Kuala Lumpur: "Saya terkilan kerana pihak pengurusan hospital seolah-olah lepas tangan dan enggan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku," kata ibu kepada empat anak, Siti Aisyah Md Rani.
Siti Aisyah, 33, yang menetap di Putrajaya memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi kisah anaknya, Muhammad Afeef yang kini tidak dapat berjalan kesan komplikasi akibat diberi dos ubat berlebihan.
Suri rumah itu mendakwa kesalahan berkenaan dilakukan doktor pelatih ketika Muhammad Afeef yang berumur setahun 10 bulan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya pada 12 September lalu.
Menurutnya, Muhammad Afeef dimasukkan ke hospital berkenaan tiga bulan lalu iaitu pada 11 September selepas mengalami demam panas dan sawan.
"Saya dan suami pada mulanya menghantar anak kami ke Hospital Putrajaya, namun dirujuk ke PPUM untuk mendapat rawatan lanjut.
"Pada bulan pertama, anak saya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) sebelum dipindahkan ke wad pediatrik dan kini di wad kanak-kanak.
"Sepanjang lebih tiga bulan di hospital, banyak prosedur dijalankan namun apa yang mengecewakan apabila berlaku komplikasi pada anak saya dan menurut seorang pegawai perubatan di PICU, keadaan itu berpunca daripada dos ubat berlebihan diberi doktor pelatih secara intravena menerusi saluran darah.
"Kesannya, anak saya terpaksa ditidurkan selama seminggu untuk menjalani prosedur cuci darah bagi membuang ubat berlebihan ," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Siti Aisyah berkata, lebih menyedihkan apabila semua jari kaki kanan anaknya termasuk sebahagian tapak kaki dan separuh ibu jari kiri terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman.
Katanya, terdapat kudis (bedsore) besar pada bahagian kepala selain masalah pada hati yang tidak sembuh lagi dan keadaan itu menyebabkan Muhammad Areef ditahan lebih lama di hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Pada 10 November lalu, anak saya terpaksa menjalani pembedahan pada usus yang dipotong anggaran 10 sentimeter (cm) kerana doktor memaklumkan terdapat usus tidak sihat dan perlu dibuang.
"Pada 16 November, anak saya sekali lagi menjalani pembedahan usus kerana bahagian (usus) disambung terbuka dan perlu dipasang beg stoma untuk merehatkan dan memastikannya (usus) kembali sihat dan normal.
"Terbaru iaitu pada 16 Disember lalu, saya dan suami hadir ke mesyuarat persidangan bersama peringkat atasan hospital, namun mereka hanya meminta maaf dengan apa terjadi dan merahsiakan identiti kakitangan yang menyebabkan kecuaian walaupun diminta mendedahkannya," katanya.
Lebih mengecewakan Siti Aisyah apabila pihak pengurusan hospital tidak menawarkan kos rawatan percuma untuk anaknya sebagai ganti rugi.
Katanya, kakitangan terbabit bekerja seperti biasa di hospital tanpa datang menziarah mereka dan memohon maaf.
"Sedangkan, dia sepatutnya tampil memberi penjelasan bagi melegakan sedikit hati kami sebagai ibu bapa seolah-olah tiada sifat kemanusiaan dengan apa yang menimpa anak kami sepanjang tiga bulan 11 hari di hospital.
"Saya turut mengalami trauma serius kerana melihat keadaan Muhammad Areef, gangguan tidur dan makan serta tidak dapat menjalankan tugas seharian sebagai suri rumah mahupun menjaga anak lain kerana kebanyakan masa dihabiskan di wad," katanya.
Siti Aisyah berkata, suaminya yang bekerja sebagai penjawat awam terpaksa mengambil cuti dengan separuh gaji pada Oktober lalu, memohon cuti kecemasan selain berulang alik ke hospital selepas waktu bekerja untuk menjaga Muhammad Afeef.
Katanya, mereka terpaksa mengeluarkan kos banyak untuk perbelanjaan anak lain termasuk kos makan minum, ulang alik dan sebagainya.
"Banyak wang simpanan dikeluarkan bagi menampung kos seharian dan kos rawatan ubat yang tidak ditanggung oleh pihak hospital antaranya alatan memasukkan ubat (PICC), beg stoma dan alat sokongan pemulihan.
"Oleh kerana kerjasama pihak hospital amat mengecewakan, saya tidak dapat bersabar dan sudah membuat laporan di Balai Polis Pantai pada 18 Disember lalu dengan harapan ada tindakan susulan daripada pihak berwajib termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Bukan niat untuk bergaduh jauh sekali memperbesarkan hal ini, tetapi hanya mahu memperjuangkan nasib dan kebajikan anak saya yang sudah dibenarkan discaj daripada wad, hari ini," katanya yang kini dalam proses memohon kad Orang Kurang Upaya (OKU) untuk anaknya itu.
Sementara itu, Pengarah PPUM, Profesor Dr Nazirah Hasnan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai aduan perkhidmatan oleh ibu pesakit.
"Susulan daripada situasi berlaku, pihak PPUM mengambil beberapa tindakan klinikal dan pentadbiran termasuk mengadakan pertemuan untuk memberi penjelasan kepada ibu bapa pesakit.
"Selain itu, PPUM turut mengambil langkah penambahbaikan secara tertumpu dan berterusan.
"Pihak PPUM sudah memberikan dan akan memastikan perawatan berterusan kepada pesakit," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar menerusi kiriman emel kepada Harian Metro.