Edited by FOTHER-MUCKER at 13-1-2021 12:30 PM
Bekalan air dunia dijangka merudum menjelang akhir abad
Januari 13, 2021 @ 6:37pm
Gambar hiasan - NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN
PARIS: Bekalan air dijangka merosot secara drastik di dua per tiga permukaan bumi menjelang penghujung abad ini, dengan sebahagian besarnya akibat perubahan iklim.
Menurut laporan penyelidik mengenai perkara itu, bilangan penduduk yang terdedah kepada cuaca kemarau ekstrem turut berganda. Walaupun dalam senario penurunan sederhana kadar pelepasan gas rumah hijau, kejadian kebakaran tanah akibat kemarau ekstrem hingga luar biasa meningkat daripada tiga kepada tujuh peratus.
Populasi dunia pula berisiko meningkat daripada 230 juta kepada 500 juta orang, menurut laporan mereka dalam Perubahan Iklim Alam Semula Jadi, Isnin lalu.
Kemerosotan bekalan air dijangka 'begitu membimbangkan' di lembangan Sungai Amazon, Australia, selatan Afrika, rantau Mediterranean dan sebahagian Amerika Syarikat (AS), kata penulis utama laporan itu, Yadu Pokhrel, dari Universiti Michigan State kepada AFP.
Seorang daripada setiap 12 orang di dunia dijangka berdepan masalah kekurangan bekalan air yang teruk setiap tahun menjelang 2100, berbanding purata kira-kira seorang daripada setiap 33 penduduk pada akhir abad ke-20.
"Punca utama kemerosotan bekalan air dan peningkatan cuaca kemarau pada masa depan ialah perubahan iklim, bukan aktiviti pengurusan air-tanah seperti pengairan dan pengepaman air bawah tanah," kata Pokhrel. - AFP
|