CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1275|Reply: 4

[Tempatan] Lambakan graduan pergigian. Tempoh tunggu latihan NDOP 18 bulan. Graduan terpaks

  [Copy link]
Post time 15-12-2019 11:00 PM | Show all posts |Read mode
Lambakan graduan pergigian


KUALA LUMPUR: Pengajian bidang pergigian bukan mudah untuk ditempuh, selain syarat kelayakan ketat dengan kos yuran tinggi, kini kesukaran semakin bertambah apabila graduan sukar mendapat tempat untuk menjalani latihan Program Pegawai Pergigian Baharu (NDOP) sebelum layak bergelar doktor gigi.

Sebelum ini, tempoh menunggu setiap graduan pergigian bagi mendapat tempat latihan NDOP yang dulu dikenali sebagai Pegawai Pergigian Tahun Pertama (FYDO) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas tamat pengajian adalah di antara satu hingga dua bulan tetapi kini berlarutan sehingga 18 bulan.

Kelewatan dan kesukaran mendapat tempat latihan terbabit, didakwa berpunca daripada lambakan graduan bidang pergigian tempatan daripada universiti dalam dan luar negara.

Selain 13 universiti awam dan kolej swasta tempatan yang menawarkan pengajian bidang berkenaan, hampir 130 universiti luar negara turut diiktiraf KKM bagi melatih pelajar pergigian dari negara ini.

Keadaan itu menyaksikan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) merekod pertambahan pendaftaran doktor pergigian baharu yang signifikan setiap tahun dengan bilangan terkini seramai 1,258 pada 2017, peningkatan 24.2 peratus berbanding 1,013 graduan bidang pergigian pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan laporan dikeluarkan MDC, peningkatan pendaftaran graduan pergigian direkodkan secara konsisten bermula dengan 321 orang didaftar pada 2010, yang meningkat kepada 418 pada 2011; 613 (2012); 697 (2013); 896 (2014); 980 (2015) dan 1,013 pada 2016.

Daripada 1,258 doktor pergigian yang mendaftar dengan MDC pada 2017, sebanyak 52 peratus atau 660 orang adalah graduan luar negara dengan paling ramai mengikuti pengajian di India iaitu 191 orang; Emiriah Arab Bersatu (157) dan Mesir, 96 orang. Selebihnya, adalah daripada kalangan 10 negara yang menerima pelajar pergigian Malaysia.

Tempoh menunggu yang panjang sebelum berpeluang menyertai NDOP, membuatkan ada dalam kalangan graduan pergigian tempatan dan luar negara, terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan rencam, termasuk pelayan restoran makanan segera dan guru tuisyen, demi kelangsungan hidup bagi mengelak terus membebankan keluarga yang banyak berkorban sepanjang pengajian.

Presiden Persatuan Doktor Gigi Islam Malaysia (IDAM), Dr Firdaus Hanapiah, percaya tempoh menunggu yang panjang berlaku kerana kerajaan terlepas pandang untuk mengawal ‘pintu belakang’ dalam penghasilan doktor gigi dengan mengiktiraf 129 universiti di luar negara yang menawarkan bidang pergigian, termasuk dari Pakistan, Taiwan, Indonesia dan India.

“Sekitar 2000, kerajaan mahu menjadikan negara sebagai hab pendidikan dengan menggalakkan pelajar mengikuti bidang perubatan. Justeru, kerajaan menggalakkan penubuhan lebih banyak fakulti perubatan dan pergigian oleh IPT tempatan.

“Selain itu, kita juga menghantar terlalu ramai penuntut ke luar negara khususnya India, Indonesia, Arab dan Jordan. Malah, kerajaan juga mengiktiraf terlalu banyak universiti luar negara yang menawarkan bidang pengajian pergigian kepada rakyat Malaysia.

“Apabila setiap tahun, penuntut bidang pergigian ini diberikan tajaan dan biasiswa sama ada daripada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan MARA (Majlis Amanah Rakyat) ke luar negara, maka semakin lama semakin ramai graduan pergigian yang dilahirkan sama ada dari luar negara mahupun melalui IPT tempatan,” katanya.


Beliau berkata, susulan pengambilan yang terhad bagi setiap kohort, menyebabkan semua graduan pergigian terpaksa menanti lama untuk mendapat peluang menjalani latihan NDOP masing-masing.

Katanya, walaupun JPA dan MARA mengurang atau menghentikan penghantaran penuntut bidang pergigian ke luar negara, namun masih ramai yang pergi sendiri sebelum kembali memenuhi senarai menunggu peluang pengambilan NDOP.

Presiden Persatuan Penuntut Pergigian Malaysia (MDSA), Jacklyn Ng Zhi Ling, mengakui berlaku peningkatan drastik penuntut bidang pergigian di negara ini sejak enam tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu jelas kelihatan daripada hanya kira-kira 1,000 penuntut didaftarkan secara automatik dengan MDSA pada 2013, meningkat kepada lebih 3,000 pada tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau percaya peningkatan itu disumbangkan jumlah penuntut daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mewakili tujuh daripada keseluruhan 13 yang menawarkan pengajian bidang terbabit di negara ini.

“Memang berlaku peningkatan drastik berbanding dahulu. Susulan itu, kerajaan seharusnya menambah bajet bagi pengambilan lebih ramai graduan pergigian untuk menjalani Program Pegawai Pergigian Baharu (NDOP).

“Ia sekali gus boleh mengurangkan tempoh menunggu graduan pergigian yang kini kebiasaannya terpaksa menunggu sekurang-kurangnya enam bulan sebelum berpeluang menjalani latihan berkenaan,” katanya yang berharap tempoh itu dapat disingkatkan kepada tiga bulan sahaja.

Beliau berkata, masa sama kerajaan perlu meningkatkan kemudahan dan sumber yang ada seperti kerusi pergigian yang dikatakan bukan sahaja tidak mencukupi, malah banyak yang usang dan boleh menyebabkan proses latihan terganggu.

“Saya rasa isu lambakan dan tempoh menunggu ini boleh diselesaikan jika kerajaan melihat semula sistem penempatan doktor gigi ini dalam perkhidmatan Kementerian Kesihatan.

“Kita mendapat maklumat, wujud kekurangan doktor gigi khususnya di Sabah dan Sarawak, yang sekali gus menunjukkan bahawa wujudnya permintaan lagi terhadap bidang profesional itu asalkan saluran penempatan yang betul dilaksanakan, “ katanya.

Selain isu graduan pergigian menanti peluang latihan NDOP, Pengerusi Persatuan Doktor Gigi Malaysia-Seksyen Mengenai Pegawai dan Pakar Pergigian (MDA-SCODOS), Dr Muhammad Farid Nurdin, mendedahkan negara juga berdepan isu lambakan doktor gigi yang tidak diserapkan ke jawatan tetap selepas tamat latihan NDOP dan kontrak perkhidmatan selepas itu selama dua tahun.

Pengerusi Persatuan Doktor Gigi Malaysia-Seksyen Mengenai Pegawai dan Pakar Pergigian (MDA-SCODOS), Dr Muhammad Farid Nurdin. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Beliau berkata, tiadanya kawalan kerajaan terhadap penghantaran penuntut ke luar negara untuk mengikuti pengajian dalam bidang pergigian, juga menyumbang ke arah lambakan itu.

Katanya, ketika ini, kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengamalkan dasar pengejatan jawatan dengan hanya mengganti pegawai pergigian yang sudah pencen atau beralih kepada perkhidmatan sektor swasta.

Justeru, katanya, berlaku ketidakseimbangan dalam situasi itu yang mana doktor gigi baharu yang didaftarkan setiap tahun meningkat, namun perjawatan yang ditawarkan masih berada dalam jumlah sama.

“MDA-SCODOS mengunjurkan perlunya ada 1,200 jawatan untuk bidang pergigian dalam perkhidmatan awam setiap tahun, namun jawatan ditawarkan JPA ialah sekitar 500 sahaja, menyebabkan doktor gigi ini bukan sahaja terpaksa menunggu lama untuk menjalani latihan NDOP, tetapi turut berisiko ‘hilang pekerjaan’ selepas itu.

“Justeru, kerajaan wajar menambah sekurang-kurangnya 700 jawatan baharu dalam bidang pergigian. Dengan penambahan jawatan ini, mereka boleh diletakkan di klinik dan hospital baharu atau ditempatkan di kawasan yang padat penduduk,” katanya.

Ternanti-nanti panggilan NDOP

Tiada apa yang mampu dilakukan graduan pergigian negara ini, selain terus menanti dengan sabar peluang menyertai latihan Program Pegawai Pergigian Baharu (NDOP) selepas tamat pengajian masing-masing.

Graduan sebuah universiti tempatan, Nurul Ashikin Mastura Muhammed Rezuan, 24, berkata ekoran tiada kepastian bila akan menyertai latihan itu, dia mengambil peluang bekerja sebagai guru tuisyen sementara selepas tamat pengajian, Jun lalu.

Katanya, pada masa sama beliau berharap namanya akan terpilih menyertai latihan NDOP pada Februari atau Mac ini, meskipun sehingga kini tiada jaminan diberikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam pengambilan sesi terbabit.

“Setiap hari saya periksa emel untuk mendapat maklumat mengenai penempatan latihan itu, malah saya juga ada menghubungi pihak SPA, namun mereka menyatakan tidak boleh menjanjikan bila boleh dapat sebab kena tunggu maklum balas Kementerian Kesihatan.

“Saya risau juga kerana dengar cerita rakan dari universiti lain yang terpaksa tunggu lebih setahun untuk mendapat tempat tetapi untuk universiti tempat kami menuntut kebiasaannya tempoh menunggu sekitar lima hingga enam bulan, “ katanya.


Graduan dari sebuah kolej swasta di Melaka, Mohamad Nazriq Abu Bakar, berkata beliau bersama lebih 70 rakan dalam bidang sama turut menanti panggilan menjalani latihan NDOP selepas tamat pengajian, Ogos lalu.

Katanya, sehingga kini tiada jaminan mereka semua akan dapat menjalani latihan NDOP pada pengambilan akan datang sebaliknya hanya perlu menunggu maklumat yang akan diemel pihak SPA.

Nasib lebih malang sedang dilalui seorang graduan pergigian dari universiti di Dubai, apabila belum berpeluang menyertai NDOP selepas lebih setahun menamatkan pengajiannya.

Graduan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hana, 27, melanjutkan pengajian pergigian dengan kos sendiri kira-kira RM300,000 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2013 dan pulang ke tanah air pada Julai tahun lalu.

“Sebaik pulang dari Dubai, saya mendaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) kerana itu adalah di antara syarat memohon NDOP. Walaupun universiti yang saya belajar itu diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) namun ia belum diiktiraf oleh MDC.

“Saya dimaklumkan MDC bahawa mereka perlu melakukan beberapa perbincangan yang mengambil masa agak lama sebelum memutuskan sama ada saya boleh mendaftar dengan majlis itu. Hanya selepas pendaftaran dengan MDC selesai, baharu saya boleh memohon dengan SPA untuk menjalani NDOP.

“Secara jujur, saya tidak tahu universiti itu tidak diiktiraf oleh Malaysia, sehinggalah tamat pengajian dan pulang ke tanah air menjalani latihan,” katanya yang kini menjadi guru tuisyen demi menampung perbelanjaan.

Hana berkata, selain dirinya, ada beberapa rakan graduan pergigian yang turut menuntut di universiti kebanyakannya di Asia Barat menerima nasib sepertinya.

“Kalau ikutkan saya rasa, macam dah putus asa tapi masih mengharap untuk mendapat tempat dalam masa terdekat kerana ingin berkhidmat sebagai doktor gigi,” katanya.

Sementara itu, seorang doktor gigi dalam perkhidmatan yang mahu dikenali sebagai Dr Ahmad, mendedahkan beliau pernah bekerja sebagai pelayan restoran makanan segera, sepanjang tempoh 16 bulan menunggu peluang mengikuti latihan NDOP.

Beliau yang juga graduan universiti di Jordan dengan tajaan JPA pada 2010, mengakui sangat terkejut kerana terpaksa menunggu lama untuk NDOP.

“Saya memang tidak sangka terpaksa menunggu lama untuk berkhidmat kerana sebelum itu ada rakan senior yang berehat sebulan sebelum dipanggil menjalani latihan.

“Bayangkan masa itu sudah dua kali raya, saya masih tidak dipanggil menjalani latihan. Saya sangat malu apabila saudara-mara yang berkunjung ke rumah bertanya kenapa saya masih tidak bekerja, hingga hilang semangat nak beraya, “ katanya.

Beliau melihat wujudnya ketidakseimbangan dalam penghantaran penuntut ke luar negara untuk menyambung pengajian dalam bidang pergigian dengan kuota yang disediakan oleh KKM bagi menempatkan mereka menjalani latihan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 15-12-2019 11:49 PM | Show all posts
salah umno..dah...tutup ceghita...wakakakakakakkaka
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-12-2019 11:33 AM | Show all posts
Benarkah ada lambakan doktor pergigian?
Oleh Prof Dr Rahimah Abdul Kadir


Merujuk laporan BH Ahad lalu mengenai lambakan doktor pergigian, saya antara segelintir pensyarah yang masih menunaikan khidmat penyaluran ilmu pergigian selepas pencen.

Nak dikatakan lambakan doktor pergigian, rasanya tidaklah. Yang nyata, zaman berubah. Pada 1976 semasa pulang dari belajar di luar negara dulu, jumlah doktor pergigian di bawah paras 1,000 orang, sementara rakyat Malaysia hanya 7.2 juta orang.

Kadar penyakit khususnya kerosakan gigi tak terhingga mencecah 99 peratus. Penyakit gusi pula 100 peratus. Yang berumur 45 tahun ke atas sudah tidak mempunyai gigi kerana perlu dicabut. Pada waktu itu masyarakat tidak mengenali berus atau ubat gigi di samping perkakas kebersihan mulut lain.

Waktu dikirim ke luar negara akhir 1970, keadaan terdesak. Kadar penyakit tinggi dan jumlah doktor gigi tidak setara. Universiti Malaya (UM) belum memulakan program pergigian, malah motivasi kami apabila dihantar ke luar negara juga berbeza kerana hampir semua daripada keluarga miskin.

Enam tahun di luar negara, hanya sekali saya pulang dengan bantuan koleksi rakan kerana biasiswa hanya RM150 sebulan. Itulah wang untuk sewa rumah, membeli perkakas pengajian klinikal dan membayar rawatan pesakit. Yang dikirim ke luar negara pun tidak ramai sebab kemampuan kewangan negara waktu itu terhad. Mengenal pasti hakikat inilah Fakulti Pergigian UM dimulakan.

Saya pernah melakukan kajian menanyakan pelajar yang pulang dari Mesir, juga Indonesia dan India suatu ketika dulu. Soalannya, mengapa memilih belajar di luar negara, walaupun Malaysia sudah ada tujuh institusi swasta menawarkan pengajian.

Tiga jawapan ketara diberikan. Pertama ingin merasa belajar di luar negara, merasa hidup bebas. Kedua, syarat kemasukan di Malaysia ketat dan ketiga, mahal. Tidak ada seorang pun menyatakan kualiti pengajian kita, yang dikawal selia mutunya oleh agensi relevan, tidak bermutu tinggi.

Disebabkan itu, berbondong-bondong tertarik dengan laungan ejen untuk belajar ke luar negara sama ada ditaja atau tidak. Agensi kesihatan di negara pun saya yakin tidak tahu berapa ramai sebenarnya sudah ada di negara luar.

Di Malaysia, institusi pengajian pergigian dikawal jumlah kemasukannya dan memenuhi pelbagai macam syarat, khususnya pensyarah bertauliah yang diwajibkan mempunyai sijil kepakaran, jumlah peralatan khusus yang mencukupi mengikut ratio tertentu, dan banyak lagi syarat perlu dipatuhi.

Apabila senario moratorium dikenakan kepada pengajian perubatan, agensi kerajaan relevan turut berbincang dengan Majlis Dekan-Dekan Pergigian SeMalaysia untuk turut mengenakan hal sama selama lima tahun, bagi membantu kerajaan mengatasi apa yang dikatakan sebagai ‘lambakan’.

Soal untung rugi diketepikan, panggilan negara didahulukan. Sayangnya antara 2013 sehingga 2018, masih ramai ingin ke luar negara secara persendirian. Tidak hairanlah setiap tahun jumlah yang pulang dari luar negara mengatasi keluaran dalam negara.

Sebenarnya masyarakat kita lama terbuai dengan almost free education (pendidikan hampir percuma) di menara gading awam tempatan. Mereka tidak sedar yang menanggung beban kewangan membangunkan fakulti pergigian dengan segala fasiliti lengkap memakan berjuta ringgit adalah kerajaan.

Apabila institusi awam tempatan tidak mencukupi selepas penduduk Malaysia mencecah angka 28 juta pada 2013, dibenarkan pula institusi swasta bertapak.

Bezanya hanyalah persediaan fasiliti semuanya perlu ditanggung institusi yang ingin memulakan program. Kadar kos pengajian pun tidak boleh sembarangan, tetapi dikawal selia agar tidak membebankan graduan.

Mengikut pengalaman saya dari 1977 sehingga kini terbabit dalam pembangunan institusi pengajian awam tempatan dan swasta, setiap institusi memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun untuk melihat akses dari pelaburan dimulakan. Itu pun jika bernasib baik!

Namun, ada manisnya kalau belajar dalam negara. Selain membantu mengurangkan aliran keluar ringgit ke luar negara, mutu pengajian juga terjamin. Pengajian Pergigian seperti bidang profesional lain, memerlukan pelajar memperoleh sokongan kuat daripada keluarga, kekuatan mental, moral dan emosi sepanjang tempoh pengajian.

Kalau kata nak berjauhan sedikit daripada keluarga, tujuh institusi pengajian dalam negara kini boleh dipilih dan kualitinya semua dijamin.

Malaysia antara negara paling aman masa ini, fakta yang patut dihargai semua rakyat. Jadi pada hemat saya sebagai ibu tujuh orang anak, sebaiknya berada dalam negara. Politik luar negara hari ini tidak dapat dijamin, hari ini aman, esok mungkin kacau-bilau.

Apa pun, zaman sudah berubah, mentaliti kebergantungan kepada kerajaan juga perlu turut berubah. Tidak kira bidang pengajian apa dilalui, seseorang penuntut mesti lebih inovatif dan proaktif, sesuai perkembangan tempatan.

Kini pengajian sesuatu bidang tidak lagi bergantung kepada core business bidang itu sahaja, tetapi pelajar perlu menyiapkan diri dengan soft skills terbaik untuk kelangsungan profesional di laman yang kompetitif pada masa akan datang. Bak kata pepatah Inggeris, the best man wins!

Penulis adalah Dekan Pengasas Fakulti Pergigian Kolej Universiti Lincoln Kelana Jaya dan Pakar Kanan Kesihatan Masyarakat Awam Pergigian
Reply

Use magic Report

Post time 17-12-2019 11:52 AM | Show all posts
semoga dipermudahkan urusan.
Reply

Use magic Report

Post time 17-12-2019 11:53 AM From the mobile phone | Show all posts
Gila kesiannya part sampai tak semangat nak beraya lagi huhuhu. I feel you dek
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 01:41 AM GMT+8 , Processed in 0.054722 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list