CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

1234Next
Return to list New
View: 18528|Reply: 75

Menunggu

  [Copy link]
Post time 18-9-2018 07:56 PM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
Edited by KILL_NANCY at 25-9-2018 06:45 PM








ari itu, 10 April 1967, cuaca di daerah Higashiyama, wilayah Kyoto, sedikit berangin dan tidak sepanas di Tokyo. Di Tokyo ketika itu, gelombang panas yang melanda sudah mencanakkan suhu ke 40 darjah celsius. Cuaca panas kian terasa dengan ketidakpuasan hati penyokong-penyokong tegar parti sosialis Shakai Minshuto yang kecundang dengan parti konservatif-liberal, Jiyu-Minshuto atau terkenal dengan singkatan LDP. Maka dengan pengukuhan itu Eisaku Sato berjaya mengekalkan mandat rakyat bagi meneruskan tampuk pemerintahan negara untuk 3 tahun mendatang. Walaupun hampir empat bulan Pilihanraya Umum di Jepun berlalu iaitu pada tanggal 29 Januari 1967, cakap-cakap politik masih kedengaran di sekitar wilayah-wilayah di Jepun.

Di sebuah perkampungan di daerah Higashiyama, Isnin itu amat mendamaikan dengan kehadiran angin silir-semilir pagi meniup jambangan Igusa yang berkembang biak mengelilingi sebuah rumah Minka terletak tidak jauh daripada kuil Yasaka. Minka itu tidaklah terlalu kecil saiznya, agak selesa untuk didiami ibu tunggal beranak satu. Rumah tradisional Jepun itu bercirikan lantai tikar tatami yang diperbuat daripada jambangan Igusa, pintu gelongsor fusuma dan tapak beranda pula diperbuat daripada kayu-kayu engawa yang disapu cat licau keperang-perangan bagi menyerlahkan tona yang menawan.

" Pukkk .... !!! "

Yotanpo disepak lalu jatuh daripada katil futon yang empuk. Ibu yang berusia 60 tahun itu baru bangun daripada tidurnya, leher dan wajahnya sudah sedikit berkerunyut, rambutnya juga memutih, dan ada kerut merut di sudut-sudut matanya yang terlihat jelas di saat dia geliat-geliut, merentang-rentangkan anggota badannya. Misayo bangkit daripada katil futon, dia mendongak ke atas sambil matanya berkelip-kelip memandang ke siling kamar.

Silau mentari yang menerobos tiga daun jendela shoji yang ditutup dua lapisan langsir nipis di dalam bilik washitsunya, membuatkan dia terjaga daripada tidur. Misayo mencapai tuala mandi lalu dia membuka pintu gelongsor seluas-luasnya untuk ke kamar mandi. Semakin renta usia si ibu, semakin perlahan langkahnya, dia berasa sedikit bimbang ketika melintas ruang dapur apabila melihat rak piring lama yang mulai tidak kuat menahan perkakas dapur. Misayo sudah berkira-kira, dia akan menggunakan suku daripada gajinya bulan ini untuk membaiki rak yang usang itu .... Dia meneruskan langkahnya ke kamar mandi ....

" Ue o muite arukou, nijinda hosi o kazoete, omoidasu natsunohi, hitoribotchi no yoru .... " (Romaji)

" Aku melihat ke atas semasa aku berjalan, mengira bintang-bintang dengan mata yang berkaca, mengingati hari-hari musim panas, tapi malam ini aku sendirian .... "

Ibu itu menyanyi kecil rangkap lagu Ue o muite arukao didendangkan oleh Kyu Sakamoto daripada albumnya berjudul Sukiyaki yang amat terkenal di Jepun pada tahun 60-an. Liriknya ditulis oleh Rokusuke Ei yang ketika itu berjalan pulang daripada tunjuk perasaan oleh pelajar-pelajar Jepun terhadap kehadiran Tentera AS yang berterusan. Misayo menekap tuala tenugui di atas pemegang mushikamado, lalu diangkatnya periuk tanah liat itu ke atas para kayu berhampiran, penutup yang mungkum itu ditanggalkan, ibu itu menguis-nguis nasi itu dengan senduk supaya panasnya menyusut.

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-9-2018 08:02 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 19-9-2018 03:45 AM

@salmon-suki

@mesaipoya

@MeghanK
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-9-2018 08:04 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 19-9-2018 03:45 AM

@howaitotaiga

@Ipo

@seribulan

@samasam90
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-9-2018 08:05 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 25-9-2018 06:45 PM








idak semena-mena ....

" Okubo Shouta!!! Bangun!!! Nanti kamu lambat untuk ke Osaka!!! ", Misayo mengejutkan anak tunggalnya.

" Bangun!!! Cukuplah kamu bergolek di atas futon tu semalaman!!! Ibu dah siapkan tamago gohan. Nanti kamu tengok di atas meja ya ", tambah Misayo. Shouta pula hanya membisu tak berbunyi.

Pada seusia ini balu itu terpaksa bekerja untuk kelangsungan hidupnya. Suaminya seorang kerani bank telah lama meninggal dunia pada tahun 1932 di Tokyo, bahana bom tangan yang dilemparkan oleh pemberontak di ibu pejabat Bank Mitsubishi. Goichigo Jiken atau Peristiwa 15 Mei adalah percubaan coup d'etat yang dilancarkan dengan unsur-unsur ortodoks oleh Tentera Laut Diraja Jepun yang dibantu oleh sisa-sisa gerakan Liga Ultra Nasionalis. Peristiwa hitam itu juga telah meragut nyawa Perdana Menteri ketika itu, Inukai Tsuyoshi yang dibunuh oleh 11 pegawai muda tentera laut Jepun. Sehingga kini belum ada dapatan yang dapat mengesahkan kebenarannya, mahupun kajian epistemologi peristiwa tersebut.

Misayo menyiput sanggul rambutnya yang dipenuhi uban memutih. Sanggul itu diikat ketat-ketat dengan tali kesumba. Ibu itu memakai gelang sulau yang diperbuat daripada kulit-kulit kerang atau siput-siput laut, dikenakan seutas cincin perak bentuk bilak buai di jari manis tangan kanannya. Misayo bergegas ke ruang genkan. Dia membuka rak getabako lantas dicapainya sepasang selop getah untuk dipakai ke tempat kerja.

" Shouta ibu pergi dulu. Jangan lupa tamago gohan tu! ", Misayo meninggikan suara di sebalik jendela shoji di bilik anaknya. Dia menyelak sedikit celana monpenya hingga ke paras keting. Misayo menggatih engkol basikalnya maka gegancu basikal itu pun mulai berputar, ibu itu menuju ke Kota Kyoto, 2.3km dari Minkanya. Dia berlalu pergi ....

Di halaman Pejabat Kerajaan Wilayah Kyoto, sebatang pokok sakura berdiri megah seperti berdirinya Maharaja Hirohito atau dirujuk dengan marga keemasannya, Maharaja Showa. Si ibu terpesona dengan keindahan bunga-bunga sakura berkembang mekar beralun-alun dipuput angin nan lembut. Hari itu, adalah hari yang menggembirakan buat Misayo.

Sepanjang hari dia senyum sendiri-sendiri. Walau bibir tua itu merekah, namun terbentuk cantik dengan senyuman yang terukir, menonjolkan baris-baris gigi yang masih tersusun sekaligus memancarkan kelembutan di tampang wajahnya. Misayo membongkok sedikit lalu direndamkan sehelai tuala biru di dalam baldi yang berisi air sabun. Dia memerah tuala itu untuk membuang serapan air sabun lalu direntangkan luas-luas di permukaan kaca tesuki. Dia mengelap kaca jendela di luar kamar Gabenor itu dengan bersungguh-sungguh, dia mahu kaca tesuki yang bergelombang itu bebas daripada habuk dan segala kekotoran.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-9-2018 08:14 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 25-9-2018 06:46 PM








engahari itu ....

" Oba-san, saya lihat kamu tersenyum semenjak tadi. Kongsikanlah dengan saya ", seorang gadis genit tiba-tiba bersuara di belakang Misayo, gadis pertengahan 20-an itu berdiri pegun, dia mengenakan blaus bercorak bunga-bunga kuning hippy-esque dengan potongan 60's A-Line menyerlahkan keanggunannya sebagai penolong kerani untuk gabenor di Kyoto ketika itu, Torazo Ninagawa.

" Minami-sama, maaf. Saya tidak perasan kamu di belakang saya. Oh, hari ini adalah hari yang istimewa buat saya ", jelas Misayo, berkaca matanya memandang Minami.

Tiba-tiba ....

" Minami!!! Kau nak aku tukarkan kau di bahagian pembersihan ke? Biarkan si tua tu bekerja! " Leftenan Genki menempelak Minami, suaranya sengaja diparau menunjukkan ketegasannya dalam berbicara.

" Hei si tua! Selesaikan tugas kamu cepat! Sebentar lagi Gabenor Ninagawa akan tiba! Jangan lupa untuk kemaskan Dewan Utama! ", leftenan bengis itu menambah.

" Haaa .... Maafkan saya oba-san .... Saya pergi dulu ", Minami tidak mahu menyambung bicara dan mula mengangkat langkah untuk segera beredar dari situ. Misayo mengangguk kepalanya perlahan-lahan, tanda faham. Pun begitu, senyuman ibu itu masih tidak lekang daripada bibirnya.

Sebentar lagi, satu perbincangan meja bulat akan diadakan bersama Ahli Tertinggi Tentera Diraja Jepun yang berpangkalan di Kota Kyoto sejak sabtu nan lalu. Perbincangan berbentuk petisyen itu diketuai oleh Gabenor Torazo Ninagawa membincangkan perihal Doktrin Yoshida, samada ianya bermanfaat atau memberi kebejatan pada institusi jepunisasi ketika itu.

Doktrin Yoshida adalah strategi yang diterima pakai oleh Jepun selepas Perang Dunia II di bawah kepimpinan Perdana Menteri Shigeru Yoshida, perdana menteri pasca perang pertama di negara matahari terbit itu. Penstrukturan semula ekonomi domestik di Jepun akan menjadi tumpuan utama dengan bantuan bersama Amerika Syarikat yang bertindak sebagai penjamin keselamatan di negara itu. Mengindoktrinasikan sekularisme ke dalam fikiran segolongan penduduk-penduduk Jepun agak sukar untuk direncanakan.

Misayo sedang mengemaskan ruang Dewan Utama. Dia berdiri betul-betul di bawah hamparan siling oriage-kogumigo di mana lima tahun lalu seorang angkasawan soviet, Yuri Alekseyevich Gagarin pernah memberi ucaptama di situ. Ibu tunggal itu bersenandung kecil ketika menyapu permaidani merah yang berhabuk. Dia mahu tugasnya lekas-lekas siap. Hatinya meronta-ronta untuk pulang ke Minka kesayangannya, dia tidak mahu terlepas detik-detik yang penting dalam hidupnya. Hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu sepanjang tahun oleh Misayo, dia tidak akan sesekali mensia-siakan peluang tersebut.
Reply

Use magic Report

Post time 18-9-2018 08:15 PM | Show all posts
wow! speechless
karya yang sangat menarik
banyak benda dapat tahu dari citer ni


anyway, belajar sejarah Jepun ke dulu?
Pernah belajar or tinggal di Jepun ke?


soalannnn kemainnnn


I follow this story
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 18-9-2018 08:17 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 25-9-2018 06:46 PM








anorama yang tadinya terik kian berubah kelam. Sesekali, bunyi guruh kedengaran berlagu di kaki langit. Sebuah basikal Japan-Amerika Fuji laju menelusuri jalan di tebing Sungai Kamo. Jalan yang tidak berturap itu bergerek-gerek banyak lubangnya membuatkan kayuhan Misayo sedikit bergoyang. Hati ibu itu berbunga-bunga, dia tidak sabar untuk pulang dan bersiap-siap.

Sepanjang perjalanannya, dia menyapa hampir setiap orang yang lalu-lalang di hadapannya. Tidak kira tua mahu pun muda, perempuan atau lelaki, Misayo menyapa dengan ungkapan-ungkapan yang sangat lembut dan bermakna. Habis gerombolan anak muda yang menikmati cicipan di kedai-kedai papan ochaya di Gion turut disapanya. Mereka yang ralit mendengar lagu-lagu jazz Ella Fitzgerald daripada corong fonograf terus memandang wanita tua itu dengan penuh kehairanan.

" Yoi ichinichi wo!!! "

" Yoi ichinichi wo!!! "

" Yoi ichinichi wo!!! "

Misayo menyandarkan basikalnya di turus bambu Minka. Dia membuka pengunci selak di tengah-tengah daun pintu. Ibu itu langsung bergegas masuk ke lantai tataki, dia membuka rak getabako lalu di simpan selopnya kemas mendatar. Tanpa berlengah waktu, dia melintasi ruang genkan dan terus meluru ke kamarnya. Misayo hanya mengerling tamago gohan yang tidak terusik di atas meja chabudai di depan kamarnya.

Ibu itu lekas-lekas melucutkan pakaian, dia membuka gerobok lalu meranggeh jubah nagajuban untuk disarungkan ke batang tubuh tuanya. Matanya terlihat sehelai kimono berwarna merah yang diperbuat daripada sutera broked dengan corak burung jenjang di atasnya. Kimono uchikake itu adalah persalinan lengkap yang dihadiahkan oleh mendiang suaminya ketika di hari perkahwinan shinto mereka dahulu. Misayo mengelus-elus dahinya, kemudian membelai rambutnya dengan jari-jari yang kisut dan sedikit gelap sangai dengan terik mentari, lamunannya dihentikan kerana dia tak punya cukup masa.

Kimono merah itu sudah bertindan di atas nagajuban yang licin. Misayo mengepilkan lengan nagajuban bersama kimono dengan jarum peniti. Dilurut-lurutkan kimono itu dari atas ke bawah, ditarik-tariknya sedikit supaya ia menegang cantik. Misayo mengikat tali kashihimo yang diperbuat daripada bulu-bulu serow di Honshu di atas pinggulnya. Hati si ibu bukan kepalang riangnya, senyumannya tidak putus-putus sepanjang hari ini. Senyuman itu terpapar di tengah-tengah cermin di hadapannya, di setiap penjuru cermin itu tertulis " Akiramenaide! " atau " Jangan berputus asa! ", ungkapan itu jika ditinjau dari satu sisi ia satu dorongan untuk batang tubuh tua itu terus hidup.

Siput rambutnya diperkemaskan lagi, tali kesumba ditambah untuk unjuran yang lebih cekang. Klip bunga kanzashi kemerah-merahan disepitkan di bahagian rambut kiri memberi keseragaman pada kimononya. Ibu tua itu mengapai satu mangkuk yang berisi Beni. Beni adalah pigmen warna merah yang diekstrak daripada kelopak bunga Benibana. Benibana dikatakan berasal dari Lembah Sungai Nil di Mesir. Ia tersebar dari Timur Tengah ke India dan kemudian ke China melalui Silk Road, selepas itu bertandang ke Jepun pada pertengahan abad ke 3. Sebatang berus yang kuncup di hujungnya dicecahkan pada beni tadi, disapukan perlahan-lahan di bibir yang merekah itu. Disapunya rata-rata, disapunya lembut-lembut tetapi tidak selembut angin yang berkesiuran di sekitar Gion ketika ini ....
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-9-2018 08:18 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 25-9-2018 06:47 PM








emerencing bunyian rantai kusaridoi berliang-liuk ditiup angin. Pokok angin awan mendung yang bergulung-gulung di kaki langit menandakan angin ribut hendak turun sebentar lagi. Jarang sekali daerah Higashiyama ditimpa hujan semasa musim bunga .... Misayo menyapu telapak kakinya yang disalut tabi putih. Dia tampak sungguh menawan dengan kimono yang cantik terletak di tubuhnya. Ibu itu berjalan laju keluar daripada kamarnya, jelas bunyi derup-derap lantai tatami apabila kakinya menginjak-injak lantai itu. Ibu tunggal itu meluru ke lantai tataki, disarungnya capal zori di kakinya lantas disambar sebatang payung, dia pun keluar daripada Minkanya.

Hujan lebat menyapu kanopi taffeta Misayo. Ibu tunggal itu berdiri pegun membatu, betul-betul di tengah jalan di hadapan rumah Minkanya. Lilitan obi di pinggangnya sedikit basah bahana tempias hujan. Misayo sedang menunggu seseorang .... Seseorang yang tidak pernah muncul lagi .... Beberapa detik itu, titisan jernih meleleh di pipinya, tidak tertahan lagi hatinya, tidak lagi terbendung perasaannya. Senyuman tadi telah hilang dimamah kesedihan tidak terjangkau di lubuk hatinya.

Tampang wajahnya berubah sama sekali, menjadi guram, sugul dan tidak permai lagi. Setiap .... Setiap tahun, pada bulan yang sama, semenjak 22 tahun nan lalu, Misayo menunggu kepulangan Okubo Shouta anak tunggal kesayangannya. Dia tidak jemu-jemu menunggu walau sedikit pun, biar pun ada desas-desus tetangga mengatakan dia tidak waras. Misayo hanya berdiam diri, tidak membantah, tidak terasa hati dan dia tidak membenakan cakap-cakap orang. Tangan Misayo mula terketar-ketar, genggamannya semakin renggang, payung itu melorot jatuh ke tanah Gion. Basah habis kimononya.

" Pulanglah Shota .... Pulanglah Shota .... Ibu rindu sangat dengan Shota .... Sekali saja ibu minta, pulanglah peluk ibu ini. Ciumlah pipi ibu ....", bisikan hati Misayo meruntun jiwa sesiapa yang mendengarnya ....

Okubo Shouta adalah anak tunggal Misayo yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Jepun yang berpangkalan di pantai Tokimeki, Osaka. Pada tanggal 26 Mac 1945, Shouta telah terpilih mengikuti platun Perang Dunia II di Okinawa dalam Operasi Iceberg. Ia adalah sebuah pertempuran amfibia yang terbesar dalam sejarah di lautan Pasifik. Pertempuran di antara Tentera Laut Diraja Jepun dan Tentera Marin Amerika Syarikat berlangsung selama 82 hari, durasi peperangan itu dihitung dari 1 April hingga 22 Jun 1945, yang telah memusnahkan pulau-pulau di sekitar Okinawa dan Naha hampir 550km jauhnya. Peperangan yang diketuai oleh Jeneral Mitsuru Ushijima itu telah meragut ratusan ribu nyawa dan Shouta adalah salah seorang daripadanya.

" Dunia merasakan derita perang hanya ada di tangan kaum Yahudi kerana mereka dihapuskan Nazi. Sedangkan sengsara perang itu ada tidak jauh daripada kita. Kemeranaan Holocaust juga ada di Timur, ia telah wujud sekian lama tanpa kita pernah merasa penderitaan mereka."

Di kamar Shouta, di penjuru kanan katil futonnya, ada sebuah anak meja yang sudah lasam warnanya. Di atas anak meja itu terdapat sebuah bingkai gambar kecil yang tertangkup di bawahnya sepucuk surat kusam kekuningan. Surat kawat telegram yang disegel rasmi oleh Tentera Diraja Jepun, telah sampai ke tangan Misayo pada tanggal 5 Mei 1945 di mana tarikh surat itu tertera 10 April 1945 kira-kira 22 tahun nan lalu.






Disclaimer :

Cerita ini dikarang untuk mengenang penderitaan ibu-ibu yang telah kehilangan anak semasa perang, mengenang penderitaan anak-anak Himeyuri yang terbunuh dan cacat selepas peperangan di Okinawa. Juga sebagai penghargaan kepada 222 orang anak-anak Himeyuri yang diagihkan ke hospital-hospital sebagai bantuan mangsa Perang Dunia II.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 18-9-2018 08:21 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 19-9-2018 03:47 AM
Ipo replied at 18-9-2018 08:15 PM
wow! speechless
karya yang sangat menarik
banyak benda dapat tahu dari citer ni


terima kasih ipo.ya saya pernah bekerja di Kariya selama 3 bulan.
Reply

Use magic Report

Post time 18-9-2018 08:31 PM | Show all posts
KILL_NANCY replied at 18-9-2018 08:21 PM
terima kasih ipo.yang saya pernah bekerja di Kariya selama 3 bulan.

wow! mesti banyak pengalaman menarik ketika di sana
seriously, your writing are masterpiece

dapat rasa kesedihan seorang ibu yang menunggu kepulangan anak lelakinya bertahun-tahun


next story please!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-9-2018 08:31 PM From the mobile phone | Show all posts


Dah telefon mak korang hari ni?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-9-2018 08:34 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 18-9-2018 08:37 PM
Ipo replied at 18-9-2018 08:31 PM
wow! mesti banyak pengalaman menarik ketika di sana
seriously, your writing are masterpiece



lebih tepat lagi delusi seorang ibu.terima kasih banyak2 ipo sudi baca cerpen yang tak seberapa ni.

Reply

Use magic Report

Post time 18-9-2018 08:57 PM From the mobile phone | Show all posts
sedihnya...dia xdpt terima hakikat anak dia dah xada..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-9-2018 08:59 PM From the mobile phone | Show all posts
awaynepian replied at 18-9-2018 08:57 PM
sedihnya...dia xdpt terima hakikat anak dia dah xada..

terima kasih awaynepian sudi baca.
Reply

Use magic Report

Post time 18-9-2018 09:01 PM From the mobile phone | Show all posts
KILL_NANCY replied at 18-9-2018 08:34 PM
lebih tepat lagi delusi seorang ibu.terima kasih banyak2 ipo sudi baca cerpen yang tak seberapa  ...

Best cerita ni TT. Buat kami belajar sesuatu. Ada cerita lain lg? TT ceritalah lagi
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 18-9-2018 09:07 PM From the mobile phone | Show all posts
syidasaleh replied at 18-9-2018 09:01 PM
Best cerita ni TT. Buat kami belajar sesuatu. Ada cerita lain lg? TT ceritalah lagi

thanks syidasaleh sudi baca cerpen saya.

oh..ada satu cerita di sini.https://mforum.cari.com.my/forum ... 123663&mobile=2
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 18-9-2018 09:18 PM From the mobile phone | Show all posts
KILL_NANCY replied at 18-9-2018 09:07 PM
thanks syidasaleh sudi baca cerpen saya.

oh..ada satu cerita di sini.https://mforum.ca ...

Skrg jugak pergi baca. Thanksss
Reply

Use magic Report

Post time 18-9-2018 09:19 PM From the mobile phone | Show all posts
Sayang uols sebab nenyeru nama iols..
Reply

Use magic Report

Post time 18-9-2018 09:30 PM From the mobile phone | Show all posts
Best2. Nak lg
Reply

Use magic Report

Post time 18-9-2018 09:59 PM From the mobile phone | Show all posts
Dah talipon dah!
Btw, tq seru i walau x masuk noti

Cerita ni layak dapat
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 10:39 PM GMT+8 , Processed in 0.081206 second(s), 50 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list