Najib (gambar kecil, kiri) dan Salahuddin (gambar kecil, kanan) bertikam lidah tentang isu harga telur. Kredit foto: Carian Google & Facebook
Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyangkal kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa harga telur di pasaran mengalami peningkatan pada masa ini.
Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu menyatakan, harga telur pada 2019 adalah antara 19 hingga 28 peratus lebih murah berbanding dengan harganya pada 2015.
"Apa yang terjadi pada tahun 2015? Mengapa harga telur lebih mahal?
"enggunaan maklumat serta data dan membuat perbandingan yang tidak berasas akan mengelirukan pihak umum dan perkara ini harus dielakkan," jelas jabatan tersebut dalam kenyataan media yang disiarkan dalam Facebook pada 16 September.
Data perbandingan harga telur yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Kredit foto: Facebook
Pada 15 September, Najib dalam laman Facebook miliknya mempersoalkan mengapa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mengumumkan harga telur turun sebanyak 2 sen dalam sidang media tahun lalu.
Sedangkan, kata Najib, penurunan harga hanya melibatkan bekalan telur di ladang dan pada masa sama, harga runcit masih tinggi.
Najib mempersoalkan pengumuman Salehuddin tentang penurunan harga telur. Kredit foto: Facebook
Bagi membalas kenyataan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Ahli Parlimen Pekan itu sekali lagi membangkitkan persoalan mengapa agensi itu tidak menekankan tentang fakta bahawa harga telur bagi Ogos 2019 adalah antara 37 hingga 42 peratus lebih tinggi berbanding April 2018 iaitu sebulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.
"Ini bukan data Najib tapi data-data dari Jabatan Veterinar sendiri.
"Menteri PH perlu terima kenyataan bahawa harga telur telah naik tinggi dan tetap tinggi sepanjang tempoh selepas PRU14 dan bukan untuk seketika sahaja pada awal tahun 2015," katanya seperti dipetik daripada status dalam laman Facebook miliknya pada 17 September.
Najib turut meminta Salahuddin menerima hakikat bahawa beliau telah gagal mengawal harga telur dan berhenti memaksa pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengeluarkan kenyataan yang cuba memesongkan realiti.
Isu harga telur nampaknya semakin panas dan sudah tentu menarik perhatian rakyat yang sebahagian besarnya menggunakan telur dalam masakan setiap hari. - CARI |