CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 56036|Reply: 245

[Penulis] Nanga Parbat - Baca, Teka dan Sambung ....

  [Copy link]
Post time 24-9-2018 01:55 PM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
Edited by KILL_NANCY at 13-10-2018 03:58 AM

Bismi llahi r-ramani r-rahim ~



Cereka ini sebagai penghormatan kepada Hermann Buhl dan 84 lagi pendaki yang meninggal dunia ketika mendaki Nanga Parbat.



source :

Nanga Parbat Pilgrimage : The Lonely Challenge Book by Hermann Buhl

Nanga Parbat Wiki

In Some Lost Place : The first ascent of Nanga Parbat’s Mazeno Ridge by Sandy Allan

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-9-2018 01:57 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by seribulan at 24-9-2018 01:11 PM

@Ipo

@MeghanK

@salmon-suki

@syidasaleh

@catpaw

@shernazz

dan lain-lain

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 01:59 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:18 PM






ari itu, seorang wanita berusia lewat 20-an pulang ke rumah, di bibirnya terukir sebuah senyuman, maka terlihatlah barisan gigi putih, cantik tersusun. Terzahir sepasang lesung pipit di kiri dan kanan pipinya, kecacatan yang menggarap senyuman nan menawan.

Awin baru sahaja pulang dari sebuah klinik untuk menjalani ujian darah bagi mengenal pasti tahap HCGnya. Kedatangan haid yang lewat dan kerap demam mendorong Awin menjalani pemeriksaan di klinik berhampiran. Sudah 2 minggu usia kandungan Awin, tidak sabar rasanya untuk beliau mempersembahkan urita ini kepada Rejab, sang suami yang tersayang.

Duhai anak sulungku,
Sampai waktu kau buka mata,
Jejak ke dunia seperti dipinta,
Bahumu harus sekuat baja,
Hatimu harus setegar karang.


Namun....

Berbaki hanya dua bulan lagi untuk mereka terbang ke Pakistan, sebagai meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang baru mencecah satu tahun. Tidak sabar Awin untuk bercuti, melupakan sementara beban kerjanya di kilang milik 'Nippon' itu. Kilang itu yang mengangkat jepunisasi sebagai sistem tadbir mereka sudah cukup membuatkan Awin penat hari-hari. Kenapakah Pakistan menjadi pilihan lokasi mereka? Ya, minat mendaki gunung beraja di hati mereka. Pasangan yang bak bunga dengan perdunya ini berkongsi minat yang sama. Mereka gian untuk menawan puncak gunung bersama kerana ia menyajikan kepuasan yang tidak terhitung dengan kata-kata.

Melihat keindahan gunung, di sekitarnya dipenuhi salji menebal, di antara salji yang tebal itu berdirinya pohon-pohon pine, hijau dedaunannya, subtanah yang berhumus menjana nutrien pada pohon-pohon renek Artemisia, rumput subur berhimpang di dada Fairy Meadows mengelilingi Nanga Parbat, gunung kesembilan tertinggi di dunia. Ia sesuatu yang menakjubkan, menjadi santapan mata yang melihatnya. Usaha yang tinggi telah dibuat oleh badan-badan bukan kerajaan untuk memberikan gambaran kuantitatif komuniti tumbuhan di sepanjang geo-iklim di Gilgit Baltistan, secara tidak langsung menjadi penentuukur pola tumbuhan tempatan dan serantau.



Berada pada ketinggian 8126m dari aras laut, bersempadan di antara Sungai Indus dan Dataran Pakistan. Lokasi sebenarnya terletak di barat Gilgit Baltistan, Banjaran Himalaya, Pakistan dan diberi gelaran oleh penduduk tempatan sebagai 'Deo Mir' membawa maksud Gunung.

Sekarang anda sudah tahu kenapa lokasi itu dipilih. Bagi ibu yang sedang hamil dua bulan, ia sesuatu yang gila bukan?

Awin merahsiakan berita ini daripada pengetahuan Rejab. Dia sudah berkira-kira untuk memberitahu hal ini di kaki gunung Nanga Parbat nanti. Awin gusar jika diberitahu dinihari pada sang suami, pelan yang mereka rancang berbulan-bulan ini terpaksa dibatalkan. Kalau ditunda tarikhnya bila? Lepas habis pantang? Tidak mungkin. Biarlah ia sementara menjadi rahasia, bertambahlah momen-momen indah mereka di sana.

Masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Dua hari sebelumnya, mereka menginap di Fairy Meadows Inn, berhampiran dengan jambatan Raikot dan lebuhraya Karakoram di Bunji. Hari ini, Rejab dan Awin buat kali pertamanya menjejakkan kaki mereka di kaki Gunung Nanga Parbat, Muka Rupal, di mana mereka memilih laluan Schell sebagai permulaan pendakian mereka.

Laluan yang mereka pilih adalah sukar, laluan Schell di Muka Rupal mempunyai perbezaan tahap tertinggi dari permukaan tanah (kem) - ketinggiannya diukur dari lereng gunung tunggal hingga ke puncaknya melebihi 4600m. Rejab dan Awin akan bersama-sama dengan seorang sherpa, Chawish panggilannya, beliau adalah individu yang dipertanggungjawab untuk memacu mereka ke tapak kem di Perkampungan Tarishing di mana ekspedisi mereka akan berakhir.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 02:04 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:18 PM






anga Parbat, secara harfiah namanya terbit daripada bahasa Kashmiri, atau Koshur 'Nagna' dan 'Parvata' yang membawa maksud Naked Mountain dalam bahasa inggeris. Bahasa ini digunakan oleh suku Dardic dari kaum Indo-Aryan (masyarakat India Utara) di mana taburannya merangkumi di Lembah Kashmir, Lembah Chenab di Jammu dan Kashmir.

Nanga Parbat atau Naked Mountain dinamakan sebegitu kerana sisinya cukup curam untuk membolehkan salji menutupi seluruh permukaannya. Ia terhakis pada kadar yang hebat dan drastik disebabkan oleh faktor glasier, Sungai Indus dan hujan lebat yang kerap, namun pada masa yang sama, ia berkembang lebih cepat daripada mana-mana gunung lain di muka bumi ini.

Nanga Parbat mendapat julukan yang mengerikan, Killer Mountain, selepas kematian tiga orang pendaki yang cuba memanjatnya sebelum ia berjaya ditawan pada tahun 1953 oleh Hermann Buhl. Selama 30 tahun beratus pendaki dikecewakan dan segala usaha mereka dinafikan untuk menawan puncak Nanga Parbat pada musim sejuk.

Nanga Parbat mempunyai rabung yang merupakan kombinasi antara batu dan ais, secara tidak langsung membawa mimpi buruk pada pendaki-pendaki gunung. Gunung ini mempunyai tiga muka atau bahagian, di mana semuanya boleh digunakan sebagai laluan untuk ke puncak gunung. Walaubagaimanapun, ketiga-tiganya mempunyai cabaran yang tersendiri.

Laluan pertama.

Rupal Face terletak di sebelah selatan gunung. Ia dianggap sebagai muka atau bahagian yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 4,572m/15000 kaki di atas pangkalannya. Untuk menuju ke tapak kem di Rupal, para pendaki hendaklah memulakan perjalanan mereka dari Gilgit atau Karakoram Highway ke Tarashing. Setibanya di Tarashing pendaki terpaksa menaiki jip untuk ke tapak kem dan perjalanan mengambil masa selama dua hari.

*Laluan pilihan Rejab dan Awin.

Laluan kedua.

Raikot terletak di sebelah utara gunung Nanga Parbat. Untuk menuju ke Raikot, pendaki terpaksa berjalan kaki ke Lebuhraya Karakoram sehingga jambatan Raikot di mana mereka beralih ke jip yang disediakan oleh penduduk tempatan bagi meneruskan perjalanan ke Lembah Tato di Fairy Meadows, lembah yang punya pemandangan yang begitu indah dan permai. Tapak kem di sana hanya berjarak 10 km (6.21 batu) dari Fairy Meadows.

Laluan ketiga.

Diamir adalah laluan yang paling jauh daripada laluan-laluan sebelum ini kerana ia mengambil masa yang paling lama untuk tiba ke destinasi kaki gunung. Laluan ini jarang menjadi pilihan para pendaki yang berpengalaman kerana laluan ini adalah jalan pintas ke puncak Rupal dan ianya agak kurang mencabar.

Itinerari direncanakan oleh Rejab di dalam buku nota miliknya sebelum ke kaki gunung Nanga Parbat, bahagian Rupal :

Hari Pertama Tiba di Pakistan -

Aku dan Awin tiba di Islamabad dan kami menginap di sebuah hotel di sana. Pada petangnya, kami bersiar-siar di bandar Rawalpindi dan Islamabad, di mana ia menawarkan pelbagai kontras budaya yang hebat, arkeologinya dan wujudnya perancangan untuk membangun. Rawalpindi adalah sebuah bandar lama dengan terdapat banyak lorong sempit dan dipenuhi dengan bazar-bazar lusuh namun berbeza pula dengan Islamabad, ia adalah sebuah bandar moden yang terancang sesuai dengan kedudukannya sebagai ibu negeri dan bandar tumpuan Pakistan. Bazar Raja, Jalan Murree, Muzium Lok Virsa dan Masjid Shah Faisal adalah tempat-tempat popular yang ditawarkan dalam pakej pelancongan.

Hari Kedua Islamabad ke Chilas -

Aku dan Awin berlepas ke Chilas dari Islamabad dan menuju ke Besham. Kami melintasi kota-kota masyhur di Abbottabad dan Mansehra. Kemudian kami menyusuri Sungai Indus dan berhenti di sana untuk bergambar kenang-kenangan di batu-batu Shatial di mana di permukaannya penuh dengan grafiti-grafiti kuno. Selepas melalui perjalanan yang panjang, aku dan Awin tiba di Chilas dan menginap di sebuah hotel di sana.

Hari Ketiga Chilas ke Gilgit -

Aku dan Awin memandu ke Gilgit Baltistan, kami menyewa sebuah jip di Chilas. Kami seronok menikmati masa lapang bersama-sama, menerokai bazar dan kota-kota di Gilgit. Di sana, sungai Gilgit mengalir damai di bahu-bahu kota Gilgit sekaligus menjamu sebuah pemandangan yang hebat dan kami berpeluang untuk berjalan di sekitar tebing sungai Gilgit, ia adalah satu ganjaran buat aku dan Awin.

Hari Keempat Gilgit ke Tarashing -

Kami memandu ke Tarashing dengan jip, sebuah perkampungan yang indah di atas trek jip. Tarashing adalah salah sebuah perkampungan di kawasan utara. Kami mendirikan khemah iglu untuk bermalam di sini.

Hari Kelima Tarashing ke Rupal -

Muka Rupal atau Rupal Face, kami bermula dari gilgit atau lebuhraya Karakoram ke Tarashing, sebuah perkampungan yang dipenuhi dengan pohon-pohon pine nan hijau terlihat di atas trek jip kami. Aku dan Awin mengambil masa dua hari lagi untuk sampai ke tapak kem rupal. Bagi tapak kem di Diamir pula, treknya adalah yang paling panjang kerana kami perlu mencapainya pada laluan yang terakhir iaitu di Raikot, di mana kami terpaksa memandu ke jambatan Raikot berdekatan lebuhraya Karakoram untuk beralih kepada jip lain yang disediakan oleh penduduk tempatan di Jail, sebuah kawasan terpencil di Lembah Tato dan sangat hampir dengan Fairy Meadows.

Kami menginap di sebuah lodge di sana selama dua hari sebelum menuju ke kaki gunung Nanga Parbat, bahagian Rupal. Kami menunggu kedatangan seorang sherpa iaitu, Chawish yang sanggup bekerja untuk kami. Amat sukar untuk mendapatkan khidmat sherpa di sini kerana tiada sherpa yang mendiami di Pakistan melainkan penduduk-penduduk dari Shimshal yang menawarkan khidmat mereka dengan bayaran yang tidak konsisten. Aku lebih percaya pada sherpa gunung, mereka taat, jujur dan berani seperti tentera-tentera Gurkha terdahulu.


Permasukan (Inclusions) :

- Seorang pegawai perhubungan.
- Permit-permit memanjat.
- Pick-up/drop-in di Lapangan Terbang Islamabad, Pakistan.
- Menginap di hotel di Islamabad dan Chilas dengan ( Sarapan, Merarau, Makan Malam dan Gabi ).
- Semua makanan semasa perjalanan di atas trek.
- 75kg bagasi setiap ahli ekspedisi.
- Yuran pengurusan dan pelupusan kayu.
- Peralatan dapur, pinggan mangkuk, peralatan makan, bahan api dan peralatan komuniti yang berkaitan, diisytiharkan.
- Imbuhan untuk semua kakitangan.
- Insurans untuk sherpa.
- Tiket penerbangan, hotel dan makanan di Pakistan.

Pengecualian (Exclusions) :

- Semua perbelanjaan peribadi dan peralatan untuk memanjat.
- Merarau dan Makan Malam di Kathmandu.
- Insurans peribadi (aku dan Awin).
- Kecemasan Pemindahan dan Menyelamat dengan helikopter jika diperlukan.
- Tips pada kakitangan.
- Semua bil minuman di bar.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 24-9-2018 02:10 PM | Show all posts

Comments

terima kasih tag smod. :)  Post time 24-9-2018 06:35 PM
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 02:14 PM From the mobile phone | Show all posts


Antara senarai alatan pendakian Rejab, Awin dan sherpa, Chawish :

- tali jenis kering (ketebalan dicadangkan 9mm hingga 10.5mm x 60m)

- topi keledar keselamatan

- topi salji/topi berbulu

- abah-abah (jenis gelung kaki boleh laras)

- abah-abah pengheret

- crampon

- kapak ais (berlubang di hulu)

- belay/peranti rapple

- cangkuk untuk memanjat

- pulley

- jaket kalis air berserat

- jaket bulu

- goggle atau cermin mata glasier

- carabiner boleh kunci(s)

- carabiner tanpa kunci

- runner - solo dan berkembar

- tali kord prusik

- perlindungan tangan (pita athletic , sarung tangan)

- cermin isyarat

- penyodok mini

- kayu prob

- beg tidur (4 musim)

- pad tidur

- bivouac shelter

- 6 botol/tangki sistem oksigen berkapasiti 30l

- but berpenebat

Antara senarai peralatan di dalam beg sandang belakang (kalis air/kalis angin) milik Rejab dan Awin :

- sebuah kamera yang kompak , Nikon 1 J5 lens 10-30mm, 20.8 megapixels, bertransistor L7805cv untuk mengambil gambar kenang-kenangan bersama isteri yang tercinta.

Komponen diagram di dalam kamera :



- sebuah telefon pintar Samsung Note 5 (milik Awin - sim kad LTE TDD dibangunkan oleh China Mobile, isyarat penerimaan hingga capaian ketinggian 4800m)

- sebuah telefon pintar Samsung a9 Pro (milik Rejab - sim kad LTE TDD)

- steel wool digunakan untuk kerja-kerja pembersihan crampons dan sebagai penebat untuk meningkatkan suhu badan.

- kabel usb 5 - 9 volt

- travel adapter

- telefon pintar

- pengelap basah

- diari

- peranti gps (Garmin eTrex 30x keluaran 2015. Peranti ini dinaiktaraf dengan skrin resolusi yang lebih tinggi dan storan ram ditambah kepada 4GB, menjadikan ia dua kali ganda lebih besar daripada model terdahulu. Lebih menarik lagi peranyi ini dihubungkan dengan satelit GLONASS.)

- passport

- dompet

- satu pemetik api

- buku bacaan/novel

- tuala kecil

- kit menjahit

- teropong

- plaster

- sudu plastik

- sebungkus pengikat kabel bersaiz 100mm x2.5mm

- kole (berpenebat)

- botol air 3 x 3 liter

- 1000ml botol kencing

- ubat gigi

- berus gigi

- 2 jenis ubat tahan sakit (Excedrin Extra Strength dan Ibuprofen.)

- sistem memasak :
dapur jenis canister,
kelebihan :
ringan dan kompak, masa pendidihan berkadar cepat, mudah digunakan, tiada penyelenggaraan, pembakaran yang bersih dan tiada bau residu pada periuk.

kelemahan :
harganya mahal, sukar untuk menggantikan bahan bakar dan tidak seperti dapur jenis cecair, dapur jenis ini kurang ketahanan pada cuaca yang melampau.

- mess-tin aluminium dan sterno.

- bateri sokongan (2 paket jenis 9v, 5 paket jenis 3A dan 5 paket jenis 2A bagi kegunaan kamera, lampu led kepala, alat pengukur suhu inframerah, peranti gps dan lampu suluh)

- beberapa helai baju T

- beberapa helai pakaian dalam

- beberapa pasang sarung kaki

- pengetip kuku

- losyen

- lipbalm/pelembab bibir

- alat pengukur suhu inframerah (Pro'skit, berfungsi dengan bateri jenis 9v)

- gel petroleum (Vaseline)

- krim perlindungan matahari

- pisau poket (Mcusta)

Antara senarai peralatan di dalam beg sandang belakang Chawish. (Beg Kargo)

- beg menyimpan alatan (dilengkapi pengunci dengan 3 digit kata laluan)

- beberapa helai baju T

- beberapa helai pakai dalam

- beberapa pasang sarung kaki

- tiub plastik pemantul cahaya

- oatmeal

- beberapa tin tuna, 3 bungkus biskut, power bars, 8 paket ayam, coklat, 4 botol Gatorade, 1 bungkus besar teh, 1 bungkus besar kopi, salmon dan kuskus

- pati tomato, -zucchini dan daun ketumbar (dipaket di dalam plastik lutsinar)

- minyak masak botol kecil

- jus lemon botol kecil

- pita perekat

- kit pertolongan cemas :
Plaster, kit lepuh, Paracetamol, ubat kerongkong, garam rehidrasi, Immodium, tablet Dextrose dan Ephedrine (untuk Syncope)
*Sedikit nota untuk pembaca - bahawa Diamox dan antibiotik seperti Amoxycillin dan Ciprofloxacin juga harus dibawa sebagai preskripsi.

- gel tangan anti bakteria

- bedak untuk kaki melepuh

- benzedrine (jenis dadah amphetamine)

- 3 paket tembakau

Antara senarai peralatan di dalam beg alatan Chawish :

- pemateri jenis butana (Dremel 2000).
Spesifikasi :
Masa Bakar : 75-90 min
Kapasiti Tangki : 17ml/9g
Suhu : 1200 (udara terbuka) 680 (udara panas) 550 (tip aloi) C

- gegelung aloi jenis E (400-500 F)

- pemotong dawai

- playar muncung tirus

- bateri sokongan 4 paket jenis AA

- sebuah telefon pintar Sony Xperia Z (milik Chawish) - sim kad Ncell dibangunkan oleh Nepali telecoms dilancarkan dengan keupayaan rangkaian 3g, isyarat penerimaan hingga capaian ketinggian 5200m di gunung Everest.

- peranti GPS (Garmin eTrex Yellow keluaran 2005, bersaiz sebesar tapak tangan dan mempunyai 12 penerima saluran, peranti yang mempunyai penerima sensitiviti yang tinggi berbanding model-model eTrex sebelumnya. Ketahanan bateri selama 22 jam dan dua biji bateri bersaiz AA digunakan untuk peranti ini.)

- sebuah telefon satelit Thuraya XT-Pro Dwi Sim, menggunakan gabungan kad SIM satelit dan GSM dengan keupayaan 'Sentiasa aktif' untuk kedua-duanya, kombinasi sistem navigasi yang meluas iaitu Glonass dan Galileo, menggunakan pengecas usb mini dan mempunyai penyesuai (adapter) pengecas dari usb mini ke jenis B-Micro. Dengan itu, peranti ini boleh menggunakan pengecas telefon pintar. Terdapat kata laluan satelit untuk ianya berfungsi pada model ini, disimpan di dalam beg 'drawstring' bersama-sama bebola kapas dan tertera sekeping nota ditampal di atasnya.

- buku nota

- mini set pemutar skru (Stanley)

- pistol suar (4 biji tolok kartrij, suar mampu bernyala pada ketinggian 500m)

- 350ml arak tongba
*Tongba adalah minuman beralkohol ramuannya berasaskan peraman millet yang terdapat di kawasan pergunungan timur Nepal, Darjeeling dan Sikkim. Ia adalah minuman tradisional dari masyarakat orang asli Limbu di Nepal timur. Tongba bukan sekadar arak, ia adalah penting dalam budaya, agama dan masyarakat orang-orang Limbu Nepal timur itu sendiri. Tongba juga mampu meningkatkan suhu badan ketika suhu sejuk yang melampau.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 24-9-2018 02:20 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 25-9-2018 06:51 PM






had, 12 November 2017, tapak kem di Rupal, mereka bertiga berbincang sebentar tentang sistem pendakian ini, mereka juga meneliti checkpoint-checkpoint yang tertera di atas sekeping kertas untuk didirikan kem sementara di atas sana. Mata Awin tertumpu pada kertas itu namun perbincangan antara Rejab dan Chawish tidak didengarnya. Fikirannya melayang entah ke mana, tangannya mengolek perut dengan lembut, hatinya girang tetapi pada masa yang sama ada suatu perkara yang menggusarkan perasaannya.

Dua minggu sebelum berangkat ke Bunji, Pakistan, Awin telah menghadiri pemeriksaan kandungannya di sebuah klinik panel di tempat dia bekerja. Pemeriksaan itu bertujuan untuk menentuukur kesihatan dan perkembangan embrio di dalam kandungannya. Namun, khabar yang menggembirakan ini menekat sedikit kekecewaan di ruang sukmanya. Awin disahkan mengalami kondisi yang disebut sebagai Subchorionic Hematoma. Kondisi ini menjadikan sel telur terpisah dengan itu ia tidak menempel di dinding rahim dengan sempurna setelah implantasi terjadi pada trimester pertama. Ia adalah penyatuan darah (hematoma) antara chorion, membran yang mengelilingi embrio dan dinding uterus. Doktor menjelaskan bahawa Awin tidak perlu berwalang hati, maka ujian USG dilaksanakan pada hari yang sama.

Ujian ultrasound adalah ujian perubatan yang menggunakan sistem gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk menangkap imej secara langsung dari bahagian dalam badan. Ia juga dikenali sebagai sonografi. Teknologi ini juga diimplimentasi oleh pihak ketenteraan yang digunakan sebagai sonar dan radar bagi membantu kerja-kerja mengesan pesawat, kapal dan tikas paras air laut. Ujian itu membawa perkhabaran yang baik, mata masing-masing tertumpu pada sonogram (imej visual yang terhasil daripada pemeriksaan ultrasound). Janin yang berukuran 2.54cm itu dalam keadaan afiat dengan detak jantungnya 75 denyutan seminit (bpm) terdengar jelas. Awin menarik nafas lega dengan perkhabaran itu tetapi hati kecilnya bolak-balik, antara seronok dan gusar, keduanya bersulam antara satu sama lain. Pemeriksaan ke dua kali tanpa kehadiran Rejab bersama.

" Heiiiiii!!!! "

Jeritan itu membawa Awin ke kaki gunung Nanga Parbat semula, lamunannya terhenti. Tiga orang itu tersentak dengan jeritan dari trek susur masuk di bahagian Rupal. Dua orang pemuda menghampiri mereka bertiga, seorang di pertengahan tiga dekad dan seorang lagi masih kemuda-mudaan. Lalu salah seorangnya menyapa.

" Brother, the summit of the Nanga Parbat is covered with dangerous snow fall, this is winter acsent, did you make the right decision on this? ", ujar pemuda yang lebih berumur itu, dengan slanga Asia Barat yang menjelunut.

Rejab melipat kertas itu kecil-kecil lalu disimpan kemas di kantung jaketnya, dia membuka mulut dan bersuara.

" We like climbing mountains, we planned it, as scheduled. Hey, which country are you guys from? ".

" Saudi Arabia ", mereka menjawab sederap.

Perbualan menjadi rancak buat seketika.

Rejab : 'awahu, 'izhan, qad wasalata alaa dzurwati rubal?
(Oh, jadi tuan tidak sampai ke Puncak Rupal?)

Pelancong Arab : ma'ahsanu, yumkinu khatahaduthu bil arabi. min iy balada 'anta wanahnu lami natasalaq qimatu rubal, laqad tajawalna fi nahril bazinil jalidii, lir'uyatil manaziril jamilati hunaka.
(Wah, kamu boleh berbahasa Arab. Kamu berasal dari mana? Tidak kami tidak mendaki Puncak Rupal, kami hanya bersiar-siar di glasier Bazhin, untuk melihat pemandangan yang indah di sana.)

Rejab : 'ana min malizia. hazhi dzhaujati wa nahnu huna mundzi yaumaen. a'dhatda tilamalu fis saudi limudati thalatha sanawatan. lazhliki hunaka miyazatun binnisbata lil a'robiyati.
(Saya berasal dari Malaysia. Ini isteri saya. Kami ke sini semenjak dua hari yang lalu. Dahulu saya pernah bekerja di Saudi selama 3 tahun. Jadi ada kelebihan untuk saya berbahasa Arab.)

Pelancong Arab : asmauu idzha qabhadtum alaa qimati jabal nanija barbati hadzalshitai', faman alfhadlu 'ana tafkuru marotaen. laqod paqodhu shaqiq dzaujati huna fi almi 2008. yuridu'aydaan tasal luqaljabala fi faslan lishita'an wa innahu yattabiu'. rihlatul mutasaliqina min 'iran walamit malu'tsuru alaa jasadihi hataa alana.
(Dengar sini kawan, jika kamu menawan puncak Gunung Nanga Parbat pada musim sejuk ini, lebih baik kamu berfikir dua kali. Saya telah kehilangan adik ipar saya di sini pada tahun 2008, dia berdegil untuk mendaki gunung ini pada musim sejuk. Dia mengikuti ekspedisi pendaki-pendaki dari Iran. Jasadnya sehingga kini tidak dijumpai.)

Rejab : syukran alaa nosihatika a'layna 'annastamirol li'ana hadza hadhafana.
(Terima kasih atas nasihat itu tuan, kami terpaksa teruskan jua kerana itulah cita-cita kami.)

Pelancong Arab : 'idza kanat 'iradhatuka faman 'anaa 'ankurha walakun ansohka, la tasquthu! assalamu'alaikum.
(Jika itu kehendak kamu, siapa saya untuk nafikannya. Satu sahaja pesanan saya, jangan jatuh! Assalamualaikum.)

Rejab : insya 'allah. wa'alaykum salam.
(Insya Allah. Wa'alaikumsalam.)

Perbualan mereka terhenti di sini ....

Maka pendakian mereka untuk menakluki puncak Nanga Parbat bermula melalui muka/bahagian Rupal. Dia membendung wajahnya dengan sehelai warna perang, hanya mata sahaja yang kelihatan. Sherpa itu sudah awal-awal lagi meneguk tongba, suku daripada takar aluminium itu telah terusik untuk meningkatkan suhu badannya. Beram tetap beram, tidak banyak sedikit pun khayal berkunjung jua di minda sang sherpa. Sepanjang pendakian, tiga orang itu kurang berbicara, tenaga disimpan untuk menuju ke gapura Nanga Parbat. Gapura yang terbentuk dengan mendapan salji dan tunggul-tunggul talus berceracakan di mana suhunya mencapai -20 darjah celsius dijaga rapi oleh laksamana yang menjaga kedaulatan Nanga Parbat. Ia adalah Mazeno Ridge berketinggian 7200m dari aras laut. Sebuah rabung yang dahsyat mengorbankan gerombolan jiwa yang kental kononnya.

" I dot, 2 dots, 3 dots, 4 dots, dashed and i slashed.

1 dot, 2 dots, 3 dots, 4 dots, dashed and i slashed.

i dashed, dashed off 3 dots i slashed. "


Itu adalah rangkap lagu yang diulang-ulang nyanyiannya oleh Chawish. Rimanya tidak jelas, kadangkala kedengaran seperti lagu anak-anak kecil tetapi yang ketara liriknya sama sahaja. Habis yang itu, disambung yang itu kemudian diulang-ulang tanpa jemu. Terkadang Rejab dan Awin berpaling muka sesama mereka, Awin menarik ke bawah skaf yang menutupi mulutnya, lalu dia menjebik ke arah Rejab. Rejab menyengih melihat kelaku si Awin. Dia tau isteri kesayangannya itu berasa jengkel dengan Chawish, namun biarlah sekurang-kurangnya ada hiburan untuk mereka tidaklah mereka bosan.

Chawish tidak jemu-jemu menyanyikan rangkap itu, dia tidak mahu lupa pada sesuatu yang penting. Dia tidak mahu lupa itu menular menjadi lalai, bila lalai bertandang maka wujud kekhilafan. Sherpa itu tidak ingin lupa lagi. Lupa itu hanyalah sejarah baginya, walau ia beredar sepi namun parut yang ditinggalkan amatlah terkesan kepada kehidupan sehari-hari. Angin dingin bertiup selaju 5 kilometer perjam, capaian suhu ketika itu adalah -14 darjah celsius, kelembapan sebanyak 92% dan kemendakan pula 6% sekaligus cukup membuatkan Chawish menggamit memorinya terdahulu. Helaan nafasnya kasar, kakinya terus mendaki pada sudut 45 darjah, tangannya kuat menggengam kayu prob, meradak ketulan salji yang mampat dan pada masa yang sama tersesar fikirannya sedikit demi sedikit .... Sedikit demi sedikit .... Dia 'hilang' ....

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 24-9-2018 02:22 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-9-2018 02:27 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 2-10-2018 04:45 AM






Mac 2007, Khamis, sekurang-kurangnya 26 orang Maois dari Parti Maois (Parti Komunis Nepal) terbunuh apabila bekas pemberontak dan kumpulan etnik Forum Khas Orang Madhesi atau Madhesi People's Right Forum (MPRF), bertempur semalam di Gaur, 170 kilometer di selatan Kathmandu, Nepal.

Laporan tidak sah dari Gaur mengatakan kemungkinan mangsa yang telah mati meningkat kepada 40 orang. Ini adalah insiden paling buruk bagi kaum Maois sejak mereka mengisytiharkan gencatan senjata tahun lepas.

Konflik berlaku apabila kedua-dua kumpulan cuba mengadakan pertemuan besar-besaran di tempat yang sama iaitu di Gaur. Ahli-ahli Maois dan MPRF telah bertembung beberapa kali di tempat berlainan sebelum ini. Bagi kebanyakan penduduk Nepal kejadian itu sangat mengejutkan, ini kerana mereka masih dihantui oleh konflik selama 11 tahun yang menaruhkan lebih daripada 12,000 nyawa.

Para pemimpin teratas kaum Maois masih belum memberikan reaksi terhadap kejadian itu. Tetapi mereka telah menggelar MPRF sebagai pasukan konservatif yang bekerja untuk golongan istana dan fundamentalis Hindu di negara jiran di India.

Di hospital Hetauda, Chawish membuat satu panggilan kepada kawannya yang berada di Gaur untuk mendapatkan perkembangan terkini. Kawannya memberitahu bahawa keadaan ketika itu begitu tegang manakala pihak berkuasa telah membuat perintah berkurung semalaman. Pergaduhan yang melibatkan senjata api ini mungkin berlanjutan sepanjang hari.

Kawannya menambah lagi, lebih daripada tiga belas orang mengalami kecederaan semasa kejadian itu, sekurang-kurangnya 10 orang cedera parah. Pihak berkuasa telah mengesahkan angka kematian terkini akibat pertembungan itu, sembilan mayat dari Gaur, tiga dari Belbichhwa, dua belas dari Hajmunia dan dua lagi dari hospital Hetauda.

Panggilan diputuskan ....

Lelaki itu menggenggam kuat telefon bimbitnya, tangan itu diluruskan di sisi kanan jahitan celananya, getah pad kekuncinya menjadi kerukut akibat jari jemarinya yang asyik menekan-nekan. Mata Chawish tertumpu di tabuk hospital. Dia melihat kepulan asap di udara Gaur dari hospital Hetauda itu. Dalam beberapa detik dia menghela nafas panjang lalu dihembuskan perlahan-lahan maka Chawish berpaling ke belakang. Terlihat susuk tubuh perawan di atas ranjang di ruang kamar itu, susuk itu kaku dan tidak bermaya.

Di mata Chawish, Chimini yang berwajah polos itu seperti gadis-gadis biasa di Rautahat. Pada usianya ini, dia seperti gadis-gadis lain yang sedang galak, berjenaka sesama mereka, bercerita mungkin tentang buku-buku cinta Krishna Darabasi, atau bergosip mengenai jejaka-jejaka tampan dan kadang-kala menunjuk ajar gadis yang lebih muda dan baru baligh tentang asas-asas keperempuanan .... Chimini pegun, tubuhnya kaku, matanya terkatup rapat. Bergenang air mata Chawish melihat jasad adiknya tidak bergerak-gerak, adiknya tidak sedarkan diri semenjak dua jam yang lalu ....

Tuk, tuk, tuk .... pintu kamar mandi diketuk.

" Abang, saya sudah siapkan gobi pakora di atas meja, jangan lupa bawa ya! Saya nak berdoa (sembahyang) sebentar, jangan ganggu saya ya! Saya nak ucap terima kasih pada dewa Ganesh sebab abang dah berjaya jadi seorang guru, hehehe ", Chimini berkata-kata di hadapan daun pintu kamar mandi rumahnya.

" Abang dengar tak?! Jangan lupa gobi pakora tu. Abang tu pelupa. Hurm..mm.. nanti saya juga yang kena hantar bekal itu pada abang. Abang dengar tak ni? ", dia menambah, lantas berlalu pergi menuju ke kamarnya untuk menghadap dewa Ganesh.

Chawish keluar daripada kamar mandi dengan tergesa-gesa. Pemuda yang usianya menginjak 30-an itu sudah lambat untuk pergi ke sekolah. Cuaca yang dingin buatkan tidurnya jadi lena, dia tidak sedar akan jam locengnya yang berdenting bagai nak gila, dia kesiangan. Pemuda itu bersiap-siap seboleh yang mungkin, rambutnya disikat ala kadar sahaja, dia menyarung jaket berwarna kelabu lalu dicapainya loket wangian lantas disarung ke lehernya. Chawish keluar meninggalkan kamarnya bersama-sama beg bimbit berwarna hitam, dia bergegas ke luar untuk menunggu Tempo, dia harap dapat menahan Tempo dengan kadar segera kerana dia benar-benar kelewatan untuk ke sekolah menengah Shree Judha.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 02:34 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:16 PM







himini menggelengkan kepalanya, dia sudah agak dari awal lagi abangnya itu akan terlupa tentang gabi pakora di atas meja tresel. Bercinta dia hendak melintas Pekan Gaur semata-mata untuk menghantar gobi pakora kepada abangnya.

" Kasih abang dan adik tekal bersama, bersendel bahu sekian lama, jangan mudah terasa, janganlah pernah berkira. "

Dia cepat-cepat pindahkan gobi pakora itu ke dalam bekas tiffin, lalu disarungnya sepatu kayu, dikuncinya pintu rumah, Chimini berlalu pergi, menuju Ke Shree Judha dengan 20 minit masa berjalan kaki.

Di sekolah menengah Shree Judha, seorang guru muda bersemangat menulis formula-formula fizik di papan hitam. Dia kepingin pelajar-pelajarnya memahami tentang keseimbangan terma, di mana terdapat formula untuk menentuukur habatentu dengan perkadaran suhu yang berbeza. Chawish berasal dari Limbu Nepal Timur, sebuah wilayah pedalaman yang serba kekurangan daripada aspek sistem pendidikan, ekonomi dan kemudahan awam, penempatannya seakan-akan terasing dari dunia luar.

Pun begitu, pemuda ini adalah seorang yang berfikiran jauh, dia ada visi dalam hidupnya, semangatnya sebesar gunung Manaslu dan dia bertekad untuk merubah persepsi masyarakat di penempatannya bahawasanya pendidikan adalah sesuatu yang amat mustahak. Dia juga pingin menyumbang ke arah memperkaya ilmu dan ketamadunan bangsanya, di peringkat kebangsaan, rantau dan jagatraya, selaras dengan perkembangan terkini dan mendatang. Chawish adalah pemegang ijazah Kejuruteraan Elektrik dari Purbanchal University School of Engineering & Technology (PUSET), di Biratnagar, Nepal.

Dalam pada asyik menulis di papan hitam, Chawish berasa hatinya tidak nyaman, bagai ada yang tidak kena dengan perasaannya. Seolah-olah ada sesuatu yang akan berlaku tetapi dia tidak tahu .... kenapa dan apa? ....

Tiba-tiba ....

" Chawish!!! Maois bertempur dengan MPRF di pekan, ra .... haa .... ramai yang mati! ", teman sekerjanya tercungap-cungap menyampaikan berita itu di depan pintu kelas, Chawish memandang temannya dengan rusuh hati. Temannya masih membatu di ruang legar itu, tak lekang matanya merenung Chawish.

" Ahhhhh .... Jadi lagi .... ", getus Chawish.

Gaur Hatyakand (pembunuhan beramai-ramai di Gaur) ....

Ia adalah hari untuk berkabung bukan hanya untuk golongan Maois Nepal tetapi juga bagi mereka yang berdoa untuk kejayaan proses damai. Dan ia adalah satu lagi hari bersejarah bagi Nepal sekaligus memperlihatkan titik perspektif permulaan keamanan yang tidak pernah dilihat pada mata kasar Kathmandu.

Bekas tiffin itu jatuh berguling-gelantang di atas jalan pekan Gaur, Chimini terjatuh menyembah bumi. Kurtha Suruwal pemberian mendiang ibunya seloyak sedikit di bahagian lengannya, pakaian yang dia sayang, pakaian yang dia usung bergedung di mana-mana majlis keraian, dia tidak pernah jemu untuk memakai kurtha merah hati itu walaupun sudah sedikit lusuh, dia tetap berlagak di depan sahabat-sahabatnya dengan Kutha Suruwal itu, dia amat sayang pada mendiang ibunya .... Jika ada kurtha seperti itu ianya tetap tidak sama bukan? Di hadapannya, berdiri seorang lelaki yang dia tidak kenali, wajah yang terlalu asing pada Chimini, dia berengus tipis, lelaki itu merenung tajam ke arahnya sambil memegang sebilah lading yang hujungnya lancip dan tajam.

" To .. long .... jangan .... a .. a .. aku kena hantar bekal makanan pada abangku .... ", Chimini menangis merayu pada lelaki itu di tengah-tengah kekalutan dan asap-asap tebal berpunca daripada molotov cocktail atau bom petrol.

Kurtha Suruwal tu sekali lagi tertetas dan koyak, tapi kali ini disebabkan tusukan lading tepat ke arah abdomennya. Suku daripada lading itu selamat terbenam ke dalam perutnya. Dek kerana lading dicabut, percikan darah si gadis sunti itu, berhamburan di segenap perimeter di mana dia berbaring. Lelaki kapista yang tuli pada rayuan seorang gadis naif telah mencapai kain Kurtha Suruwal milik Chimini lalu dikesat mata ladingnya untuk menghilangkan kesan darah, dia pun beredar bersama-sama ideologi yang samar-samar.

Chimini menekan kuat abdomennya untuk memberikan sedikit tekanan pada kecederaan Suprarenal Abdominal Aorta yang dialaminya, dia menangis kesakitan, sakitnya itu tidak tertahan, tidak mudah untuk ditanggungnya saat itu. Chimini bangkit perlahan-lahan dari ratusan pemberontak di pekan Gaur. Dia memaksa kakinya itu untuk melangkah menuju ke bekas tiffin yang terlepas dari genggaman tangannya sebentar tadi. Dia gagahkan diri untuk melangkah, langkahnya seperti seekor springbok mundar mandir mencari makan di atas padang rumput Kalahari.

Gadis itu merunduk lantas dicapainya gobi pakora yang jatuh, dimasukkan kembali ke dalam bekas tiffin itu satu persatu. Terpalit darahnya pada gobi pakora dan bekas tiffin, air matanya tidak putus-putus mencurah ke pipi, di sebalik tangisan itu Chimini melemparkan senyuman kecil di bibir mungilnya, senyuman kecil yang panjang dan mendamaikan. Gobi pakora itu .... adalah gobi pakora yang terakhir untuk abangnya. Pandangannya menjadi gelap, dia tumbang tidak bermaya, tugasnya berhenti di situ namun niatnya usai dilangsai. Chimini sudah terpandang-pandang ibunya membawa Kurtha Suruwal yang baharu, dia sudah bersedia untuk itu .... Ibu yang dirindu hari-hari, telah bawa dia pergi, maka hilanglah rindu, sakitnya tidak terasa lagi ....

Berikutan gencatan senjata tahun lepas, dan dalam konteks proses damai, pemimpin dan organisasi Madheshi semakin aktif dalam menyokong tuntutan mereka untuk dipenuhi. Bulan pertama tahun 2007 sahaja telah terjadinya pergolakan di wilayah Terai, kekerasan di antara penunjuk perasaan dan anggota polis terjadi pada masa-masa tertentu. Kebanyakan protes telah dianjurkan di bawah panji-panji MPRF.

Kendatipun desakan pejabat daerah dan serantau bahawa " forum " ini bukanlah sebagai payung perlindungan untuk mana-mana kumpulan-kumpulan, namun begitu MPRF telah menyediakan ruang dan peluang bagi kumpulan lain untuk meneruskan minat mereka sendiri atau aspirasi politik Madheshi di bawah bendera MPRF. Banyak kumpulan yang berlainan telah tertumpu di bawah pimpinan MPRF, mereka telah menjadi induk pada suaka politik di bandar-bandar Nepal dan India. Marcapada ini, masih ada yang tuli tentang nilai-nilai kemanusiaan, rela hidup bersama kenestapaan dan kemeranaan, terdorong melakukan pidana dek kerana bertuhankan nafsu, sedar tak sedar wujudlah masyarakat proletar, masyarakat yang merubah sistem ke arah gaya binatang!

Percanggahan ideologi dan perbezaan politik yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai di Gaur, Nepal. Gaur Hatyakand!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 02:41 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:15 PM







LATITUD : 35.25949
LONGITUD : 74.51723
KETINGGIAN : 4227m.
SUHU : -18 darjah celsius
MASA : 16:44:05
TARIKH : 27/11/2017

PS dimatikan. Kasut salji dan 'abah-abah pengheret' bekerja keras untuk hari 'portering' buat pertama kalinya: 70 kilogram bahan yang didepositkan pada Renta I telah siap siaga untuk menuju di ketinggian (5850m). Khemah besar sudah siap digulung dan dipek untuk digunakan semula di Renta III kelak. Esok, Rejab dan Awin memutuskan untuk berehat seharian kerana terbata-bata dengan suhu dan kelajuan angin yang mula menampakkan tanda-tanda ribut salji akan berlaku.

Hari keenam belas di jajahan Nanga Parbat, suasana agak kelam dan sedikit gelap. Suhu mula menurun ke takat -18 darjah celsius, angin dingin bertiup pada kelajuan 5km perjam, agak kencang menyapu dinding-dinding Nanga Parbat, menerbangkan salji-salji yang pernah menghampakan beratus-ratus impian pendaki-pendaki di sini. Tiga orang itu, bersusah payah menggali salji berbentuk gua kecil sebagai penginapan sementara mereka. Chawish yang tidak habis-habis meneguk tongba untuk bertahan pada kesejukan melampau, tidak pernah bersungut pada sebarang tugasan yang diberikan Rejab. Penyodok mini itu rakus merodok timbunan salji, gua kecil mula terbentuk sedikit demi sedikit walau luncungnya sadak, endahnya tidak, masih boleh menempatkan tiga badan untuk berlindung daripada amarah ribut yang menggila.

Awin keletihan .... Dia duduk berteleku sebentar di atas hamparan salji yang berkelok, tangan kanannya dirapatkan ke perut lalu dia tersenyum panjang, girang hatinya bukan kepalang. Sepanjang pendakian Awin tidak sedikit pun berasa susah dengan kandungannya. Bukan kerana dia terlalu berani, cuma perasaan takut-takutnya menjadikan dia lebih waspada dan dia tidak jemu-jemu menitipkan doa kepada yang Satu agar segala urusannya dipermudahkan.

Keputusan Rejab untuk membina sebuah gua kecil adalah sangat efisien dengan cuaca ketika itu. Pembinaan Bivouac tidak praktikal pada cuaca yang sebegini ekstrem, ini disebabkan faktor talus yang mungkin akan jatuh ketika tiupan angin kencang dan mampu untuk memusnahkan Bivouac. Pembinaannya rumit bagi ketinggian 4000m ke atas, pendaki terpaksa menggunakan tali nilon atau tali kord samada disirat atau diikat ke gelung yang digunakan bersama-sama tali jangkar lalu ditambat pada tunggul-tunggul batu. Teknik 'daisy chain' atau rantaian daisy diimplementasi dalam proses ini, di mana tali nilon tadi akan disimpulkan bersama-sama Bivouac agar panjangnya boleh laras mengikut kesesuaian basi lentur radius-radius tunggul batu. Carabiner juga akan digunakan pada setiap hujung tali jangkar, ia bertujuan menstabilkan lagi pautan Bivouac ketika angin bertiup kencang.

Sherpa itu tercari-cari sesuatu di dalam beg galasnya, dia mengeluarkan gelungan piket aluminium lalu dipotong piket itu berbentuk 'T'. Dia kemudiannya menggali sedikit lubang dengan kedalaman 2 hingga 3 kaki di hadapan gua kecil itu untuk ditanamkan piket aluminium sebagai perlindungan daripada rekahan ais. Rejab dan Awin mula memasang sterno, mereka perlu mengisi perut pada petang itu, mereka perlukan tenaga untuk meneruskan pendakian ke rabung Mazeno/Mazeno Ridge.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 02:49 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:15 PM






azeno Ridge, Nanga Parbat. Ia memisahkan Diamir (barat) daripada muka/bahagian Rupal (tenggara) gunung. Ianya sejauh 10km dan jaraknya itu melintasi 7 buah puncak berketinggian 7000m dan hulubalang itu pernah memusnahkan banyak percubaan pendaki-pendaki yang berpengalaman, mereka bernafsu untuk menawan tujuh puncak-puncak tertinggi di Mazeno Ridge, Nanga Parbat. Sayangnya, ramai di antara mereka yang kecundang semasa pendakian. Ada di antara mereka alah dengan batuan talus yang licin berceracakan di cenuram Mazeno Ridge. Ada yang mati beragan, ada yang mati disebabkan hipotermia, ada yang ditelan avalanche dan berpuluh lagi sebab-musabab. Namun kesemuanya membawa satu persamaan iaitu kubur mereka tak bertanda!



Mendaki Nanga Parbat semasa musim sejuk sesuatu yang tidak masuk akal bagi sesetengah pendaki. Mana tidaknya, mereka tidak jumpa mana-mana kumpulan pendaki semenjak mereka di tapak kem Rupal lagi. Hanya mereka bertiga di atas banjaran ini, membawa hala tuju dan ceritera sendiri, ceritera yang direkod dari sehari ke sehari di dalam diari untuk disenandungkan lembut-lembut menjadi halwa telinga kepada anak-anak dan cucu cicit mereka sebelum tidur kelak.

Sterno sudah dinyalakan, Chawish mengeluarkan bahan-bahan untuk memasak salmon dan kuskus daripada beg galasnya lalu dihulurkan kepada Rejab. Pada suhu yang ekstrem ini, ia adalah salah satu faktor gel pada sterno membeku dengan cepat, Awin merapatkan kesemua tin itu kepada sterno yang sedang menyala di bawah aluminium mess-tin. Mess-tin itu dialas dengan batu-batu 'scree' yang terdapat di cerun-cerun Nanga Parbat.

Rejab memulakan tugasnya. Mess-tin dipanaskan dengan sterno manakala dapur canister pula disimpan untuk digunakan ketika kecemasan. Api sterno dengan nyalaan sederhana, sangat bertepatan dengan menu yang dipilih. Salmon tadi dimasak di dalam mess-tin selama dua minit, bersama-sama zucchini/courgette dan cabai yang ditaburkan di atas salmon. Selepas dua minit Rejab menukar posisi salmon tadi yang separuh masak ke atas, yang di atas ke bawah. Pati tomato dikacau bersama-sama jus lemon, satu sudu minyak dan ketumbar yang dicencang ke dalam kuskus. Hidangan ringkas ini (protein-51.6g, karbohidrat-4.7, potasium-1043.3mg, kalori-528.9) sudah cukup memberikan tenaga kepada mereka bertiga untuk meneruskan pendakian ke Mazeno Ridge.

Selepas tiga orang itu menjamu selera di hadapan gua kecil yang ditutup dengan skaf muffler yang rabak, mereka berbincang tentang pendakian esok. Sistem Tahquitz Decimal dicadangkan oleh Rejab untuk menilai tahap kesukaran ketika berjalan, mendaki dan memanjat. Sistem yang berkembang penggunaannya bagi menentuukur kesukaran laluan secara numerik dengan keputusan dan definisi yang hampir persis dalam Kelas 5. Sistem ini mempunyai nama lain (di Amerika dan Canada ia dipanggil Sistem Yosemite Decimal-YDP) di mana ia dibangunkan pada tahun 1950-an.

Bekalan oksigen dicatu dengan cermat oleh Chawish, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan bekalan itu tanpa asbab yang munasabah. Mazeno Ridge bukan sebuah rabung yang boleh dipandang enteng, ia bukan rabung yang jinak membelai, ia adalah raksasa yang terbit di antara 7 puncak di Nanga Parbat. Di atas sana, mereka belum pasti apakah nasib mereka yang sebetulnya. Apakah mereka berjaya menghindari frostbite, HACE (high altitude cerebral edema), HADE (high altitude dumb) dan AMS (acute mountain sickness) daripada terus menjengah mereka?

Malam itu mereka berkelubung di dalam beg tidur masing-masing, siklon ini adalah yang terkuat selama mereka bertiga bermukim di Nanga Parbat. Siklon ini mungkin sama kuatnya dengan siklon Hato di Hong Kong, kelajuan ribut itu kadangkala boleh mencecah 65km perjam pada sesuatu masa. Awin menggigil ketakutan di dalam gua kecil itu, ribut dingin itu menjadikan suhu Nanga Parbat menurun kepada -25 darjah celsius dan perasaan mereka tidak terucap dengan kata-kata, badannya cekang tidak berganjak walau seinci daripada beg tidurnya.

Rejab memandang Awin, hatinya rusuh melihat ekspresi isterinya itu, dia keluar meninggalkan beg tidurnya buat seketika, dia menuju ke arah isterinya, lalu dengan spontan dia memekik ke arah Chawish, suaranya sengaja diparau supaya Chawish dapat mendengar permintaannya dalam suasana bergeger bergentar itu. Chawish menghulurkan benzedrine kepada Rejab, Awin selamat ditidurkan dan apa yang untungnya dia tidak perlu menyambut siklon itu sebagai tetamu yang tidak dijemput tandangnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 02:54 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:14 PM






anga Parbat pun kararlah selepas siklon tadi selepas-lepas melanda segenap perimeternya. Ia sudah berlalu pergi meninggalkan "gunung pembunuh" itu dan sudah pasti ia akan muncul kembali, tidak pasti bila, apakah harinya, ia bukan satu sumpahan, ia bukan satu tradisi, "asal"nya ia dari sana. Awin terjaga dari tidurnya. Dia bangun dan dilorot sedikit beg tidurnya hingga ke pinggang. Lega sedikit rasanya ketika itu, dia masih bernyawa dan dia pasti makhluk yang dikandungnya masih dalam keadaan selamat.

Awin menoleh ke sisi kirinya, dia mencari-cari Rejab, suaminya tidak kelihatan di sisinya. Dia berasa sedikit cuak, lalu Awin bangkit dari tempat tidurnya, kakinya sedikit kejang untuk dia melangkah dari gua kecil itu. Dicapainya 'headlamp' berhampiran kepala si sherpa yang sedang asyik lena dibuai mimpi. Lalu dia bergegas keluar untuk mencari Rejab kalau-kalau suaminya itu ada berhampiran gua kecil yang mereka bina.

Krupp .... Krupp .... Krupp ....

Telinga Awin tertangkap sesuatu bunyi gemerencing tidak jauh dari tempatnya berdiri. Dilaraskan kepalanya kiri dan kanan untuk 'headlamp' bersuluh di tempat yang dia kehendaki. Matanya tertangkap sesuatu susuk yang dia sangat-sangat ketahui dan dikenalinya. Lantas dia berjalan menuju ke arah susuk itu, dan ditegurnya dengan panggilan yang selembut-lembut mungkin. Rejab berbekalkan cahaya sterno, khusyuk membersihkan besi 'crampon'nya dengan 'steel wool' terus berpaling ke arah isterinya.

" Eh sayang, Awin dah bangun. Abang nak kejutkan Awin tapi tak sampai hati, abang nak Awin rehat ", ujar Rejab dengan nada yang manja.

" Awin bangun tengok abang hilang, Awin carilah abang. Thanks sayang bersihkan 'crampons' Awin ", Awin membalas dengan senyumnya menguntum dibibir.

Lebihan potongan aluminium tadi, dijadikan penyangga untuk menopang punggung mereka daripada terkena hamparan salji. Mereka berborak-borak, bercerita tentang perasaan mereka sepanjang pendakian di Nanga Parbat. Crampon tadi sudah siap dibersihkan, habis salji-salji yang melekat luruh jatuh ke bawah. Diletaknya crampon tadi di sisi, Rejab memberi isyarat kepada Awin supaya mematikan ayat-ayatnya buat sementara waktu.

Mereka berdua mendongak ke langit yang luas terbentang. Langit pada malam itu, sangat cantik dan indah, langit itu dihujani dengan berjuta-juta cahaya radiasi elektomagnetik daripada bintang-bintang yang kelihatan. Panorama itu sangat memukau individu yang melihatnya. Dalam asyik terpukau dengan keindahan bintang-bintang itu, tiba-tiba sebuah meteor melintasi di atmosfera mereka. Laluannya betul-betul di hadapan Kasiopeia, buruj di jumantara utara, buruj yang kekal daripada 88 buah buruj moden kini.



" Awin .... Cepat pasang hajat! ", tutur Rejab spontan.

" Awin tak nak apa-apa sayang, Awin rasa hidup Awin dah lengkap, Awin dah ada abang, cukuplah tu kan? ", Awin membalas, tangannya perlahan-lahan menyentuh perutnya, Rejab tidak perasan akan pergerakan itu. Perasaanya sedikit ganjil bila mendengar tutur kata dari Awin. Namun dia mengeyakan sahaja.

Buat kali kedua meteor membelah langit Nanga Parbat, ia situasi yang jarang-jarang berlaku, di laluan dan hari yang sama. Kali ini Rejab sangat yakin dan pasti bahawa ini adalah peluang untuknya memasang hajat. Rejab merapatkan kelopak matanya, pemula hajatnya sigap dihidupkan, maka dia pun berhajat dalam niat ....

" Aku ingin bersama Awin, sehingga aku berkedut seribu, Awin adalah saksi aku di sini, biarlah aku setia dengannya sampai ke mati ".

Pappp ...!!! Bahu Rejab diguguh Awin. Rejab membuka matanya semula.

" Abanggggg .... Hei abang buat hajat ke abang mengelamun? Panjangnya hajat abang. Hahaha. ", Awin berseloroh, mengusik manja si suami. Cakapnya sedikit bergoyang, dirasakan suhu ketika itu sangat sejuk walau siklon tadi sudah berjam-jam meninggalkan mereka. Nafas mereka terkondensasi membentuk wap-wap di udara Nanga Parbat. Sedar tak sedar, hanya mereka bertiga sahaja yang berada di laluan Kinshofer ketika ini. Mereka harus teruskan pendakian ini untuk bertemu Mazeno Ridge dan sekiranya mereka berjaya ke sana, itu adalah satu petanda bahawa mereka sudah hampir untuk ke puncak Nanga Parbat.

Tidak semena-mena Chawish berdiri tegak di hadapan mereka, dia tersengih-sengih memandang wajah Rejab dan Awin. Chawish adalah seorang Newar yang berkasta Jyapu, secara harfiahnya orang Newar ini menyembah Astamatrikas atau dikenali sebagai "Ajimaa" atas dasar kelangsungan kepercayaan nenek moyang mereka. Demikian itu, terdapat banyak "pengorbanan darah" diamalkan di kuil-kuil sekitar perkampungannya di Nepal Timur. Mereka juga menyembah Dewi ''Vahana Bhairavas".

Newar juga adalah penyembah mazhab Vaishnav, ini dibuktikan dengan pembinaan kuil-kuil Vishnu di sekitar Lembah Kathmandu. Tanpa disuruh Chawish duduk bersebelahan Rejab, ditangannya dia menggenggam kemas sebatang buluh, buluh itu punya tujuh lubang di atasnya dan dicat belang hitam merah. Ia adalah Bansuri, sebatang seruling yang popular di Asia Selatan iaitu di India, Pakistan, Bangladesh dan Nepal.

Bansuri itu ditiup mendayu-dayu, merdu sekali bunyi-bunyiannya. Rejab dan Awin terkesima mendengar tiupan bansuri itu, suami isteri itu erat berpelukan sambil mata mereka dijamu dengan keindahan malam di Nanga Parbat. Rejab dan Awin teringat nostalgia mereka bersama. Hari itu adalah hari yang bersejarah buat mereka berdua, di mana cinta mereka mula berkembang mekar seperti bunga-bunga tulip di Agassiz, pertemuan yang tidak dijangka di kaki gunung Hotakadake.

Siapa sangka mereka dijanjikan cinta pada jarak 5227km di Matsumoto. Ia sesuatu yang tidak diduga dan tiada sebarang skrip yang terlibat di sebalik pertemuan mereka. Perasaan dua merpati sejoli itu bagai terbuai-buai di jumantara ke tujuh, mereka khayal dengan sebuah perasaan yang dikurniakan oleh Tuhan. Chawish meniup bansurinya bersambung-sambung, bunyi itu bergema nyaring meresap ke batu-batu talus Nanga Parbat. Semenjak ketiadaan Chimini, Chawish meninggalkan profesionnya untuk menjadi seorang sherpa gunung.

Tiupan bansurinya membawa dia pulang ke gagang, pulang kepada memori silam yang amat menyakitkan itu. Dia ibarat menghukum dirinya sendiri, dia menyalahkan segala kehilangan yang berpangkalan pada dirinya. Dia memilih untuk menjadi sherpa kerana niatnya yang satu, dia percaya bahawasanya, Dewa Vishnu bersemayam di balik gunung-gunung banjaran Himalaya. Dia pingin ketemu dengan Dewa Vishnu, dia mahu bertanya pada Yang Maha Kuasa itu, dia mahu bertanya ....

" Kenapa Yang Maha Kuasa mengambil semua yang dia miliki, tidak ditinggalkan walau sedikit pun haknya. Dia tahu semua itu bukan hak mutlaknya, tetapi kenapa? Kenapa terlalu awal? Kenapa dia dinafikan haknya? Bukankah dia dewa yang mulia, menghancurkan Anarthas dengan kekuatan Kaumodakinya? Kenapa dengan kekuatannya itu dia gagal untuk menghalang anaknya Yamaraja? Bukankah Yang Maha Kuasa bersifat egalitarianisme? Di mana adilnya?"

Chawish menangis, tidak tertahan rasa rindunya pada ibu dan Chimini. Dia kepingin sekali untuk bermazmur Nasadiya Sukta di hari perkahwinan Chimini, dia kepingin untuk melihat ibu yang dikasihi meletakkan bindi di dahi Chimini, dia berharap sangat Chimini dapat menyuapkan mithai ke mulutnya, senyuman Chimini dan ibunya ditagih sepenuh hati .... Ditagih sepanjang hayatnya ....

Bansuri itu berhenti berbunyi. Keadaan sekeliling menjadi hening. Rejab dan Awin memandang Chawish dengan perasaan dijentik hiba di lubuk hatinya, mereka tiada petunjuk untuk itu namun sudah cukup linangan air mata Chawish menonjolkan sebuah perasaan yang tersirat. Rejab menarik jaket tebal Chawish, lalu direntap hingga ke badannya, mereka berpelukan. Pelukan itu mengurangkan sedikit kesengsaraan sherpa itu, dia reda.

Malam itu, tiga orang itu dikhayalkan dengan pemandangan yang cukup agung, mereka menghabiskan masa sepanjang malam, mengenal hati dalam bercerita, berbicara tentang Kepler's Law, memuji-muji transkrip Astronomia Nova oleh Tychonis Brahe sambil berbaring di atas hamparan salji, menilik rasi-rasi butiran bintang dan .... diam-diam suami isteri itu mengharapkan meteor jatuh buat kali penghabisan pada malam itu, ianya untuk Chawish, khas buat Chawish ....

Malam itu juga, mereka dikhayalkan dengan bunyi-bunyian bansuri, telinga mereka menjamah setiap kord yang dialunkan buluh magis itu, khayal dan terus khayal sehingga mereka lalai, terlupa akan kondisi peranti-peranti yang mereka bawa, alat-alat itu sudah gagal berfungsi sejak ribut kencang tadi, pada cuaca yang begitu ekstrem ini peranti-peranti akan mula menjadi lembab atau 'sluggish', dan tiga orang itu sudah terlepas rutin untuk menyemak semula peralatan mereka. Mereka pulang ke gua kecil, lalu belayar ke pulau kapuk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 03:01 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:14 PM







azeno Ridge atau Rabung Mazeno. Ia adalah sebuah rabung yang mempunyai cerun yang tajam dan lancip hingga ke hujung. Orang-orang Amerika pernah mencuba untuk penggredan batu-batuan di Mazeno Ridge, mereka dapati batu-batuan itu sangat tegap dan liat. Batu-batu talus dan 'scree' di sana secara realistiknya akan bertambah mampat ketika musim sejuk akibat mendapan salji yang hampir memenuhi permukaan Mazeno Ridge. Oleh yang demikian, laluan ke Mazeno Ridge sukar ditandakan secara serius, laluan itu mereka tandakan sebagai Renta IV pada ketinggian hampir 7000m. Timbunan salji-salji itu tidak selalunya jinak, sedikit sahaja daya yang terbit, cukup untuk menghadirkan satu 'raksasa' yang digeruni oleh pendaki-pendaki gunung di atas sana.

Jika anda berada di rabung utara timur Everest di mana Joe Tasker dan Pete Boardman meninggal dunia, anda akan berfikir bahawasanya rabung itu benar-benar sukar untuk ditakluk. Namun, dengan beranggapan kesukaran itu hanya tertakluk pada ketinggian Everest, secara keseluruhannya tanggapan anda terpesong sama sekali. Anda perlu memesatkan lagi usaha-usaha pendakian di rabung Mazeno kerana ia lebih mencabar dan lebih berisiko berbanding rabung utara-timur Everest.

Hari kedua puluh di jajahan Mazeno, Nanga Parbat, ketinggian 6800m, suhu kini mencecah -20 darjah celsius di laluan Kishofer, menuju ke Renta IV. Rejab mencatu bekalan makanan mereka bertiga kerana kuantitinya semakin berkurangan, ia amat diperlukan di Renta IV untuk menambahkan kalori bagi proses menawan puncak gunung Nanga Parbat. Nah, memasak tidak lagi penting dalam situasi ini. Pada ketinggian sebegini, kondisi usus mereka tidak mampan untuk memproses makanan dengan baik jadi ia hanya ditakrifkan sebagai kosmetik kerana tidak memberi banyak manfaat ketika ini.

Isu yang serius yang mereka hadapi kini adalah penghidratan. Rejab, seorang konsultan dan jurutera elektrik masih teringat tentang mesyuarat MEF (Mount Everest Foundation) pertama kali yang dia hadiri di negara jiran, Singapura, bersama pendaki terkenal Everest dan Nanga Parbat, Peter Habeler yang berasal dari Mayrhofen, Austria.

" Perkara paling penting mengenai Himalaya adalah dengan minum air secara kerap untuk mengelakkan penghidratan. Itu menjadi perkara yang sangat besar di kepala saya. Kamu memerlukan kira-kira 7 ke 8 liter sehari untuk sebuah kumpulan kecil pada ketinggian 7000m ", ujar Peter Habeler, ucaptama di mesyuarat MEF 2015, Singapura.

Kumpulan kecil ini menubuhkan kem sementara sebelumnya di Renta III untuk memudahkan mengangkut beban ke permulaan rabung, Rejab berbincang dengan Awin lalu kesepakatan dicapai dan disokong oleh Chawish untuk meneruskan pendakian dengan kaedah Alpine Style. Pada hari kedua puluh ini, pendakian mereka sampai ke jurang Mazeno/Mazeno Gap, di mana jurang itu terletak bersebelahan dengan puncak utama, di Mazeno Ridge di Nanga Parbat. Tiga orang itu mendirikan Bivouac di jurang Mazeno pada ketinggian 5500m dan merancang pendakian hingga ke 7000m bagi penempatan tapak kem sementara seterusnya, Renta III dan 8016m, Renta IV.

Catatan Ringkas dan Rancangan 20 hari Pendakian Rejab dan Awin di Nanga Parbat :

- Jadual Mendaki Am : Jadual di gunung ini adalah sekadar anggaran dan tertakluk kepada perubahan keadaan. Kelewatan/pelepasan awal boleh berlaku mengikut situasi-situasi tertentu.

- Pada waktu mereka mencapai di tapak kem Rupal, Rejab selaku ketua pendakian bersama-sama isterinya Awin dan seorang sherpa, mereka berjalan menuju ke bahagian bawah gunung Nanga Parbat (Rupal Icefall). Di sana, terdapat tali dan tangga yang ditinggalkan oleh pendaki-pendaki sebelum mereka, dan kondisinya masih utuh dan selamat digunakan.

- Mereka telah merancang untuk mendirikan empat kem utama dan masing-masing ditandakan sebagai Renta I hingga Renta IV :

1. Pertamanya, Renta I, pada 13868 kaki/5943m, di permulaan laluan Kinshofer. Kem ini berfungsi sebagai kem perantaraan sehingga Renta II (Tapak Kem Bantuan) yang ditubuhkan pada 19192 kaki/5850m di Bahagian Selatan Rupal. Di Renta II mereka akan mendirikan sebuah khemah besar untuk memasak dan makan serta beberapa khemah yang lebih kecil saiznya sebagai tempat mereka tidur. Renta II akan menjadi asas kepada pendakian mereka sebelum mereka tiba di penempatan kem sementara, Renta III (Mazeno Ridge) dan Renta IV, masing-masing berketinggian (23500 kaki/7162m dan 26300 kaki/8016m).

2. Renta III, yang terletak di kepala cirque (ruang yang berongga di puncak lembah atau di atas pergunungan yang terbentuk oleh hakisan glasier) di Muka Rupal, mereka mendirikan sebuah khemah yang besar seperti di Renta II yang mampu menempatkan mereka bertiga sekaligus. Kem pertengahan ini membantu mereka untuk mencapai Renta IV (Kem Tertinggi) di Kol Selatan. Kebiasaannya seorang sherpa berkemampuan untuk membawa seluruh peralatan terus dari Renta II ke Renta IV.

Selain itu, mereka memerlukan banyak peralatan dari Renta III untuk membina khemah di Renta IV. Bekalan oksigen pula akan mula digunakan pada kedudukan Renta II bagi membantu pendaki untuk mencapai Renta IV sebelum mereka menakluki kemuncak Nanga Parbat yang agung. Dari Renta IV, mereka akan menjelajah sepanjang laluan selatan Mazeno Ridge untuk ke Puncak Nanga Parbat. Dari sana, mereka akan melintasi beberapa ratus meter lagi sebelum tiba di Herrligkoffer Step dan kemudian terus ke puncak utama Nanga Parbat.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 03:10 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:13 PM






rampon siap terpasang di but-but berpenebat milik mereka bertiga. Tiga orang itu menggunakan abah-abah sebagai aplikasi memanjat mengikut kaedah Alpine Style. Mereka sematkan carabiner pada tali kord prusik yang panjangnya menjangkau 40 kaki, tiga carabiner disangkut bersama-sama peranti rapple/belay di pinggang mereka. Tali jangkar diikat pada peranti rapple secara bersiri di pinggang mereka, supaya pergerakan mereka berhubung antara satu sama lain. Rejab menambah tali runner lalu disimpulkan berbentuk gegelung untuk disambung kait dengan teknik ikatan 'girth hitch' pada tali jangkar di pinggangnya. Ia bertujuan untuk menggandakan keselamatan pada diri dan kumpulannya.



Mereka memancang mata kapak ais di badan-badan Mazeno Ridge dengan berhati-hati. Setiap hulu kapak ais itu mereka ikatkan dengan tali nilon supaya jika melorot, ia tidak terus jatuh ke bawah. Kapak ais yang rekaannya bersesuaian dengan paksi glasier di gunung-gunung Himalaya amat diperlukan untuk mendaki Muka Rupal, Nanga Parbat. Panjang kapak ais ditentukan oleh ketinggian si pendaki, jika pendaki itu berada di bawah ketinggian 5 kaki 7 inci, panjang kapak yang ideal digunakan adalah 60 sentimeter (kira-kira 24 inci), manakala pendaki yang berketinggian 5 kaki 7 inci hingga 6 kaki tinggi 2 inci memerlukan kapak yang panjangnya 65 sentimeter (kira-kira 26 inci).

" Come on guys, there's still 100 vertical meters to climb in Renta .... to get to our tents. It's the worst 100 meters before bad weather. Keep climbing !!! Keep climbing !!! Keep climbing !!! Watch out for falling rocks !!! ", Rejab memandang ke bawah, dia menanggalkan topeng oksigennya buat seketika lalu dia melantang kuat suaranya, memberi kata-kata penuh semangat kepada Awin dan Chawish.

Tali prusik mereka berayun-ayun sedikit demi sedikit di tiup angin musim sejuk. Rejab pusang hati bila mengenangkan hujung jari-jemarinya mula menghitam akibat frosbite sejak 3 hari nan lalu. Dia juga agak risau tentang alat-alat peranti yang dibawanya gagal berfungsi akibat cuaca sejuk yang ekstrem, sudah terjatuh dihimpit janjang, sternonya sudah membeku, dapur canister dan pemetik api pula telah bocor tangkinya, dia sudah berfikir-fikir selepas tibanya di laluan Kinshofer ke Renta III di atas sana, dia akan berunding bersama sherpa itu untuk teruskan survival mereka dengan kaedah mencatu bekalan secara ketat. Jika mereka gagal untuk ke puncak Nanga Parbat, Rejab tidak kisah untuk turun semula ke Renta III bersendirian untuk mendapatkan pertolongan kalau-kalau ada kumpulan pendaki lain di sana. Dia berpegang teguh pada kata-kata seorang pendaki gunung yang terkenal, Ed Viesturs :

" Getting to the top is optional. Getting down is mandatory. "

Ed Viesturs adalah seorang pendaki berasal dari Amerika yang telah berjaya menawan puncak gunung yang terkenal di serata dunia, termasuk mendaki Gunung Everest sebanyak tujuh kali. Dia telah melangsaikan niat dan usahanya selama 16 tahun untuk memanjat semua 14 gunung tertinggi di dunia (melebihi 8,000 meter) tanpa menggunakan bekalan oksigen tambahan. Dengan berbuat demikian, secara tidak langsung menjadikan dia sebagai pendaki Amerika pertama dan orang ke-5 di dunia yang berjaya mencapai matlamat ini. Dia mencapai target akhirnya di puncak ke-14, Annapurna, pada 12 Mei 2005.

Ini adalah sebuah pencapaian tertinggi dalam hidup Rejab dan Awin yang boleh dibanggakan, yang boleh dicoretkan pada helaian diari hidup mereka, satu anugerah yang mendamaikan, melapangkan segenap ruang jiwa yang selama ini penuh dengan kekalutan dan kekusutan. Rejab, Awin dan Chawish telah berjaya menjejakkan kaki mereka, di hamparan salji di kaki rabung Mazeno Ridge buat kali pertama. Namun tersirat satu rahasia yang amat mengagumkan di mana Rejab sendiri langsung tidak berteka-teki tentang itu. Kejayaan itu adalah kejayaan mereka berempat, yang satu itu masih dikandung di dalam perut sang isteri.

7000m sudah cukup buat mereka melonjak kegembiraan. Awin tersenyum puas, dia menanggalkan topeng oksigennya, lalu dia mendakap erat badan Rejab, dia menopang dagu di bahu Rejab berkongsi kegembiraan, berkongsi kehangatan adrenalin yang memuncak sedari tadi, tangan kirinya diturunkan ke perutnya, diramas-ramas jaket tebal itu, dia percaya embrio itu dalam keadaan sihat dan kuat, matanya berkaca, ekspedisi ini hampir berjaya. Awin berpaling ke arah Chawish, lalu dia berseloroh, maka berdendanglah rima yang kerap didengarnya,

" I dot, 2 dots, 3 dots, 4 dots, dashed and i slashed.

1 dot, 2 dots, 3 dots, 4 dots, dashed and i slashed.

i dashed, dashed off 3 dots i slashed. "


Chawish terhibur hati melihat telatah Awin yang tidak ubah seperti anak-anak kecil yang bermain Dandi Biyo di daerah Solukhumbu. Biarpun kulit Chawish sudah mulai kerenyut sedikit, namun tampang muka dan air mukanya tetap manis. Maka tidak hairanlah Rejab dan Awin selesa bergaul dengannya. Prognosis yang tepat dalam menilai keperibadian taulan seperti Chawish, tidak mudah alah dan tidak berkira kudrat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 03:23 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:13 PM







egembiraan tiga orang itu disanggah dengan bunyi yang kuat di atas rabung Mazeno, bunyi itu disambut dengan gegaran kecil di dada Nanga Parbat. Mereka tercengang-cengang kehairanan, dan beberapa ketika itu mereka terlihat kawanan angsa berkepala bar, terbang di arah bertentangan dari kedudukan mereka. Kawanan angsa itu seakan-akan dapat mengesan sesuatu pergerakan menghala ke laluan Kinshofer, sesuatu yang besar dan laju. Deria keenam mereka bukan calang-calang, derianya itu sangat sensitif laksana dedaun medang gambung mengesan hujan.

Ram di atas gunung,
Bunyi gema bersambung-sambung,
Empat tanduk besar bertembung,
Seekor berjalan terhuyung-huyung,
Seekor mati jatuh tersandung,
Avalanche bertandang tanda berkabung,
Apa dirempuh terus meloyong,
Kalau hidup memang beruntung.




Rejab merentap tangan Awin, suami isteri itu tergamam melihat avalanche yang deras meluncur turun di laluan Kinshofer, Mazeno Ridge. Keadaan menjadi kalut-marut, Rejab dan Awin berlari menuju ke sebuah tunggul batu yang besar tidak jauh dari kedudukan mereka, mereka segera merebahkan badan untuk berlindung di balik tunggul batu itu. "Make hay while the sun shines".

" Kedua-dua mereka hilang ayat apabila melihat Chawish bergelut dengan tali jangkar yang bersimpul di pinggang bersama-sama peranti rapplenya. "

" Come on Chawish ... Chawish !!! ", Rejab dan Awin menjerit sederap ke arah Chawish.

Jeritan itu tidak diendahkan oleh Chawish, nafasnya keras dan deras, sederas avalanche yang menuju ke arahnya kini. Sherpa itu bersusah payah merenggangkan simpulan tali jangkarnya, dia kesuntukan waktu, dia harus meloloskan diri secepat mungkin. Dia kaget sehingga terlupa akan pisau belati yang tersisip di pinggang kanannya. Avalanche sudah berada pada jarak 30 meter di hadapannya, runtuhan salji itu merempuh apa sahaja yang menghalang laluannya.

Tangan itu sudah berhenti bekerja, Chawish seakan-akan pasrah dan hanya membilang detik rempuhan avalanche sebentar lagi. Dia menerkup mukanya dengan kedua belah tapak tangan rapat-rapat dan pada masa yang sama Rejab dan Awin telah bersedia memaut tunggul batu itu sambil berteleku dengan mencondongkan badan mereka hingga lutut bertemu dada. Rejab sempat mengerling ke arah Chawish sebelum rempuhan avalanche yang maha dahsyat menerjah mereka. Pelepasan tenaga secara tiba-tiba dan mendadak mewujudkan gelombang seismik, buat tanah banjaran Himalaya bergoncang pada 3.3 skala richter. Ia jarang-jarang berlaku sejak tahun 1968, di puncak K2.

Maka, Avalanche bertemu jurang Mazeno, antara jurang paling tirus di dunia ....

" Anjing galak, babi berani ".

" When Greek meets Greek, then comes the tug of war ".

Avalanche telusur deras sepanjang laluan Kinshofer, Nanga Parbat, menggendong beribu tan salji bersama-sama tiupan angin yang menggarau bunyinya. Angin itu berkesiuran di segenap rongga-rongga dinding Nanga Parbat, bunyinya ibarat semboyan perang berseru. Chawish dirempuh runtuhan salji itu tanpa belas, litak dia berguling-guling di dalam timbunan salji itu. Rohnya seakan-akan mahu bercerai dari jasad. Dia tidak mahu nasibnya seperti 10 pendaki yang mengabaikan larangan di gunung Otgontenger, Mongolia. Dia berpelantingan melepasi tebing jurang Mazeno, bersama tali jangkar yang berbelit pada peranti rapple, dia berayun laju lalu badannya terhempas pada batu talus yang liat ....

Buat seketika, semuanya menjadi gelap ....
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-9-2018 03:28 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:12 PM







endinya sakit-sakit, kulit Rejab bahagian pangkal hidung perih berbirat kemerahan bahana rempuhan salji tadi. Rejab meloloskan diri daripada terkepung dek timbunan salji yang membukit. Dia menarik tangan isterinya itu ke atas. Awin masih bernafas namun kelihatan tidak bermaya. Mukanya pucat-pasi, jika ditoreh kulitnya ketika itu, nescaya tidak terbit darah. Rejab memapah Awin ke tempat yang landai, direbahkan badannya bersandar di dinding gunung yang berlengkok. Rejab memasang semula topeng oksigen ke muka Awin, dilaraskan sedikit pelaras kepada 6 LiterPerMinit (LPM) yang terletak pada 'nozzle' tangki oksigen itu, mujur tangkinya tidak bocor dan masih berfungsi seperti biasa.

Rejab teringat akan Chawish. Dia menanggalkan beg galasnya lalu dia bergegas ke arah tebing Mazeno Gap. Nafasnya tidak teratur, nafasnya pendek-pendek seperti orang kelelahan. Butnya tersandung sesuatu, hampir tersembam wajahnya ke salji nan tebal itu. Tali jangkar sepanjang 20 meter di hadapannya buat Rejab tersenyum kecil, tali itu menegang dan sedikit bergerak-gerak. Ia menunjukkan klu di mana Chawish mungkin terselamat daripada rempuhan avalanche. Rejab tidak berlengah waktu, dia menelusuri sepanjang tali prusik hingga ke hujung. Dijengul kepalanya ke tebing Mazeno Gap, satu susuk terdongak ke atas dengan tangan mendepang ke sisi. Chawish tidak sedarkan diri, mujur abah-abah itu menyangga badannya. Rejab menggumpal salji padat-padat sehingga membentuk ketulan kecil lalu dilontar ke arah Chawish.

Sherpa itu membuka matanya perlahan-lahan, dia dalam keadaan terkejut apabila dia merasa dirinya terawang-awangan di udara, ke langit tidak, ke bumi pun tidak. Jarak Chawish dan Rejab hanya berkedudukan 15 meter sahaja. Tidak semena-mena mata mereka berdua tertumpu pada arah yang sama, tali prusik yang membelit 'belay'nya bersama-sama tali jangkar telah genting sedikit demi sedikit akibat bergesel dengan tunggul batu talus dan 'scree'. Dengan berat badan Chawish dan beban 75kg beg galasnya sudah cukup untuk membuatkan kelenjar adrenal mereka merembeskan epinephrine.

Anak jati dari Dhankuta itu menghela nafas panjang, dia memandang ke bawah melihat kabus-kabus tebal melitupi cerun-cerun Nanga Parbat. Chawish menanggalkan kedua-dua sarung tangannya. Dia membuang sarung tangannya ke bawah. Dia menyeluk saku jaket penebatnya untuk mencari sisa-sisa carabiner yang tinggal. Chawish menyangkut dua biji carabiner pada tali jangkar di pinggangnya. Jeritan Rejab bertalu-talu di atas tidak diendahkan oleh sherpa itu. Dia mahu menjawab, tetapi biarlah dia selesaikan tugasnya dahulu. Dipotong sedikit tali runner di tepi beg galas dengan menggunakan belati yang tersisip di tepi pinggangnya. Chawish tersenyum sinis, dia berasa dongok kerana terlupa akan pisau itu sewaktu avalanche merempuhnya tadi. Tanpa membuang masa, disimpulkan tali runner tadi pada pemegang beg, selebihnya diikat berbentuk gelung lalu dicangkuk ke carabiner tadi.

" Boss .... !!! ", bergema pekikan Chawish di sekitar jurang Mazeno.

" Chawish .... !!! Are you alright? Hold on, don't make any moves. Gimme one sec., I bring a pulley to pull you up. Hold on my friend ", ketua ekspedisi itu menjanjikan pertolongan kepada anak buahnya.

" Boss .... !!! ", Chawish memekik lagi. Pekikan kedua itu membantutkan langkahan Rejab, dia memandang semula ke bawah.

" Boss .... !!! Li ... Li ... Listen !!! You don't have much time left ... !!! Bo .... Bo .... sss you need to chase angels or fleeing demons .... don't waste your time, go .... go to the peak of mountain. I .... I can sense the light now. The time has come. Bahini .... Amma .... They're waiting for me. Boss ... don't forget to put my name in your diary. It ... It's always a pleasure to serve you ... !!! Goodbye .... boss !!! ", mengkali itulah kali terakhir sherpa itu menyuarakan isi hatinya. Tutur katanya sedikit gagap bahana suhu yang sejuk melampau.

Chawish menanggalkan beg galasnya, begnya itu telah tergantung kukuh pada tali runner yang diikatnya sebentar tadi. Dia perlahan-lahan memotong tali jangkar itu, sedikit demi sedikit tali itu tertetas. Hairannya, dia tidak sedikit pun bermuram durja, dia langsung tidak takut, hatinya menjadi tenang, dia senyum .... Senyumannya itu meleret-leret, tidak putus-putus di bibirnya. Sudah tiba masanya untuk dia bersama-sama dengan Chimini dan ibunya semula. Sudah tiba masanya untuk dia ketemu dengan dewa Vishnu dan bersemuka dengan Yamaraja. Di dalam sanubarinya, dia menelah suatu hari nanti pasti ada insan yang sudi menjalankan upacara Antyesti untuknya.

Rejab membentak kuat.

" You stupid ... !!! "

" Noo .... !!! Noo .... !!! "

" Don't cut the rope. Ple .... ase .... !!! "

" Chawishhhhhhhhhh .... !!! "

Maka, rurutlah tubuh bekas guru itu dari jurang Mazeno, hanya beberapa ratus meter sahaja untuk dia menggapai rabung Mazeno atau Mazeno Ridge. Apakan daya, Yang Maha Kuasa sudah mentakdirkan, dia hanya mampu merunduk tidak membantah dengan nasibnya ....

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 03:35 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:11 PM







hawish hilang di pandangan dan jiwanya ucul seperti burung-burung Godwit berterbangan di pantai-pantai tropika dan Old World .... Rejab bertempik. Dia bersujud di tebing jurang Mazeno, disengguk-sengguk kepalanya ke hamparan salji, dirasakan dirinya tidak mampu untuk membuang kisah tragis ini, selama hayatnya dikandung badan, semuanya sudah terekod! Rejab sedu-sedan, sherpa itu sanggup menggadaikan nyawa untuk memastikan mereka berdua kekal hidup bagi meneruskan misi mereka iaitu menakluk puncak 'Gunung Pembunuh'.



Dalam pada dia bersujud, dipusingkan kepalanya ke kiri, sipi-sipi dia mengerling Awin yang sedang lesu bertelut di lengkok dinding gunung Nanga Parbat. Awin menangis teresak-esak, dia tahu apa yang sudah berlaku. Hujan mula merintik, Rejab menarik tali prusik itu perlahan-lahan, ditariknya cermat-cermat agar tali itu tidak terhentak putus. Beg galas itu amat bermakna buat mereka, isinya penting untuk mengekalkan survival mereka pada hari-hari mendatang di sini.

Beg galas itu berjaya dibawa naik. Rejab mengendong beg itu ke arah isterinya, dia lelah, beg itu tidak seberat beban yang dipikul di kepalanya kini, janggutnya yang mulai memanjang sudah dihinggap hablur ais. Dia mengeluarkan lebihan potongan aluminium yang digulung dan diikat dengan pengikat kabel daripada begnya. Lalu beg galas itu dilapik dengan potongan aluminium tadi bagi memudahkan Rejab menarik beg itu di atas hamparan salji tanpa daya geseran yang tinggi.

Dengan berat yang mencecah 75kg, tidak mudah untuk kepingan aluminium itu terlucut ketika dia mengheret beg itu nanti. Rejab membalut peha kanannya dengan dua helai baju miliknya, diambilnya pita perekat untuk dicerut ketat-ketat di sekeliling balutan bajunya tadi agar ia tidak melorot ke pergelangan kakinya. Ditambatnya baki tali prusik pada beg galas milik Chawish itu ke lututnya. Ia adalah sebagai gantian abah-abah pengheret yang selamat terperosok di perut alavanche tadi.

Rejab menyarung kembali beg galasnya. Awin pantas menggabai bahu Rejab lalu bingkas daripada posisinya, dipapahnya Awin, maka sebermula langkah disusun bertolaklah mereka, 'maut' itu bagai menjejak mereka di ceruk-ceruk Nanga Parbat. Tidak boleh leka sedikit, tidak boleh alpa sedikit, nyawa di sini seakan-akan tiada nilainya. Awin menghulurkan kompasnya kepada Rejab, mereka harus mencari tempat berlindung secepat mungkin sebelum malam bertandang. Pasangan itu beredar meninggalkan tebing jurang Mazeno dengan hati yang pilu, perasaan buram bertangkai di sanubari dua orang itu. Mereka pun berlalu pergi, kali ini hanya berdua menyusur laluan Kinshofer.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 03:41 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:10 PM







i dalam gua sempit dan kelam itu, Awin menahan sakit, Hipoksemia yang kejam melanda dirinya, tekaknya mula mual-mual, kepalanya sakit seperti mahu pecah. Rejab tidak putus-putus memberi kata-kata semangat kepada isterinya, kata-kata diiringi hembusan nafas dingin menerjah bahunya si Awin. Rejab kepingin isterinya itu dititipkan semangat baharu yang utuh, supaya mereka dapat meneruskan survival, untuk terus hidup dan berpeluang merasai kehangatan sinaran mentari di bumi Malaysia nan bertuah.

Di siling gua itu terdapat stalaktit dan stalagmit, kadang terdapat lorongan kecil kesan ais mencair dan titis air dari lantai Nanga Parbat di atas. Suasananya gelap-guguk, tanpa sedikit pun cahaya, bergaung saat bersuara dan serba-serbi menakutkan. Di semua sudut gua sentiasa basah, kadangkala lecak, suhunya sedang-sedang sejuk kerana gua ini terbina dari luluhan batuan yang sering berkembang di permukaan gunung. Rejab terkadang-kadang melangkah berhati-hati, sangat waspada dan bunyi air menitis ke dalam takungan merimaskan.

Awin memegang perutnya perlahan-lahan, diusap-usap perutnya yang mula membulat, atas ke bawah, melintas pusat ke tundun, lantas matanya berkristal menakung air nan jernih. Beberapa detik itu, titisan jernih meleleh di pipinya, tidak tertahan lagi hatinya, tidak lagi terbendung perasaannya. Awin menutup kelopak matanya perlahan-lahan. Dia mahu melupakan kesakitannya sementara.

Ketika itu tidak semena-mena dia terlihat, dengan samar-samar cahaya bulan jahang menyinar, namun cahaya yang sedikit itu, diadang dengan kekabus yang menebal, bertiup sekitar Mazeno Ridge runut siklon yang berbaki merubah jadi angin. Puputan angin dingin itu menghasilkan bunyi yang mersik, mampu menaikkan bulu roma sesiapa yang mendengarnya, maka tertumpu penglihatannya pada seketul batu yang terukir di atasnya sebuah nukilan akhir. Nukilan itu terukir dalam bahasa asing, kakisan putih terzahir mungkin hasil torehan belati yang tajam, bahasa yang dia tahu tentang nahunya, sintaksisnya, morfologinya dan tentang tatabahasanya, bahasa dari bumi matahari terbit, di atas batu itu ternukil, serangkap ayat .... Awin mula menelaah ayat itu satu persatu,

いばらき よ。
Ibaraki yo.

地球は冬で寒くて暗い。
Chikyu wa fuyu de samukute kurai.

ぢゃ。
Ja.

さやうなら。
Sayonara.

なおひろ おざわ。
Naohiro Ozawa

" Ibaraki, kawan!

Bumi sudah bermusim sejuk, sejuk dan gelap.

Nah, selamat tinggal.

Dari Naohiro Ozawa."


Matanya mula dipejam rapat, Rejab mendakap Awin dari belakang, dakapannya erat, walau jaket yang disarung Awin tebal, namun tulang dadanya yang lekung ke dalam terasa di belakang Awin. Rasa hangat sedikit lalu kuranglah seinci penderitaan daripada Hipotermia yang rakus menerjah badan sang isteri. Rejab merengkuh Awin, mereka jendera, seperti posisi janin tidur ....

Petang 28 Julai 2006, di Mazeno Ridge pada ketinggian 6900m, kelihatan sebuah Bivouac terayun kiri dan kanan. Di dalam Bivouac itu, seorang pemuda yang mengerekot kesejukan sedang bertarung dengan AMS, gejala yang digeruni oleh para pendaki. AMS atau Acute Mountain Sickness atau Penyakit Gunung Akut (Hipoksemia, Hipoksia) adalah gejala oksigen darah rendah disebabkan berada pada kedudukan yang tinggi. Pendaki akan merasa sakit kepala, hilang selera makan, mual, muntah, rasa sakit pada sendi dan tidur yang terganggu.

Tiba-tiba satu bunyi dentuman yang kuat kedengaran dari puncak sana, dentuman itu disusuli dengan runtuhan salji yang besar, menggeluncur deras ke bawah, betul-betul menuju ke Bivouac milik pemuda itu. Dentuman itu seperti jentayu berseru meminta hujan, namun bukan hujan yang tiba. Pemuda itu tersentak, avalanche itu laju menderu ke bawah, dia bersungguh meloloskan diri daripada beg tidurnya, buat seketika dia terlupa tentang AMS yang melanda dirinya, apa yang terlintas pada benak fikirannya ketika ini, adalah menyelamatkan dirinya daripada rempuhan avalanche. Pemuda itu tidak mahu ceritera hidupnya diklasifikasikan sebagai deus ex machina dan itu sesuatu yang bertentangan dengan kamus hidupnya. Dia tidak mudah alah ....

Maka mafhumlah, terkadang yang dimakan, tidak semua berasa. Fisherman's Knot yang ditambat pada diameter batu Nanga Parbat terlerai, Bivouacnya musnah sama sekali. Jasadnya terpelanting jauh, berguling-guling di cerun gunung dibawa runtuhan salji tebal. Akibat rempuhan kuat avalanche yang maha dahsyat, dia mengalami Syncope. Selang beberapa waktu, pemuda itu secara spontan terjaga dari pengsan dan dia tahu apa yang terjadi sebentar tadi. Pemuda itu gagahkan diri merangkak perlahan-lahan di atas salji yang menebal untuk mencari tempat berlindung. Dia cuba untuk berdiri, namun kakinya tidak mapan untuk menahan beban jasadnya.

Hari kesembilan belas pemuda itu di Nanga Parbat, bahagian Rupal, suhu menjunam kepada takat -27 darjah celsius, sejuknya menggerogot ke tulang hitam, ribut mula melanda di pergunungan Nanga Parbat membuat keadaan menjadi zulmat. Hari semakin gelap, pemuda itu terlalu jauh dari Mazeno Ridge dan dia tidak tau di manakah lokasinya terkini. Bekalan oksigennya telah habis beberapa hari lalu, beg sandang belakangnya hirap ketika avalanche menerjah Bivouacnya tadi, tiada apa yang tinggal padanya melainkan jasad nan lemah dan Hipotermia.

Penglihatannya tidak jelas, kondisinya merudum akibat pembentukan hablur ais di sekeliling mata dan mukanya. Namun pada penglihatan yang redam itu, dia melihat di hadapannya sebuah gua kecil dan pada masa yang sama dia sudah berhalusinasi tentang Ibaraki, kampung halamannya. Dengan hati yang rawan, tanpa diundang pemuda itu terus masuk ke dalam gua kecil yang gelap, dia tidak tahu apa isi di dalamnya, yang dia tahu, gua itu mampu membawanya pulang ke Ibaraki!

Hipoksia sesuatu yang memilukan, kurangnya oksigen di dalam otak menyebabkan sel-sel otak terganggu dan gagal berfungsi dengan baik, maka halusinasi akan menjelma di minda hos. Di dalam gua itu, Naohiro Ozawa mengeluarkan belati kecil Higonokami daripada sakunya. Dia meraba-raba tangannya, dia mengukir sesuatu di atas sebuah batu dalam gua itu. Mesej akhir untuk dikenang dan Awin adalah salah seorang pembacanya. Hiro rindu-meredap dakapan ibunya, dia rindu washoku ibunya dengan bauan aroma sup miso, dia rindu untuk berlari-lari di atas latisan di hutan Tokai kerana takut dengan usikan kakaknya tentang Ibaraki Doji, halusinasi merubah ulahannya seperti keanak-anakan .... dia pulang budak ....

" Jikalau kulihat dalam tanah pada ehwal sekalian insan,

Tiadalah kudapat bezakan antara rakyat dan sultan,

Fana juga sekalian yang ada, dengarkan yang Allah berfirman,

Kulhu man'alaihi, iaitu,

Barang siapa yang di atas bumi itu kan lenyap jua. "


Qit'ah berumbikan Arab-Parsi, di dalamnya tidak mencapai sepuluh baris, diperkenalkan melalui Tajus-Salatin, didaktik bahawa tiada apa yang kekal di dunia ini.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-9-2018 03:48 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by KILL_NANCY at 24-9-2018 06:10 PM








i suatu kediaman yang tidak diketahui lokasinya .... pagarnya sedikit berkarat namun dikunci rapat-rapat kadang bunyi loceng tersangkut di atasnya gemerencing dipuput bayu membelai. Rumah itu punya empat bilik di dalamnya, tidak terlalu luas, sedang-sedang saiznya, dinding-dindingnya dibendung lantai kayu lamina, kemas buatannya tidak terlihat sedikit pun ira dan liang kayu. Rata semuanya. Tonanya perang gelap dengan sapuan cat licau dan semburan lekar jernih menambah lagi kemasan kayu nan menawan. Di tengah-tengah ruang dapur itu, terpasang sebuah berendul elektrik, menampung bayi yang jenuh gelak diagah-agah ibunya sejak tadi.

" Baa .... cakkk!!! "

" Baa .... cakkk!!! "

" Anak ibu krenyeh-krenyeh dalam endoi .... "

Ditinggalkan anak itu sementara dia mengacau kuah yang menggelegak di dalam periuk. Masak lemak ikan keli salai itu dipanaskan untuk makan malam sebentar lagi. Ibu itu terkadang mengerling ke arah berendoi, kain endoi itu dilihat bergerak-gerak, anak yang satu itu memang liat hendak lena. Kalau tidak didodoi, tidak ditepuk-tepuk manja, jangan harap dia mengatup mata. Sempat mata si ibu melihat jam yang tergantung di dinding dapurnya. Sudah jam lapan empat puluh minit malam, hidangan malam harus disiapkan secepat mungkin kerana ketika itu si suami dalam perjalanan pulang. Tiba-tiba .... Tidak semena-mena ....

Si ibu tadi mengerling semula ke arah berendul anaknya, ayunan itu masih ada tapi kain tampung itu terangkat-angkat membawa makna tiada beban di dalamnya. Hati si ibu berdebar-debar bila dia mendekati berendul itu. Sungguh, berendul itu kosong!!!

" Uwekkk .... Uwekkk .... ", kedengaran suara tangis bayi di belakang rumahnya.

Si ibu tadi berlari laju bergegas meluru ke belakang rumah, daun pintu itu yang sudah terbuka luas membuatkan dadanya semakin berdebar kencang. Di saat dia melangkah keluar, langkahannya terhenti. Tapak kakinya terasa sejuk seolah-olah dia berdiri di atas bongkahan ais. Baru dia tersedar, dia berada di suatu tempat yang asing baginya. Tempat itu di kelilingi hamparan salji yang menebal, penglihatannya terhad kerana diadang kabus-kabus tebal. Si ibu terkejut di kala terdengar bunyi guntur bersama kilat membelah ruang langit.



" Uwekkk .... Uwekkk .... ", tangisan si kecil itu semakin kuat dan jelas.

Tangisan itu menguatkan lagi semangat si ibu, tidak dihiraukan sejuk yang menggerogot. Dia terus berlari ke depan mengikuti runut tangis itu, baginya tiada sesiapa yang berhak merampas anak itu daripada jagaannya. Matanya terpandang susuk tubuh seorang perempuan yang berkurung putih berlari sambil menggendong sesuatu. Si ibu yakin perempuan itulah yang sedang melarikan anaknya. Si ibu semakin menghampiri belakang perempuan itu. Nafasnya laju beralun, jantungnya juga laju berdegup lalu dicapainya bahu perempuan itu, direntapnya sehingga perempuan itu terpusing ke arahnya. Terkejutnya bukan kepalang, bila melihat tampang muka perempuan itu seperti wajahnya, tidak gugur sedikit pun sangat persis!

Salji memutih berterbangan menghinggapi pipi dan rambut si ibu bagaikan benalu di pohon merbau. Si ibu sangat keliru. Dia keliru dengan apa yang berlaku di hadapannya kini. Dia mundur ke belakang perlahan-lahan sambil bergeleng-geleng kepalanya. Dia tidak paham, tidak mengerti dengan apa yang dilihatnya. Ibu itu mundur dan terus mundur ke belakang, tanpa dia perasan ada gaung menantinya di belakang. Dadanya dirasa kian sempit, sukar untuk dia bernafas, dalam pada itu mata si ibu membelalak kerana langkahnya sudah berakhir .... Badannya melayang jatuh ke dalam gaung yang sangat dalam ....

" Arghhhhhhhh .... !!! ", jeritan Awin terdengar bergaung di segenap penjuru gua itu. Awin terjaga daripada tidurnya. Dadanya berombak-ombak dan nafasnya sungguh keras, seakan-akan tidurnya dijengah mimpi buruk.

Rejab yang berbaring di sisi terus bangkit mendengar jeritan Awin. Dia lantas memeluk isterinya itu dari belakang, maka hormon oksitosin mula dirembeskan menunjukkan cinta yang tidak berbelah bahagi pada sang isteri. Rejab menenangkan Awin yang ketika itu seperti tersentak pada sesuatu perihal yang samar-samar. Awin seakan mangau memikirkan mimpinya tadi, adakah ini satu ramalan buatnya? .... seperti mimpi C. G. Jung pada tahun 1913, di mana dia melihat darah yang memenuhi sungai-sungai besar mengalir ke seluruh peta Eropah. Kurang setahun berlalu, Archduke Franz Ferdinand dari Austria dibunuh pada 28 Jun 1914 maka Perang Dunia I berlaku ....

" Sayang, kenapa ni? Sayang ok tak ni? Badan Awin bisa-bisa lagi ke? ", pertanyaan bertalu-talu dari Rejab kerana perasaan buncah telah bersarang di hatinya sejak tadi.

Awin tidak menjawab pertanyaan suaminya, posisinya pegun membatu, matanya hanya tertumpu pada ruang pintu gua itu dan sedikit pun tidak berkerdip. Dia seperti orang bingung. Secara tiba-tiba Awin rasakan ada sesuatu di celah kelengkangnya. Ketidakseimbangan kimia di tubuhnya membuatkan 'neurotransmitter' menghantar maklumat ke otak secara tidak konsisten, sekaligus menjadikan Awin panik ketika itu! Awin bingkas dari duduknya. Ditanggalkan sut penebat berbulu yang bersambung dengan celana itu dengan segera, manakala Rejab di sisi cemas melihat Awin yang melanting-lanting seperti cacing kepanasan. Usai sut itu ditanggalkan, Awin terus menyelak celana katuknya. Terlihat janin sebesar ruas jari lelaki dewasa, satu inci panjangnya, bersama tompokan darah yang melekat-lekat di fabrik celana katuknya.

" Arghhhhhhh .... !!! ", Awin melolong sekuat hati, tubuhnya dirasakan panas hingga ke telinga, rasa sejuk yang bermaharajalela di sekitar Nanga Parbat tidak diendah, linangan air mata yang mencurah-curah mengalir deras di kiri kanan pipinya. Dia berasa sesal dengan pilihannya ....

Ada satu pantun kiasan lama, bila dibaca menusuk jiwa,

" Dua belas bintang di langit,

Bintang diraja dari Melaka,

Kata tuan pinang bergigit,

Kapur bercampur air mata. "


1 Disember 2018, capaian suhu ketika itu mencecah -22 darjah celsius dengan kelembapan 94%, berbaki dua jam sahaja lagi untuk pertukaran siang ke malam. Hari kedua puluh, pendakian musim sejuk di Nanga Parbat, dua susuk sedang terkandas di dalam sebuah gua kecil akibat cuaca melampau. Rejab bersandar pada dinding gua sambil berlunjur kaki. Dia menerkup mukanya berkali-kali, dia mengusutkan rambutya dengan jari-jemari yang menghitam bahana frostbite. Ingin sahaja dia menjerit sekuat hati tapi dipendamkan perasaan itu takut-takut Awin terasa hati. Ingin sahaja dia menghantukkan kepala ke dinding gua yang mungkum.

Sangat sulit untuk dia menghadam dan menerima penerangan daripada isterinya. Hari ini adalah hari yang sangat mendukacitakan bagi mereka berdua, mereka kehilangan seorang sherpa yang berwibawa diikuti dengan Awin yang mengalami keguguran. Mereka perlahan-lahan menerima ujian ini sebagai sebahagian daripada resam hidup yang perlu dilalui dengan hati tabah. Rejab merangkul Awin rapat-rapat, si isteri sudah berhenti menangis, hatinya mulai tenang. Dia pasrah ....

Rejab menyelongkar beg galas Chawish. Dia mengeluarkan sehelai baju lalu dikoyakkan baju itu menjadi lebar terbentang. Disobek sedikit baju itu berbentuk segi empat, bakinya dimasukkan semula ke dalam beg Chawish. Rejab mengutip janin tadi di atas tunggul batu, dikenakan janin itu ke permukaan salji untuk menghilangkan darah yang melekat. Maka Rejab meletakkan janin itu di atas serpihan baju tadi, dibungkusnya elok-elok, lalu dia ke hujung penjuru gua, dipancangkan mata penyodok kecil di atas batuan-batuan lembut berkelok-kelok, dikorek lubang hampir sekaki dalamnya dan janin itu dikebumikan bersama sepotong ayat daripada surah Taha ayat 25.

Awin berbaring membelakangkan Rejab. Tidak sanggup untuk dia memandang .... Mata yang kusam bengkak dengan garis-garis hitam yang berselirat di bawahnya dipaksa untuk pejam. Sampai dia terlena sendiri ....
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 10:25 AM GMT+8 , Processed in 0.403847 second(s), 56 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list