LONDON: Floyd Mayweather memberikan peluang kepada peminat tinju untuk 'menjamu mata' ke dalam kediaman mewahnya di Beverly Hills yang bernilai 19 juta pound (RM101 juta).
Dia turut membawa penyokong menyaksikan garaj 'Grand Theft Auto' yang menempatkan berdozen jentera mewah - semuanya berwarna hitam yang menjadi sebahagian daripada koleksi bernilai 20 juta pound (RM106 juta).
Lebih 25,000 pelayar Internet menyertai Instagram Live di mana 'Money' menunjukkan persekitaran rumahnya.
Mayweather yang menjadi sebahagian daripada kelab bilionair bersama Michael Jordan, Cristiano Ronaldo dan Tiger Woods menunjukkan satu seksyen khusus untuk kasut Christian Louboutin.
Dia turut mendedahkan 'satu' daripada lif yang terdapat di kediaman mewahnya yang dibeli selepas beroleh 74 juta pound (RM393 juta) menerusi pertarungannya dengan Conor McGregor pada Ogos 2017.
Selain itu, dia turut menunjukkan kolam renang yang terdapat di dalam dan juga di luar rumahnya namun apa yang lebih menakjubkan sudah pasti bahagian garajnya yang tampak lebih besar berbanding kebanyakan ruang pameran kereta.
Garajnya dibarisi Rolls Rolls-Royce, Bentley dan Bugatti yang kesemuanya berwarna hitam, namun di Las Vegas, semua kereta Mayweather berwarna putih.
Dia berkata 'saya perlu mencuci kereta saya. Semuanya sudah berhabuk. Tetapi sebenarnya, saya ada lebih banyak kereta daripada ini - cukup untuk memenuhi ruang garaj ini.'
Namun Mayweather menunjukkan kereta yang menjadi kegemarannya iaitu trak berharga 22,000 pound (RM117,000) yang diletakkan di hadapan rumahnya.
Dia mendedahkan Dodge RAW 1500 Classic itu sambil berkata 'inilah trak yang saya pandu setiap hari. Saya cuba merendah diri.
"Saya tayangkan semua jentera mewah saya tetapi mari saya tunjukkan kereta yang saya pandu setiap hari," katanya. -Agensi