IPOH 9 Dis. - Bekas calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 2014, Dyana Sofya Mohd. Daud mengakhiri zaman bujang apabila memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari sebagai pasangan hidupnya.

Majlis resepsi Dyana Sofya dan Zairil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Pulau Pinang itu berlangsung di Kelab Golf Diraja Perak di sini hari ini.

Terdahulu, pasangan mempelai tersebut melangsungkan pernikahan mereka di lokasi sama semalam.
 Majlis persandingan mereka dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,300 tetamu yang terdiri daripada saudara-mara dan kenalan terdekat serta tetamu kenamaan.
 Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
 Dyana Sofya dan Zairil melansungkan majlis pertunangan mereka pada 10 Mac lalu secara tertutup di sebuah hotel di sini dengan dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
 Zairil sebelum ini berkahwin dengan Noor Dahlia Hamzah namun menurut maklumat yang tular di media sosial, mereka sudah bercerai Oktober tahun lalu.
 Pada PRK Teluk Intan pada 2014, Dyana Sofya tewas de­ngan 238 undi kepada Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, 57, daripada Barisan Nasional (BN) dalam pertan­dingan satu lawan satu bagi merebut kerusi Parlimen Teluk Intan.
|