|
Berlin: Polis Berlin menahan seorang guru matematik yang dipercayai membunuh seorang lelaki dikenalinya menerusi forum sembang popular dalam talian, sebelum memakan daging mangsa, baru-baru ini.
Pasukan penyiasat mengenal pasti suspek lelaki dikenali sebagai Stefan R, 41, itu selepas laporan kehilangan seorang lelaki bernama Stefan T sejak 5 September lalu.
Misteri kehilangan lelaki itu pertama kali diketahui selepas orang awam menemui tulang kaki manusia di sebuah taman di tengah bandar raya ini sebelum ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan ia adalah milik Stefan T, 44.
Kedua-dua pasukan pencarian bermula dari dua lokasi berlainan di Berlin, dengan dipandu dengan anjing pengesan, berjaya menjejak lokasi kejadian iaitu sebuah apartmen yang dihuni oleh guru matematik itu.
Apabila pihak berkuasa menggeledah unit apartmen berkenaan, mereka menemui peti sejuk dengan kesan darah manusia dan gergaji tulang.
Selain itu, pasukan penyiasat menemui bahan kimia pencuci seberat 25 kilogram di ruang penyimpanan minuman keras di kediaman berkenaan.
Ketika disoal polis, Stefan R mendakwa bahan itu untuk pembuatan sabun.
Bagaimanapun, selepas menyiasat secara terperinci transkrip perbualan antara kedua-dua lelaki berkenaan, yang menunjukkan mereka bersetuju untuk berjumpa, polis merumuskan Stefan R, memakan sebahagian anggota badan mangsa.
Selain itu, suspek dipercayai melupuskan sebahagian anggota badan mangsa di bilik mandi.
"Berdasarkan penemuan tulang itu yang masih lagi berdarah dan bukti lain, kami mengesyaki Stefan T mangsa kanibal," kata pegawai polis seperti dilaporkan Irish Times.
Martin Steltner, yang juga jurucakap kepada pendakwa raya negeri menggambarkan kejadian itu sebagai kes orang hilang yang kemudiannya bertukar kepada kes pembunuhan tragis.
Dalam pada itu, siasatan pihak berkuasa juga menunjukkan suspek dan mangsa dikatakan berkenalan menerusi platform dalam talian yang popular untuk janji temu lelaki dan wanita.
Ketika ini, Stefan R ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 6:01 AM
|
Rate
-
2
View Rating Log
-
|