Edited by mbhcsf at 1-1-2019 02:21 PM
(Naratif Nusantara Siri 61) APAKAH PRINSIP KEBENARAN MASIH RELEVAN DALAM KEHIDUPAN RAKYAT ERA PASCA-KEBENARAN MALAYSIA BARU? /www.facebook.com/ISSIMalaysia/posts/238685875 Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI Dalam dunia politik, era dimana kita berada ketika ini, disebut era pasca-kebenaran atau pasca-fakta yang mana kebenaran dan kepalsuan boleh sahaja disimulasi dan dimanipulasi bagi memenuhi matlamat tertentu. Dalam dunia sains, sekarang ini disebut era pasca-positivisme yang mana kebenaran sains yang selama ini hanya diukur berdasarkan pengalaman empirikal telah dipertikaikan malah dinafikan kebenarannya. Dalam dunia falsafah pula, pemikiran pasca-modenisme diterima paling berpengaruh dalam menentukan corak kehidupan manusia global dengan tersebarluasnya idea-idea relativisme, pluralisme dan anarkisme. Bagi pasca-kebenaran, pasca-positivisme dan pasca-modenisme, KEBENARAN TIDAK LAGI HAKIKI (REAL) TETAPI NISBI (RELATIVE). Persoalannya adakah KEBENARAN YANG HAKIKI DAN TETAP itu masih relevan dan diperlukan oleh rakyat di negara ini dalam konteks Malaysia Baru Era Pasca-Kebenaran yang serba-serbi nisbi/relatif ini? Hari demi hari semakin sukar untuk rakyat Malaysia mengenalpasti dan mengetahui apakah berita yang mereka perolehi benar atau palsu. Pelbagai berita dan fakta yang keluar dimedia dalam waktu yang singkat bertukar taraf menjadi “berita palsu” atau “fake news”. Peristiwa-peristiwa penting di Tanah Air yang berlaku ditanggap, ditafsir dan dihebahkan dalam pelbagai versi dan edisi mengikut kepentingan kelompok dan ideologi masing-masing. Percanggahan dan sanggahan berita dan fakta dikemukakan oleh satu pihak terhadap pihak yang lain tanpa rakyat memahami siapa yang benar siapa yang silap. Masing-masing menggerakkan gerombolan cybertrooper untuk menyerang, mematahkan dan mempropagandakan naratif masing-masing tanpa mengambil-kira prinsip-prinsip kebenaran tetapi semata-mata untuk kemenangan persepsi dan pengaruh. Media sosial yang kebetulan menjadi gelanggang utama bagi menjayakan konsep-konsep utama pasca-modenisme seperti realiti buatan dan simulasi realiti mempermudahkan lagi kebenaran ditukarkan menjadi “kepalsuan” dan begitu juga kepalsuan menjadi “kebenaran” untuk disumbatkan dalam benak pemikiran rakyat Malaysia. Isu sama ada kebenaran ini masih relevan atau diperlukan bagi kehidupan rakyat Malaysia Baru dalam era pasca-kebenaran menjadi lebih meruncing apabila kita menyaksikan tokoh-tokoh pemimpin dan politik nasional yang sering melakukan pusingan U dalam kenyataan-kenyataan mereka. Kebenaran pada hari ini akan bertukar menjadi kepalsuan pada hari esok bergantung kepada konteks, kepentingan dan ideologi tokoh pemimpin dan politik tersebut. Tokoh-tokoh agama dan aktivis nasional juga tidak ketinggalan tumpang sekaki dengan menjustifikasikan kebenaran dan kepalsuan yang telah bertukar-tukar dilakukan oleh tokoh-tokoh pemimpin dan politik nasional itu tadi. Akhirnya rakyat dikelirukan dengan tingkah-laku menisbikan kebenaran dan kepalsuan gandingan antara tokoh-tokoh pemimpin, politik, agama dan aktivis ini sehingga jelas kelihatan kuasa, pengaruh dan kedudukan melenyapkan kebenaran, keadilan dan kebijaksanaan.
|