Nama apa sesuai untuk anak Mala, Boy?
https://www.hmetro.com.my/utama/2020/01/537518/nama-apa-sesuai-untuk-anak-mala-boy
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 2:26 PM
Adnan Ibrahim
[email protected]
ANAK tapir yang baru dilahirkan di Projek Konservasi Tapir Sungai Dusun. FOTO Ihsan PERHILITAN
“SAYA menjemput orang ramai untuk bersama mencari nama sesuai untuk anak tapir ini,” kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban.
Salman memberi reaksi itu bagi berkongsi kegembiraan menyambut kelahiran anak tapir di Projek Konservasi Tapir Sungai Dusun di Selangor, semalam.
Anak tapir seberat 8.6 kilogram itu dilahirkan kira-kira 4 petang, semalam, hasil pasangan tapir betina yang dikenali sebagai Mala dan tapir jantan, Boy.
Ketika dihubungi Harian Metro, Salman menyeru orang ramai supaya berkongsi pendapat dan mencadangkan nama anak tapir berkenaan di twitter PERHILITAN.
“Semoga dengan adanya cadangan orang ramai nanti, ia membolehkan anak tapir berkenaan memiliki nama yang cantik dan baik untuk dikongsi bersama rakyat negeri ini,” katanya.
Salman turut berterima kasih dengan sambutan orang ramai yang sudah mencadangkan pelbagai nama di twitter jabatan itu.
“Nama yang diberikan itu akan dipertimbangkan satu persatu. Setakat ini kami sudah menerima kira-kira 9,900 komen dengan 16,000 tanda suka,” katanya. |