KUALA LUMPUR: Abu akibat letusan Gunung Berapi Sinabung di Sumatera Utara pagi tadi dijangka memasuki ruang udara bahagian utara Selat Melaka bermula malam ini.
Ia akan membabitkan ruang udara negeri di Utara serta Timur Semenanjung iaitu Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon, berkata keadaan itu boleh menjejaskan operasi penerbangan pada paras 1,500 hingga 5,000 meter.
"Pemerhatian berdasarkan kepada Model Trajektori Integrasi Lagrangian Hibrid Partikel Tunggal (HYSPLIT) dijana MetMalaysia dan ramalan dari Pusat Amaran Debu Gunung Berapi Serantau (VAAC) Darwin, Australia, ia dijangka tidak akan menjejaskan kualiti udara di negara ini," katanya
"Ia juga dijangka tidak akan menjejaskan kualiti udara di negara ini. Tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda Malaysia akibat letupan gunung berapi berkenaan.
"Keadaan semasa Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara turut menunjukkan
kualiti udara yang biasa (baik dan sederhana)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta aplikasi myCuaca.
Pagi tadi, gunung berapi di kawasan terbabit dilaporkan kembali meletus dan mengeluarkan abu serta asap berwarna kelabu setinggi 5,000 meter.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia memaklumkan, letusan itu berlaku pada jam 10.16 pagi waktu Indonesia Barat dan asap serta abu itu menghala ke arah timur dan tenggara pulau Sumatera.