|
Pengantin bertuah!
PENGANTIN dari Taman Kasih, Kluang bukan saja teruja apabila perjalanan mereka ke majlis persandingan diarak menggunakan jentera penurap jalan malah jentera itu juga hadiah perkahwinan mereka.
Mereka berarak satu kilometer dan turut serta pasukan kompang dari Kampung Sembrong sekali gus menarik perhatian ramai.
Mohd Amirul Malek, 24, dan isteri Nurhazimah Amira Hazma, 24, menerima hadiah perkahwinan bernilai RM180,000 setiap satu.
Mohd Amirul berkata, ibu bapanya tidak pernah memberitahu apa-apa rancangan mengenai majlis persandingan itu dan sekadar memaklumkan sesuatu luar biasa disediakan pada majlis persandingannya yang juga anak bongsu daripada empat beradik.
“Saya anak bongsu daripada empat beradik manakala isteri anak bongsu daripada tiga beradik dan mungkin ini rezeki kami kerana mendapat hadiah semahal ini.
“Kami berdua teruja dengan apa yang dilakukan ibu bapa dan hadiah ini akan dijadikan aset berharga keluarga walaupun kami bercadang mempunyai kerjaya dalam bidang masing-masing dan bukannya kontraktor pada masa akan datang,” katanya.
Mohd Amirul berkata, sebelum majlis bersanding di rumahnya hari ini, mereka melangsungkan majlis pernikahan di rumah keluarga isterinya di Raub, Pahang, pada 31 Ogos lalu.
Sementara itu, Malek Sawin, 58, bersama isterinya, Haslina Wagiman, 55, melahirkan rasa syukur apabila hasrat untuk menghadiahkan jentera berkenaan tertunai dan tidak mendapat bantahan daripada anak bongsu mereka.
Katanya, jika sebelum ini, anak ketiganya, Mohd Taufik diberikan hadiah lori pengangkut jentera berat sempena majlis perkahwinannya pada 2014, ia dianggap tidak adil jika perkara sama tidak dilakukan kepada anak bongsu mereka.
“Hakikatnya, pemberian hadiah ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk namun lebih kepada penyerahan tanggungjawab kepada mereka untuk meneruskan empayar perusahaan yang dibina sejak 25 tahun lalu.
“Saya merasakan sudah tiba masanya untuk menyerahkan semua urusan perniagaan kepada anak-anak selain mendidik mereka menguruskannya sebaik mungkin,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 1:54 AM |
|