
Berita menyedihkan apabila seorang pelajar kita yang menuntut di Universiti Tainan, Taiwan dicekik hingga mati lalu mayatnya dibuang ke pergunungan Kaohsiung.
Menurut Badan Berita Pusat (CNA) Taiwan seperti dilaporkan Bernama, polis menahan seorang lelaki pada malam Khamis lalu kerana disyaki mengakibatkan kematian pelajar Malaysia.
Kredit foto: CNA
Lelaki berkenaan kemudiannya mengaku mencekik pelajar wanita berusia 24 tahun terbabit hingga mati dengan tali panjang dan membuang mayatnya di pergunungan Kaohsiung.
"Berdasarkan bukti yang ditemui, suspek dipercayai menculik gadis berkenaan selepas jam 8 malam Rabu, iaitu kali terakhir dia dilihat masih hidup."
Polis mengesahkan pentadbiran universiti melaporkan kehilangan pelajar berkenaan kepada pegawai imigresen pada Khamis.
Selepas Jabatan Polis Kota Tainan diberitahu mengenai kes berkenaan, penyiasat menonton rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa berjalan di sepanjang jalan di daerah Gueiren, dekat dengan jalan tol kereta api pada 8 malam, sebelum hilang dari pandangan.

Kredit foto: Taiwan News
Pencarian di kawasan itu menemukan kasut yang kemudiannya disahkan milik mangsa, sekali gus menyebabkan polis percaya dia diculik di daerah terbabit.
Polis kemudiannya menumpukan siasatan terhadap kereta yang didapati mempunyai kesan darah dan seluar dalam wanita. Nombor pendaftaran kenderaan terbabit membantu polis mengesan suspek berusia 28 tahun terbabit.
Foto : The Genesis Time
Tidak lama selepas pengakuannya, polis menemui mayat mangsa di lereng bukit di Kaohsiung.
Menurut siasatan awal, polis mengatakan mangsa tidak mengenali suspek. Kes terbabit diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Daerah Ciaotou di Kaohsiung untuk siasatan lanjut.
 Kredit foto: CNA
Sementara itu, menurut The Star, keluarga mangsa akan dibenarkan terbang ke Taiwan menerusi kawalan ketat dan dijamin oleh Pusat Pengawalan Wabak Tarfiwan (CECC). Mereka tidak akan melalui kuarantin selama 14 hari seperti prosedur biasa, tetapi akan menjalani saringan Covid-19 setiap tiga hari. Semoga keluarga mangsa tabah menghadapinya. - CARI |