KUALA LUMPUR: Penyanyi Aiman Tino, 20, berkongsi pengalaman lucu merebus ketupat hingga hangus ketika membantu ibunya membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Aiman atau nama penuhnya, Mohammad Aiman Yusri berkata, insiden itu berlaku kira-kira dua tahun lalu akibat terlupa pesanan ibu untuk memantau ketupat direbus.
"Merebus ketupat hingga hangus antara pengalaman menyambut Aidilfitri yang sukar dilupakan. Ibu suruh tengokkan ketupat, tetapi hangus pula jadinya.
"Namun, ia menjadi pengalaman berharga. Saya harap ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang... Buat malu saja," katanya kepada BH Online.
Mengenai persiapan Aidilfitri, sebagai anak yang memiliki pendapatan sendiri, dia teruja dapat membeli baju dan barangan keperluan lain untuk keluarga.
Malah, Aiman yang popular dengan lagu Ku Sesat Dalam Rindu merancang membawa keluarganya bercuti pada raya Hari Raya kedua di sebuah lokasi peranginan tempatan.
Aiman berkata, percutian itu ibarat buat ibu dan ayah yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam mengharungi dunia seni.
"Jika tahun lalu, saya membawa keluarga ke Sarawak, kali ini, kami akan melakukan aktiviti sama... Inilah cuti untuk tempoh panjang yang saya ada," katanya yang berkongsi kos percutian bersama kakaknya, Fara Hazel.
Aiman berkata, rumahnya di Kuala Kerling, Kuala Kubu Baru lazimnya dipenuhi peminat pada Syawal pertama.
Tambah Aiman, sejurus menunaikan solat Aidilfitri, peminat sudah berada di depan rumah untuk beraya.
"Pagi raya, rumah kami sudah penuh. Sejurus solat sunat Aidilfitri, peminat sudah 'ketuk pintu' rumah.
"Saya tidak kisah dengan kehadiran mereka. Inilah masa untuk saya beramah mesra dan mendekatkan diri dengan peminat yang tidak pernah berputus asa menyokong saya," katanya.
Aiman berkata, tahun ini, dia menjangka lebih 3,000 peminat akan beraya di rumahnya.
|