JOHOR BAHRU: Seorang wanita masih menaruh harapan dan mahu mencari kenalan Facebook yang menghilangkan diri selepas berhabis RM380,000 terhadap lelaki yang dianggapnya suami sejak tahun lalu.
Ibu tunggal berusia 50 tahun yang hanya dikenali sebagai Miss Lee, berkata dia juga sanggup menjual kediamannya di Kota Masai, Pasir Gudang dan menggunakan wang jualan RM230,000 untuk ‘suaminya’ itu.
Miss Lee berkata, semuanya bermula apabila dia mengenali lelaki dari Amerika Syarikat bernama Kenneth Cheung di laman Facebook pada Oktober tahun lalu yang mahu memberikannya hadiah berupa cincin, gelang, berlian, jam tangan, baju dalam dan dua telefon bimbit bernilai RM800 juta.
“Namun, pada November tahun lalu saya dihubungi ejen Jabatan Kastam Diraja Malaysia memberitahu barangan hadiah itu ditahan dan meminta saya membayar wang ke dalam satu akaun bank sebanyak RM5,000.
“Wang berkenaan dan beberapa transaksi lain dibuat di sekitar bank di Masai dan Pasir Gudang dan kali terakhir, dia meminta saya memasukkan RM15,000 untuk membeli tiket kapal terbang supaya dia dapat pulang ke Amerika Syarikat.
“Dia (Kenneth) tidak tipu saya, kami pernah berhubung memalui panggilan telefon dan panggilan video, ejen ini yang menipu dan mengambil wang daripada saya,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Stulang di sini, hari ini.
Miss Lee berkata, kali terakhir dia memasukkan duit ke akaun yang diberikan ‘suaminya’ itu adalah empat bulan lalu berjumlah RM95,000.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng, berkata satu laporan polis sudah dibuat pihaknya bersama mangsa di Balai Polis Larkin, Jumaat lalu.
“Saya bersimpati apa yang berlaku terhadap mangsa dan saya anggap wanita ini sudah ditipu meskipun dia masih mempercayai ‘suaminya’ itu wujud dan mahu mencarinya.
“Pihak polis juga memaklumkan kepada saya kes ini diklasifikasikan sebagai ‘love scam’ dan kami akan sentiasa memantau dan melarang mangsa untuk membuat sebarang transaksi kepada sesiapa yang meminta wang daripadanya,” katanya.