KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mensasarkan RM1.35juta untuk bidaan nombor siri pendaftaran DDU yang akan dibuka selama lima hari bermula esok.
Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf, berkata jumlah itu membabitkan bidaan nombor siri pendaftaran DDU 1, DDU 8, DDU 17, DDU 74 dan DDU 8055 yang mana keputusan bidaan terbabit akan diumumkan 18 Ogos nanti.
Katanya, harga bidaan mengikut nilai minima yang sudah ditetapkan berdasarkan kategori iaitu nombor utama dengan harga bermula RM20,000; nombor menarik RM 3,000; nombor popular RM800 dan nombor biasa RM300.
"Pendaftaran untuk bidaan boleh dilakukan di portal http:/jpjebid.jpj.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJebid).
"Ia terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan penduduk tetap yang berumur 18 tahun ke atas serta peniaga atau syarikat yang berdaftar.
"Bagaimanapun, orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod di sistem Mysikap seperti rekod kenderaan, lesen atau saman perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu di pejabat JPJ negeri atau cawangan JPJ, kecuali Pusat Transformasi Bandar (UTC).
"Setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan, manakala bagi perniagaan atau syarikat adalah tidak melebihi lima nombor sahaja," katanya dalam sidang media di Pejabat JPJ Negeri, Panji, di sini, hari ini.
Hanif Yusabra berkata, pihaknya mengutip hasil bidaan melebihi RM6.8 juta bermula Ogos 2019 sehingga Mei 2020, membabitkan nombor siri pendaftaran DDP, DDQ, DDR, DDS dan DDT dengan bidaan paling tinggi ialah DDS 1 iaitu RM 225,000.
"Untuk tambahan, JPJ Kelantan merekodkan jumlah kutipan hasil nombor siri pendaftaran DDD sebagai paling tinggi iaitu sebanyak RM7.3 juta.
"Selain itu, kaedah pembayaran bidaan dalam JPJebid hanya menggunakan kad kredit atau debit tempatan sahaja.
"Pelaksanaan inisiatif JPJebid adalah langkah strategik dalam memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat selain meningkatkan kecekapan pengurusan nombor pendaftaran melalui urus niaga atas talian," katanya.