"Kita kutuk Thailand yang gunakan gajah untuk tarik pelancong,
tapi apa bezanya dengan kita yang guna kereta lembu?"
Ditenggelamkan oleh isu-isu lain yang lebih tular, namun tidak bermakna masalah ini harus dipandang sebelah mata.
Warganet resah apabila menyaksikan sebuah video yang memaparkan seekor lembu membawa muatan (dipanggil kereta lembu) terjatuh hingga keempat kakinya berlipat. Kemudiannya lembu tersebut dipaksa untuk berdiri bagi meneruskan kerjanya kembali. Adegan tersebut sangat menyayat hati mereka yang melihatnya secara langsung mahu pun di media sosial.
Apatah lagi mendengar ura-ura bahawa kerajaan Melaka akan menjadikan ianya sebagai antara tarikan pelancong lebih membuatkan warganet bimbang dengan situasi tersebut. Sementelah penggunaan kereta lembu pada zaman dahulu tidak boleh disamakan dengan zaman sekarang kerana perbezaan faktor geografi dan sebagainya.
Jika kita pernah mengkritik Thailand kerana mendera gajah semata-mata untuk dinaiki pelancong, jadi apa bezanya dengan kita?
Kredit foto: FB
Dahulu kereta lembu adalah satu-satunya kenderaan yang digunakan untuk bertani dan juga mengangkat barang. Namun setelah zaman berlalu dengan kecanggihan teknologi, kereta lembu hanyalah tinggal dalam sejarah sahaja. Ia mungkin tradisi yang harus dikenang tetapi tidaklah sehingga menyeksanya sebegitu rupa.
Apatalah lagi, kita akan memasuki tahun 2020 yang diwar-warkan mempunyai kereta terbang, jadi perlukah kita menyokong penggunaan kereta lembu ini lagi?
Kredit foto: Facebook
Selain itu, faktor manusia itu sendiri memainkan peranan. Ini kerana dahulu manusia bersaiz kecil hingga tidak membebankan lembu kala membawanya. Namun dengan saiz yang semakin besar, ia sebenarnya menyiksa haiwan tersebut.
Ramai warganet mendesak agar kerajaan Melaka tidak meneruskan idea kereta lembu yang dianggap lapuk, kolot serta tidak sesuai untuk zaman sekarang.
Kredit foto: Facebook
Jika adat tradisi mahu dipertahankan, mengapa binatang sahaja yang terkena tempiasnya? Sedangkan dahulu ada juga lanca (kereta yang ditarik oleh manusia) tetapi tidak diperkenalkan kembali atas nama menarik pelancong?
"Sis Maya Karin, tolong tegur sikit."
Sebagai pencinta alam semulajadi yang berpengaruh, selebriti Maya Karin turut diseru oleh warganet lain agar menegur perkara yang tidak sepatutnya berlaku ini. Diharapkan dengan pendedahan ini, kita menggunakan kuasa sebagai warganet bagi mendesak kerajaan untuk membatalkan idea yang hanya menyiksa binatang itu. Kita tidak mahu lagi ada binatang yang akan mati hanya kerana memuaskan nafsu dan akal sejengkal sahaja. - CARI
|