|
Anak perempuan Aamir Khan membuat pengakuan mengejutkan dengan mendedahkan pernah menjadi mangsa penderaan seksual.
Ira Khan, 23, disahkan menghidap kemurungan lebih empat tahun lalu tidak pernah berasa malu berkongsi mengenai kesihatan mentalnya di media sosial.
Kredit foto: IG
"Ketika berusia 14 tahun, saya pernah menjadi mangsa dera seksual.
"Ia situasi yang agak janggal apabila saya sendiri tidak pasti sama ada orang itu sedar akan perbuatannya. Saya mengenali pelaku dan ia bukan berlaku setiap hari," tulisnya di Instagram.
Katanya, dia mengambil masa setahun untuk benar-benar pasti bahawa pelaku tahu apa yang dilakukannya.
"Sebaik pasti mengenainya, saya cepat-cepat mengirim emel kepada ibu bapa saya untuk 'membawa saya keluar' dari situasi itu," ujarnya.
Ira bagaimanapun mendakwa kejadian itu tidak memberi kesan kepadanya kerana ia sudah berlalu dan dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Tambahnya, perceraian ibu bapanya juga tidak menjejaskan emosinya, malah mereka kini masih dianggap sebagai teman baik buatnya dan abang, Junaid. - CARI
|
|