Ya Allah, turunkanlah hujan...
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/09/498368/ya-allah-turunkanlah-hujan
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:40 PM
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa supaya Allah SWT menurunkan hujan bagi mengurangkan kadar jerebu yang melanda negara ketika ini.
Perdana Menteri berkata, banyak yang sudah dan sedang dilakukan bagi menangani masalah pencemaran yang melanda itu termasuk pembenihan awan.
“Banyak kawasan terjejas khususnya Putrajaya, kita sudah melakukan macam-macam termasuk pembenihan awan, orang ramai memakai topeng muka.
“Kita juga mencadangkan penggunaan dron untuk menghasilkan hujan,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) kali ke-10 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Semalam sebanyak 1,603 sekolah di lapan negeri diarahkan tutup berikutan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar kawasan masing-masing.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat ini tiga lokasi di Selangor mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Petaling Jaya (207), Shah Alam (216) dan Johan Setia, Klang (258).
Kualiti udara di Nilai, Negeri Sembilan turut berada pada paras sangat tidak sihat dengan bacaan 210 setakat 7 malam semalam.
Sementara itu, Dr Mahathir hairan berikutan tindakan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang masih belum mahu menerima bantuan Malaysia memadamkan kebakaran di hutan Indonesia.
Beliau bagaimanapun belum berkesempatan bertanya sendiri kepada Jokowi mengenai perkara berkenaan.
“Cuba anda (wartawan) tanya, lagi pun kita sentiasa bersedia untuk membantu memadamkan kebakaran yang menyebabkan jerebu ini,” kata beliau.
Semalam Jokowi berkata, Indonesia kini melakukan ‘segala-galanya’ dalam usaha menangani kebakaran hutan dan ladang yang menyebabkan berlakunya jerebu teruk di beberapa wilayah di republik itu sehingga menjejaskan Malaysia.
|