PETALING JAYA: Seorang pesakit buah pinggang kronik menggesa kerajaan mempertimbang untuk memberikan kad orang kelainan upaya (OKU) kepada individu sepertinya.
Mohammad Fazlie, 33, yang didiagnosis dengan penyakit buah pinggang tahap 5 sejak Julai 2014, berkata dia tidak memperoleh pekerjaan yang sewajarnya kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
“Diskriminasi dalam pasaran kerja tinggi kerana tidak ada syarikat yang ingin menggaji calon yang mungkin kurang menyumbang produktiviti kepada syarikat kerana setiap kali sesi rawatan hemodialisis memerlukan kira-kira 4 jam, 3 kali seminggu,” katanya.
Kos bagi sesi hemodialisis di pusat dialisis pertubuhan amal adalah serendah RM10 dan ia boleh mencapai kos minimum RM200 di tempat lain.
“Datang dari keluarga yang berpendapatan rendah, saya tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa menguruskan kos sendiri.
“Saya pemandu Grab dan membayar kira-kira RM200 sebulan termasuk ubat-ubatan,” katanya.
Mohammad berkata dengan kad OKU, dia boleh mendapat manfaat seperti elaun bulanan, memohon biasiswa, rebat cukai dan rawatan percuma di hospital kerajaan.
OKU berdaftar juga mendapat akses istimewa dan lebih murah ke atas kemudahan awam, pengangkutan awam dan pekerjaan.
Menurut pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya pesakit yang terlantar, menghidap kanser atau kegagalan buah pinggang, layak untuk mendapat kad OKU.
Dalam laporan baru-baru ini, Kementerian Kesihatan berkata bilangan rakyat yang mengalami masalah buah pinggang di seluruh negara dijangka meningkat kepada 106,000 dalam tempoh 20 tahun.
Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia berkata, buat masa ini terdapat kira-kira 50,000 pesakit dengan masalah buah pinggang di seluruh negara, dengan 7,000 pesakit baru yang mendapatkan rawatan dialisis setiap tahun.