Edited by Boomibulat at 6-12-2019 06:43 PM
'Berhenti guna nama ustaz untuk memuliakan diri'
Personaliti TV yang hadir melalui program realiti Pencetus Ummah (PU) Amin menyeru pendakwah atau ustaz agar memelihara kehormatan gelaran itu dalam menjalankan kerja agama.
Kata PU Amin, seseorang individu wajar berhenti daripada menggunakan gelaran bersifat agama demi memenuhi agenda dan kepentingan sendiri. “Hati ini takut dan risau dengan apa yang berlaku pada pendakwah hari ini, pelbagai ujian dan halangan terpaksa dihadapi.
“Berhentilah daripada menggunakan agama untuk kesenangan diri sendiri, berhenti guna nama ustaz untuk memuliakan diri.
“Bertaubatlah dan kembalilah pada jalan agama yang sebenar wahai para pendakwah dan ustaz,” katanya di akaun Instagram miliknya.
Amin tidak menyatakan secara khusus individu yang dimaksudkannya itu. Namun, baru-baru ini dua peserta yang menempa nama daripada program realiti itu iaitu PU Abu dan Da'i Farhan terpalit isu rumah tangga.
Kontroversi berkenaan menyebabkan segelintir netizen mula memberi pandangan serong terhadap kerjaya mereka sebagai pendakwah.
Pada masa sama, Amin atau nama penuhnya Mohammad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, penyalahgunaan gelaran pendakwah dan ustaz dibimbangi menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap individu yang benar-benar ikhlas melaksanakan tanggungjawab mereka demi agama.
“Buat para pendakwah peliharalah diri dari kejahatan dan kesilapan, lihatlah apa yang berlaku, kerana ketelanjuran satu atau dua orang manusia yang memakai topeng pendakwah akhirnya merosakkan nama dan tugas pendakwah itu sendiri.
“Jangan kerana kita yang tidak menjaga nama pendakwah atau ustaz itu maka boleh menyebabkan hilang kepercayaan masyarakat pada pendakwah dan ustaz ustaz yang lain,” katanya.
|