Sebanyak 42 filem bersaing merebut 24 kategori dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM30), 30 Mac ini.
Pengarah festival terbabit, Abdul Khalid Maulod, berkata semua karya dicalonkan untuk merebut trofi utama, termasuk Filem Terbaik, membabitkan penerbitan dalam pelbagai bahasa.
"Daripada pencalonan awal, kita boleh nampak kepelbagaian genre, kisah dan bahasa yang diketengahkan, malah masing-masing berpotensi membawa pulang trofi.
"Daripada 42 karya yang bertanding kali ini, 25 daripadanya adalah filem berbahasa Malaysia, lapan naskhah Mandarin, tujuh Tamil dan dua lagi Kantonis," katanya pada sidang media FFM30, di sini hari ini.
Antara filem yang berentap pada festival itu ialah Pulang, Dukun, KL Special Force, One Two Jaga, Papa Come Home, Neeyum Naanum, The Kid From The Big Apple 2: Before We Forget, Kau Takdir Ku, Polis Evo 2, Tombiruo dan Munafik 2.
Sementara itu, katanya, sebanyak tiga lagi trofi tidak dipertandingkan membabitkan Anugerah Penggiat Belakang Tabir, Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman dan Anugerah Filem Box Office.
Kata Abdul Khalid, calon Top 5 bagi setiap kategori dipertandingkan pula bakal diumumkan seminggu sebelum malam kemuncak berlangsung.
FFM30 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).