Jess Lloyd-Mostyn, 36, dari sini serta suaminya, James, 48, memulakan pengembaraan mereka setelah mengikuti beberapa kursus pelayaran ringkas. Pasangan itu sudah melawat 36 buah negara dan belayar sejauh 41,000 kilometer dalam tempoh lapan tahun.
“Selepas menyeberangi Lautan Atlantik dan berada beberapa bulan di Caribbean dan tiba di Panama, kami memutusakan untuk memulakan kehidupan berkeluarga,” kata Jess baru-baru-baru ini.
Dua tahun selepas memulakan pelayaran, Jess melahirkan anak pertamanya, Rocket yang kini berumur 5 tahun di sebuah hospital di Mexico manakala anak kedua, Indigo, 3, dilahirkan di New Zealand.
Cahaya mata ketiga mereka, Autumn lahir di London ketika pasangan suami isteri itu pulang ke Britain pada Oktober tahun lalu.
Jess sebelum ini merupakan seorang artis seni dan James pula bekerja sebagai arkitek. Pasangan itu menyewakan rumah dan sebuah flat milik mereka di London bagi membantu membiayai pelayaran tersebut.
James dan Jess menggunakan wang simpanan mereka untuk membeli sebuah kapal layar sepanjang lebih 12 meter pada harga £35,000 (RM190,739).
Mereka pada mulanya meletakkan tempoh dua tahun untuk menamatkan pelayaran tersebut. Namun, Jess dan James yang kini suaminya terpaut pada kehidupan baharu itu dan tidak merancang untuk berhenti belayar. – Agensi