LTTE: Tun M puas hati sebab polis guna SOSMA
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/506896/ltte-tun-m-puas-hati-sebab-polis-guna-sosma
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 4:28 PM
Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my
TUN Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak terhadap penyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Perdana Menteri berkata, polis sudah memberi penjelasan dan sebab kepada beliau mengenai tindakan penahanan berkenaan.
“Saya dapat penerangan daripada polis. Mereka beri sebab-sebab mereka bertindak. Saya puas hati dengan sebab-sebab mereka ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Revolusi Industri 4.0 di Universiti SEGi di Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Mengulas isu sama, Mahathir berkata, banyak polemik mengenai LTTE dimainkan kini, termasuk ahli politik.
“Banyak polemik mengenai LTTE. Semalam Ayob (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay) sendiri kata jangan ada ahli politik yang campur tangan hal ini,” katanya.
Menjawab soalan wartawan mengenai gesaan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan tidak menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas (SOSMA) 2012, Mahathir dilihat tidak bersetuju dengan saranan berkenaan.
“SOSMA masih ada. Undang-undang mengikut akta SOSMA boleh diguna pakai, jadi mereka (polis) guna,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan tujuh individu, termasuk dua ADUN dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan kerana disyaki terbabit dengan perjuangan LTTE.
Susulan itu, lima lagi ditahan termasuk guru, Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan Melaka menjadikan jumlah yang ditahan kini seramai 12 orang. |