|
"Saya minta jasa baik, penuhkan dewan ..." - Pengerusi Tetap Pemuda UMNO
Astro Awani | Disember 05, 2019 17:07 MYT
KUALA LUMPUR: Mengejutkan!
Gara-gara terlalu banyak kerusi kosong sepanjang berlangsung sesi perbahasan perwakilan Pemuda UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU2019), sesi berkenaan dibuka kepada orang ramai tanpa perlu memiliki pas rasmi.
Pengerusi Tetap Pemuda, Mohd Hafeez Che Mat mengumumkan perkara itu sebelum meminta izin daripada perwakilan-perwakilan di dalam dewan.
“Saya ingin minta izin untuk membenarkan orang luar menyertai kami disebabkan dewan nampak kosong.
“Saya alu-alukan kehadiran orang luar. Penuhkan dewan ini, saya mohon jasa baik,” katanya di sini pada Khamis.
Perhimpunan kali ini melibatkan seramai 5,603 perwakilan dan daripada jumlah itu, 973 orang adalah perwakilan Pemuda UMNO.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semasa memberi ucapan dasar menggariskan lima pendirian penting sebagai azimat untuk UMNO sentiasa berada pada landasan yang betul.
Pertama, fokus pemerkasaan parti iaitu menyemarakkan agenda Islah, pengkaderan, pentarbiyahan dan pemerkasan dalaman parti.
Kedua, Pemuda mesti terus dengan gerak kerja mengakar, merimbun dan membumi kepada segenap lapisan masyarakat sama ada di kota mahupun di desa.
"Ketiga, menjauhi persengketaan dan mengutamakan permuafakatan sebagai satu keluarga besar yang mendukung wadah perjuangan UMNO.
Keempat, Pemuda UMNO juga, jelas beliau, perlu kekal berdikari dan setia hanya pada institusi dan perjuangan parti bukan individu mahupun personaliti.
"Kelima, pemuda mesti terus menjuarai agenda rakyat dengan menjadi pembangkang berwibawa, mendengar denyut nadi dan membawa suara hati rakyat secara tegas tanpa rasa takut.
“Isyarat melalui empat PRK yang dimenangi cukup jelas, bahawa rakyat mahu kita kembali, tetapi dengan wajah yang baharu," ujarnya.
|
|