Kredit foto: Facebook Siti Rahayu
Beberapa tahun lepas, kisah pengorbanan Siti Rahayu yang setia menjaga suaminya Muhamad Ridhwan Mohd Zaki, 30, yang terlantar akibat kemalangan pada Mei 2017 menjadi tular apabila beliau kerap memuat naik status dan video di Facebooknya setiap hari sehingga meraih ramai pengikut.
Suaminya kini telah hilang ingatan walaupun keadaan fizikalnya semakin pulih. Selama tiga tahun ini, Siti Rahayu menjalankan perniagaan atas talian dengan menjual tudung, pakaian, kasut dan barangan kecantikan untuk menampung perbelanjaan bulanan selain menerima pelbagai bantuan daripada pihak berwajib.
Terbaru, berita yang dikongsi Siti Rahayu agak mengejutkan. Khabarnya, Siti Rahayu difitnah sehingga ditangkap khalwat dirumahnya. Pada waktu kejadian, difahamkan beliau dan anak-anak berada bersama suaminya yang OKU di dalam bilik, manakala adik angkat dan kakak kandung beliau dan anak saudaranya berada di ruang tamu.
Kredit foto: Facebook Siti Rahayu
Menurut Siti Rahayu yang selesa disapa sebagai Umy, perkara itu menjadi lebih aneh apabila keluarga mentua yang sebelum ini mengabaikan anak mereka yang terlantar sakit sejak tiga tahun lepas, tiba-tiba berada di rumahnya pada malam tersebut apabila dia dibawa ke pejabat agama kerana dituduh berkhalwat.
Tambah Umy, keluarga mentuanya dikatakan telah merancang pelbagai helah untuk memisahkan mereka berdua.
Kredit foto: Facebook Siti Rahayu
Kemuncaknya apabila mereka turut serta berada di tempat kejadian semasa dia ditangkap dan ingin membawa suaminya balik ke pangkuan keluarga.
Lebih menyedihkan, keluarga mentua tidak henti-henti bertanyakan perihal duit insurans kemalangan suaminya yang bakal diperolehi sedikit masa lagi.
Umy kini mengambil keputusan untuk memfailkan penceraian selepas perbicaraan kes khalwat kerana merasakan itu adalah jalan terbaik bagi semua pihak dan tidak menghalang keluarga mentuanya untuk menjaga suaminya kelak.
Kredit foto: Facebook Siti Rahayu
Susulan perkongsian tersebut, rata-rata warga maya memberikan kata-kata semangat buat Ayu.
Dugaan di bulan Ramadan. Buatlah keputusan yang terbaik untuk Umy dan anak-anak. Semoga kebenaran berada di pihak yang benar. - CARI |