Orhions Ewansiha Thomas meninggal dunia di Depot Imigresen Bukit Jalil pada 9 Julai lalu.PETALING JAYA: Balu seorang pelajar Nigeria yang mati di Depot Imigresen Bukit Jalil pada bulan lalu memohon kerajaan mengadakan inkues bagi menyiasat punca kematiannya kerana mendakwa suaminya diserang ketika dalam tahanan.
Blessing Uhunoma Eriamiator yang merupakan balu Orhions Ewansiha Thomas mengesyaki suaminya diserang dan tidak diberikan rawatan berdasarkan keterangan beberapa saksi.
Eriamiator yang bercakap melalui peguamnya, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal, mendakwa ia adalah punca yang menyebabkan Thomas maut.
Thomas, 33, yang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Kedoktoran (PhD) Pengurusan di Universiti Limkokwing meninggalkan seorang isteri dan 2 anak yang masih kecil.
Beliau ditahan bersama 19 individu lain dalam Ops Bersepadu pada 4 Julai lalu di Pangsapuri Desa Aman Puri di Kepong, susulan aduan awam mengenai kebanjiran warga Afrika di kawasan itu.
Beliau disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selama 14 hari untuk siasatan lanjut.
Susulan itu, Jabatan Imigresen dilaporkan berkata, Thomas meninggal dunia kerana diserang sawan ketika tidur dan hasil siasatan tidak menemui sebarang unsur kekerasan fizikal atau pukulan pada badannya.
Katanya, Thomas sudah diberikan rawatan awal dan pengurusan kematian dilakukan mengikut prosedur operasi standard.
Tetapi, Eriamiator mendakwa Thomas ditahan tanpa alasan kukuh dan suaminya datang ke Malaysia secara sah selama sedekad untuk melanjutkan pelajarannya.
“Berdasarkan alasan ini dan kenyataan yang diperolehi daripada anak guam saya, kami berpendapat penahanan dan kematian Thomas disebabkan tindakan dan tiada respons daripada Jabatan Imigresen yang gagal mematuhi hak asasinya di bawah Peraturan Minimum Standard untuk Layanan Banduan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Oleh itu, punca kematiannya perlu ditentukan oleh inkues supaya keluarganya boleh mendapat keadilan,” kata peguamnya dalam kenyataan hari ini.