CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1848|Reply: 1

Valentina Tereshkova, Angkasawan Wanita Pertama Dunia Dari Russia

[Copy link]
Post time 22-11-2018 10:03 AM | Show all posts |Read mode
Edited by leblues at 22-11-2018 09:58 AM




Ketika fasa awal eksplorasi ke angkasa lepas, dua buah kuasa besar dunia, Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat masing-masing bersaing untuk menjadi pelopor utama dalam bidang ini. Walau bagaimanapun, Kesatuan Soviet lebih terkehadapan sehingga memaksa pihak Amerika Syarikat melancarkan operasi khas merompak satelit bagi mencuri teknologi penerokaan angkasa lepas milik Kesatuan Soviet.

Kehebatan Kesatuan Soviet pada masa itu dapat dilihat apabila mereka terlebih dahulu melancarkan hidupan pertama ke angkasa lepas dengan menghantar Laika, iaitu seekor anjing sebagai bahan ujikaji. Malangnya, Laika terkorban dalam misi tersebut.

Seterusnya, mereka juga berjaya mencipta rekod menghantar manusia pertama dunia, Yuri Gagarin pada tahun 1961 melalui pelancaran roket Vostok 1. Namun, tahukah anda pihak Soviet juga sebenarnya berjaya menghantar angkasawan wanita pertama dunia dengan pemilihan Valentina Tereshkova melalui misi Vostok 6 pada tahun 1963?


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 22-11-2018 10:03 AM | Show all posts
Hanya wanita biasa daripada keluarga yang miskin



Jika dilihat daripada latarbelakangnya, Valentina Tereshkova bukanlah wanita yang datang daripada keturunan atasan ataupun memiliki kepintaran luar biasa. Sebaliknya, ibunya bekerja di kilang membuat pakaian manakala bapanya bekerja memungut hasil tanaman di ladang.

Lebih menyedihkan, bapanya terbunuh dalam Perang Dunia Pertama ketika beliau hanya berusia 2 tahun. Beliau lahir pada 6 Mac 1937 di Bolshoye Maslennikovo, sebuah kawasan perkampungan yang terletak 277 kilometer daripada bandar Moscow.

Ketika berusia 16 tahun, beliau mengambil keputusan untuk berhenti daripada persekolahan dan turut sama bekerja di kilang membuat pakaian. Di usia remajanya, beliau bergiat aktif dalam pelbagai persatuan yang berfahaman komunis.

Walau bagaimanapun, ketika menyertai Kelab Sukan Udara Yaroslavl, minatnya terhadap sukan payung terjun mula bercambah. Kerana minat yang begitu mendalam, beliau sanggup mengikat perut mengumpul duit bagi merealisasikan impiannya untuk membuat terjunan payung terjun.


Mendapat inspirasi daripada Yuri Gagarin



Selepas Yuri Gagarin menjadi manusia pertama berada di angkasa lepas pada tahun 1961, Valeinta Tereshkova telah menawarkan diri menjadi sukarelawan bagi program angkasa lepas Soviet.

Menariknya, walaupun langsung tidak mempunyai kemahiran sebagai juruterbang, beliau terpilih menyertai program tersebut kerana kemahirannya dalam melakukan terjunan payung terjun. Ketika itu beliau sudahpun melakukan 126 kali terjunan.

Beliau mendapat kelebihan ini memandangkan pada ketika itu, setiap angkasawan perlu melakukan terjunan melalui payung terjun beberapa saat sebelum roket tersebut sampai kembali ke muka bumi. Dalam pemilihan ini, beliau mengalahkan ratusan calon lain yang majoritinya adalah lelaki.

Bersama 4 lagi calon angkasawan wanita, beliau menjalani pelbagai latihan sukar. Ini termasuklah satu ujian berada dalam keadaan graviti ekstrim dan keadaan graviti sifar. Daripada kelima-lima orang calon wanita tersebut, akhirnya beliau terpilih untuk dihantar ke angkasa lepas sebagai angkasawan wanita pertama dunia.


Menyertai misi Vostok 6



Akhirnya, cita-cita dan impian besar beliau menjadi kenyataan. Beliau terpilih sebagai juruterbang bagi misi kapal angkasa Vostok 6. Ianya adalah misi berkembar dimana beberapa haritu sebelum itu, roket Vostok 5 telah dilancarkan. Misi Vostok 5 ini diketuai oleh angkasawan Valeriy Bykovsky.

Kedua-dua roket ini mengorbit bumi mengikut laluan yang berbeza dan saling berhubungan antara satu sama lain ketika berada di angkasa lepas. Melalui misi ini, beliau telah berada di angkasa lepas selama 70 jam dan berjaya mengelilingi bumi sebanyak 48 kali.

Misi angkasawan wanita pertama dunia ini juga dipaparkan secara langsung di siaran-siaran televisyen Soviet dan negara-negara Eropah. Walaupun kelihatan gembira di televisyen, beliau sebenar tidak mengetahui satu perkara buruk mungkin terjadi kepada dirinya selepas itu.


Masalah teknikal kapal angkasa yang hampir meragut nyawa



Dalam dunia eksplorasi angkasa lepas, satu kesilapan besar sebenarnya mampu memberikan impak yang besar dan mengorbankan nyawa. Terdapat kesilapan pada perisian navigasi kapal angkasanya yang menyebabkan kapal angkasa tersebut tersasar daripada laluan utamanya dan semakin menjauhi bumi.

Beliau bernasib baik kerana menyedari perkara ini dan pantas memaklumkan kepada para saintis Soviet di Bumi. Mereka akhirnya berjaya menukar arah pergerakan kapal angkasa ini dan Valentina Tereshkova akhirnya berjaya kembali ke bumi walaupun beliau mengalami sedikit kecederaan pada mukanya.

Beliau telah mendarat dengan selamat di kawasan Altay yang kini berada di kawasan persempadanan Kazakhstan, Mongolia dan China. Orang kampung yang tinggal berdekatan telah membantunya membuka pakaian angkasawan yang dipakai. Malah, mereka turut menjemputnya untuk menikmati makan malam di rumah mereka.

Akibat daripada tindakannya itu, beliau telah dikenakan hukuman kerana dianggap telah melanggar protokol. Beliau sepatutnya sepatutnya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.


Menjadi inspirasi kepada para wanita



Kerana kejayaannya menjadi angkasawan wanita pertama dunia, beliau telah diberikan beberapa pingat penghormata daripada kerajaan bagi menghargai kejayaannya itu. Malah, beliau turut dianugerahkan Pingat Emas Keamanan daripada pihak United Nations.

Sekembalinya ke bumi, beliau tidak lagi terbang ke angkasa lepas. Sebaliknya, beliau mencurahkan bakti sebagai tenaga pengajar dan menerima anugerah doktor falsafah dalam bidang sains teknikal. Beliau kekal aktif dalam bidang angkasa lepas dan kejayaannya sebagai angkasawan wanita pertama banyak dimuatkan dalam buku dan dipamerkan di muzium.

Malah, beliau seringkali dilihat sebagai simbol kejayaan wanita. Antara kata-katanya yang diingati ramai adalah:

"Sekiranya wanita boleh menjadi pekerja membuat landasan kereta api di Russia, mengapa tidak mereka terbang ke angkasa lepas?"
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 10:54 PM GMT+8 , Processed in 0.097801 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list