Israr Khalid, Astro Awani | Diterbitkan pada Januari 12, 2019 16:05 MYT
Tengku Abdullah dimasyhur sebagai Sultan Pahang yang baharu 15 Januari ini. -Gambar fail
KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diisytihar sebagai Sultan Pahang yang baharu menggantikan ayahandanya Sultan Ahmad Shah yang kini gering.
Pemasyhuran Baginda sebagai Sultan Pahang keenam akan dilangsungkan di Balai Rong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada jam 11 pagi, 15 Januari 2019 (Selasa).
Pengisytiharan itu dibuat oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam sidang media khas di Istana Abu Bakar pada Sabtu.
Tengku Abdul Rahman berkata keputusan itu dipersetujui Jumaah Pangkuan Diraja Pahang melalui satu mesyuarat khas yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Jumaat.
“Dalam keadaan sedih dan dukacita, saya dan keluarga menerima hakikat bahawa paduka ayahanda saya tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai raja pemerintah.
“Dengan keputusan Jumaah Pangkuan Negeri, saya bersama Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menghadap Paduka Kekanda Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang untuk menyembah maklum dan memohon perkenan untuk dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Paduka Kekanda saya telah pun bersetuju untuk diisytihar sebagai Sultan Pahang keenam,” kata Tengku Abdul Rahman.
Menurut Tengku Abdul Rahman, Tengku Abdullah turut bertitah supaya Paduka Ayahandanya, Sultan Ahmad Shah diisytihar sebagai Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.
Ia bersesuaian dengan keprihatinan dan sifat kebapaan Sultan Ahmad Shah kepada rakyat Pahang sepanjang memerintah negeri dari tahun 1974 hingga 2019.
“Saya terharu dan berbangga dengan pemasyhuran Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang kerana tuanku seorang berjiwa rakyat dan memahami denyut nadi segenap lapisan masyarakat.
“Semoga tuanku dikurniakan kesihatan yang baik serta berpanjangan demi memakmurkan lagi negeri Pahang dengan limpah rahmat daripada Allah SWT kepada rakyat Pahang“ - Zafril Nasir, 37, dari Bandar Pusat Jengka, Maran
“Saya gembira dan teruja kerana ke bawah duli tuanku Pemangku Raja Pahang (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) dimasyhur sebagai Sultan Pahang.
“Saya sebagai rakyat Pahang doakan tuanku sentiasa dilindungi Allah SWT dan terus memimpin negeri Pahang dengan bijaksana supaya rakyat akan terus hidup dalam keadaan aman dan makmur“ - Muhammad Shamirul Mohamed, 25, dari Kampung Berkat, Maran
“Satu kebanggaan buat rakyat Pahang kerana Tengku Abdullah sememangnya terkenal dengan sikap turun padang dan mendengar keluh kesah rakyat.
“Keprihatinan baginda terhadap rakyat sejak di usia muda menjadi tunjang kepada hubungan mesra itu dan saya doakan ia berkekalan selamanya“ - Tok Batin kampung Orang Asli, Sungai Kiol Jerantut, Awang Tow, 61,
“Bersyukur Tengku Abdullah dimasyhur sebagai Sultan Pahang ke-6, ia juga satu kebanggaan kerana baginda memang terkenal dengan sikap rendah diri dan ringan tangan membantu mereka yang dalam kesusahan.
“Kalau musim banjir baginda antara yang terawal turun padang lihat rakyat yang terjejas sebab banjir, malah mak cik mempunyai pengalaman disapa Tengku Abdullah ketika di pusat pemindahan sementara (PPS)“ - Faridah Abdullah, 60, Sungai Soi, Kuantan
“Sudah tentu jadi berita baik untuk rakyat Pahang kerana sepanjang memangku tugas sebagai Sultan Pahang, Tengku Abdullah menunjukkan ciri-ciri kepemimpinan yang baik dan disukai rakyat.
“Saya doakan baginda dilanjutkan usia dan diberikan kesihatan yang baik untuk terus menerajui negeri Pahang“ - Mohd Najib Mohd Taib, 59, Kampung Langgar, Pekan