COVID-19: China sedia kerjasama dengan ASEAN bangunkan vaksin
China bersedia bekerjasama dengan ASEAN dalam penyelidikan dan untuk membangunkan vaksin COVID-19, kata Duta China untuk ASEAN, Deng Xi Jun.
"Negara-negara ASEAN adalah negara tetangga yang dekat dan ramah dengan China, dan kita mempunyai tradisi saling membantu dan menyokong. Dan kita menikmati kerjasama yang baik terhadap penyakit ini," katanya.
Beliau berkata, di China, vaksin sedang dibangunkan dalam lima kategori - vaksin yang tidak aktif, vaksin protein buatan, vaksin influenza yang dilemahkan secara langsung, vaksin adenovirus, dan vaksin berasaskan asid nukleik.
"Sehingga kini, empat vaksin yang tidak aktif dan satu vaksin adenovirus telah dipersetujui untuk ujian klinikal," katanya.
Kedua-dua pihak sebelum ini pernah mengadakan kerjasama anti-wabak sejak pandemik itu mula melanda rantau ini, mendorong persetujuan serantau mengadakan tindak balas kolektif secara lebih padu, di samping memperkukuh hubungan perdagangan antara ASEAN dan China.
Terdapat potensi besar untuk ASEAN dan China bekerjasama dalam penyelidikan, pembangunan dan penghasilan vaksin COVID-19, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Ditubuhkan pada 1967, ASEAN terdiri 10 negara iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam. - AGENSI
|