|
Edited by dammerung at 10-10-2019 02:53 PM
Kes 1/2019 : Tuntutan Kes Guaman (Bahagian V)
Deruan ombak menghempas ke batuan tebing menemani Syam yang sedang duduk di tembok sepanjang Gurney Drive. Skrin handphone tertera nombor telefon salah seorang pelapor diambil dari pejabat pengutip hutang sialan siang tadi.
Ibu jari teragak-agak hendak menekan butang Call. Terngiang-ngiang amaran lelaki misteri sebentar tadi.
"Kalau kami boleh kidnap isteri dan bawak ke rumah sewa encik time belajo dulu, tak ada masalah kami nak kidnap anak encik yang dalam perut maknye tu"
Nombor didail dan Syam dekatkan handphone ke telinga.
Deringan pertama, deringan kedua.....deringan ke sepuluh.
"Hello?" suara lelaki di corong telefon.
"Saye Syamaizan, encik dengan dua orang lagi ade buat mintak orang kutip hutang bagi pihak Tiha"
Senyap.
"Haa kau rupenye" balas Salahudin bin Yunus.
"Ni call nak settle hutang ke?" tanyanya lagi.
Syam terdiam.
"Kalau boleh saya nak settlekan, tapi saye takde lime ribu..." jelas Syam dan seperti biasa, dia menceritakan kronologi permasalahan dengan harapan meraih simpati.
"Ish ish ish kesiannye. Tapi hutang tetap hutang" sindir Salahudin.
Syam mengeluh, melempar pandangannya ke Honda City miliknya terletak di seberang jalan. Semakin lama dia melihat kereta yang tak sampai setahun dimiliki itu, semakin sayu jadinya.
"Kalau saye langsaikan dengan kereta camane? Honda City brand new tak sampai setahun" dengan tawaran itu, Syam telah menempah tiket ke gerbang perceraian. Bukan sahaja kerana membuat keputusan tanpa berbincang dengan Rini terlebih dahulu akan nasib satu-satunya status simbol mereka sebagai warga ibukota, malah masalah hutang ini hasil dari 'kecurangan' masa lampau.
Kedudukan Syam ketika itu bukan ibarat sudah jatuh ditimpa lagi tetapi siap dibakar hingga rentung hidup-hidup. Bom jangka untuk dia kehilangan isteri, anak, karier, maruah diri, apa-apa harta yang tinggal telah pun berdetik.
Mata ditutup rapat, menyiapkan mental untuk Salahudin berkata 'iya'.
5 saat, 10 saat, 1 minit. Syam buka mata.
"Hello encik?" Syam pula risau apabila Salahudin hanya mendiamkan diri, tetapi dia tahu masih di talian kerana terdengar suara-suara seperti berbincang.
"Ginilah, kejap lagi saye SMS alamat, encik mai sini, kita bincang elok-elok" Syam terkedu sebentar.
Panggilan berakhir. Beberapa minit kemudian notifikasi SMS masuk ke handphone. Syam membaca mesej diberi. Sebuah alamat di daerah Teluk Intan. Ayat terakhir mesej 'encik kene datang malam ini jugak'.
Alamat dimasukkan dalam aplikasi Maps dan Syam memulakan perjalanan ke negeri Perak. Tiga jam 30 minit kemudian, Syam tiba di perkarangan Menara Condong Teluk Intan. Petir berdentum, hujan lebat mengiringi kedatangan Syam yang pertama kali tiba di mercu tanda Teluk Intan itu.
Syam menghubungi Salahudin untuk memberitahu bahawa dia telah tiba, tak sempat nak tunggu panggilan diangkat, Syam dikejutkan dengan ketukan di tingkap. Seorang lelaki berpakaian kot hujan menyuruhnya membuka pintu untuk dia masuk.
Kunci dibuka dan lelaki itu bergegas masuk ke tempat duduk di sebelahnya. Kot hujan PVC yang masih dipakai membasahi sarung baldu tempat duduk penumpang.
"Salahudin" lelaki itu memperkenalkan dirinya. Tangan yang dihulur Syam perlahan-lahan ditarik semula apabila tidak disambut. Salahudin lebih sibuk dengan handphone, cuba menghubungi seseorang.
"Ha hello! dia dah mai, aku dalam kete dia. ha'ah, ha'ah, sorang. Seploh minit lagi sampai"
"Jalan bos" arah Salahudin. Syam menurut. Kereta dipandu perlahan didalam kegelapan malam dan juga hujan lebat. Lebih kurang 10 minit Syam disuruh berhenti. Lampu kereta menyuluh dua orang lelaki lengkap berpakaian seperti hendak memburu menunggu di sebuah bangsal diterangi pelita ayam.
Syam disambut mesra oleh dua lagi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Pian' dan 'Din'. Salahudin atau 'Shala' menghulur secawan kopi panas. Cekodok pisang dalam bekas Tupperware dinikmati bersama. Syam menerima tawaran makanan dan minuman kerana dia sememangnya tengah lapar ketika itu.
"Tia dah kawen, anak tiga, yang sulung cam cacat sket" Pian dengan cekodok masih penuh dimulut membuka kata.
"Oooh..." Syam membalas. Kekok. Dia menghidup kopi dari cawan besi dengan perlahan.
Ketiga-tiga itu seterusnya memaklumkan kepada Syam akan perkara sebenarnya. Tia merupakan sepupu kepada adik-beradik Din dan Shala. Pian pula merupakan rakan kepada abang dan adik itu. Duit 5 ribu yang Tia hadiahkan ke Syam merupakan duit yang diamanahkan oleh ayah Shala dan Din hasil perniagaan pasar malam dan beberapa kerja kampung. Kata abang kepada Shala, Din, mereka sekeluarga tak salahkan Syam seratus peratus, kerana faham sangat perangai celaka sepupu perempuan mereka itu.
Tapi, hutang tetap hutang. Apa yang buat Syam kecut perut apabila Din menyatakan;
"Hutang duit dibayar duit, hutang darah dibayar darah"
"Tapi bang, saye memang takde duit bang" Syam hampir menangis.
"Kami bukan nak mintak duit, relax relax" Pian menenangkan Syam sambil menepuk-nepuk belakang.
"Tapi, kami bagi hang peluang nak tebus hutang"
Pian menerangkan bahawa Syam boleh 'membayar semula' hutang tanpa mengeluarkan satu sen pun, dengan syarat dia kena jadi sebahagian dari mereka pergi berburu malam itu. Sekiranya Syam berjaya membantu mereka mendapatkan lima ekor hasil buruan, hutang selesai.
Syam tahu mesti ada sesuatu disebalik tawaran tersebut. Apa jenis cara tebus hutang ikut pergi berburu bagai dan memburu apa waktu hujan lebat ini? Tapi Syam tak ada pilihan lain. Takkan nak balik, nak keluar dari tempat itu pun dia tak tahu bagaimana. Syam bersetuju dan hanya dengan sandal Crocs ciplak dan kot hujan PVC dipinjamkan Din, dia mengikuti ketiga lelaki itu memasuki hutan tebal belakang bangsal.
Hampir satu jam merentasi hutan belantara berpandukan pelita ayam dipegang Pian, mereka berhenti. Keempat-empat mereka rapat ke tanah. Pelita dibalut untuk menutup cahaya. Salah seorang membuat bunyi seperti siulan menggunakan sebatang buluh. Beberapa kali siulan dibuat, terdengar gema suara seakan monyet menjerit di hadapan.
Perlahan mereka menuju ke arah bunyi tersebut. Beberapa minit berjalan mereka bercangkung semula. Pian menunjukkan kepada ahli parti memburu ke arah sebuah pokok. Syam mengecilkan mata cuba melihat di dalam kesamaran malam, ditambah pula hujan yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Pian meniup seruling buluh. Jelas kedengaran jeritan sesuatu, hampir dengan kedudukan mereka. Jeritan itu berterusan dan bertambah. Kali ini Syam dapat melihat agak jelas beberapa ekor monyet melekat di batang dan dahan-dahan pokok. Monyet-monyet itu agak besar saiznya berbanding monyet biasa dilihat, seakan sama besar dengan manusia dewasa. Mata merah bernyala di sebalik kegelapan malam dan di kepala terdapat bulu panjang hingga ke bontot.
"Bang, monyet ape ni? Pelik rupenye" tanya Syam pada Shala.
"Itu bukan monyet" jawab Shala.
Dalam keadaan bercangkung, Pian merangkak menuju ke Syam, diikuti yang lain. Syam kini berdepan dengan Pian, Shala dan Din.
Din meletakkan tangan ke bahu Syam dan mendekatkan muka.
"Ko nak settlekan hutang kan? Ko kene tolong kitaorang tangkap langsuir-langsuir tu" kata Din.
Syam terduduk.
(cerita tak habis lagi)
|
|