tidak dikenal pasti sama ada panggilan dibuat Chet atau individu lain.
Brantley tinggal dengan bapanya sejak setahun setengah lalu. Ibunya, Amanda Ray berkata, dia tidak faham dengan kematian anaknya.
"Ianya tidak masuk akal. Saya tidak faham bagaimana anak saya mati di dalam mesin pengering itu," katanya.
Chet bebas dari dakwaan dan punca kematian kanak-kanak itu masih dalam siasatan.
Namun, laporan mengatakan Chet diusir pemilik rumah selepas kematian anaknya, tetapi tidak dapat dikenal pasti puncanya. - CARI |