View: 1295|Reply: 0
|
Memperingati Konfrontasi Malaysia-Indonesia, 58 tahun Kemudian
[Copy link]
|
|
Di bawah kepemimpinan Presiden Sukarno, Indonesia melaksanakan polisi konfrontasi terhadap Malaysia yang baru dibentuk. (Gambar Wikipedia)
FMT
Noel Wong
Tak dinafikan lagi Malaysia berada dalam kedudukan baik dengan negara jiran dari segi diplomatik dalam hubungan yang saling memanfaatkan.
Bagaimanapun, pada awal sejarah pembentukan Malaysia, tidak kurang kemelut dirasai malah terdapat pertumpahan darah akibatnya.
Indonesia hari ini memang antara jiran terapat Malaysia, dengan ramai rakyat kita bekerja dan tinggal di sana, begitu juga sebaliknya.
Namun dari 20 Jan 1963 hingga 11 Ogos 1966, Malaysia dan Indonesia telah berbalah dalam ‘perang’ yang tidak diisytiharkan, digelar Konfrontasi.
Kebanyakan pertempuran berlaku di sempadan Sabah dan Sarawak, walaupun ada juga yang dilihat di Semenanjung.
Pertempuran berskala kecil dan lazimnya berlaku di kawasan hutan, namun jumlah kematian tetap agak tinggi yang dianggarkan 700 orang.
Namun, kenapa berlaku pertumpahan darah ini? Apa yang membawa kepada perbalahan antara dua negara itu?
Ramai penduduk etnik Sabah dan Sarawak direkrut mengikuti operasi ketenteraan di sempadan. (Gambar Wikipedia)
Ketika Malaysia pertama kali dibentuk pada 1963, dua negara jiran, Filipina dan Indonesia, lantang membantahnya.
Indonesia ketika itu boleh dianggap kuasa besar di Asia Tenggara dengan kejayaannya mengusir penjajah Belanda ketika Revolusi Nasional Indonesia.
Selepas itu, Indonesia turut menuntut Belanda melepaskan kawalannya terhadap Guinea barat yang akhirnya dilakukan kuasa Eropah itu selepas tunduk kepada desakan antarabangsa pada 1962.
Namun, dalam pada semua ini sedang berlaku, ekonomi Indonesia terjejas dan presidennya, Sukarno, mencari cara untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada masalah dihadapi.
Pada 1962, pemberontakan berlaku di Brunei yang kemudian ditumpaskan pihak berkuasa British; kejadian itu sebenarnya dibiayai dan disokong kerajaan Sukarno.
Kerajaan Indonesia mengesyaki pembentukan Malaysia sebenarnya kaedah penjajahan baharu untuk mengekalkan kuasa Britain di Asia Tenggara.
Ada yang mencadangkan kewujudan Malaysia turut mengganggu perancangannya sendiri untuk menyatukan Malaya serta Borneo di bawah pemerintahan Indonesia.
Susulan itu, pada 20 Jan 1963, kerajaan Indonesia menerbitkan deklarasi Konfrontasi yang mengutuk pembentukan Malaysia.
Askar Scotland membuat rondaan mencari kedudukan musuh di kawasan hutan Brunei. (Gambar Wikipedia)
Walaupun rakyat Malaysia lebih selesa memikirkan negara ini kurang terpengaruh dengan Perang Dingin, sebaliknya dapat dilihat ketika Konfrontasi.
Malaysia banyak mendapat sokongan United Kingdom, negara Komanwel lain dan Amerika Syarikat, manakala Indonesia menerima senjata dari Kesatuan Soviet.
Mujurlah, tidak seperti perang proksi lain yang lebih teruk seperti Perang Korea dan Perang Vietnam, Konfrontasi tidak melibatkan serangan tentera besar-besaran.
Sebaliknya, konflik kecil dicetuskan skuad pasukan khas Indonesia yang menyelinap masuk ke Sabah dan Sarawak dari Kalimantan.
Ada juga masanya tentera Indonesia menyeberang Selat Melaka untuk melaksanakan operasi di Malaysia Barat.
Penyusupan dan serangan pertama direkodkan pada 12 April 1963, apabila sebuah balai polis di pekan Tebedu yang terletak di sempadan, diserang dan ditawan tentera Indonesia.
Bagi rakyat biasa, penyusupan seperti itu amat mengejutkan dan menakutkan, malah FMT berjaya berbual dengan Cecelia Polo yang ketika itu melalui usia kanak-kanak di Sabah.
Sekumpulan wanita Malaysia mengadakan bantahan terhadap penyusupan Indonesia ke negara ini. (Gambar Wikipedia)
“Tarikhnya 29 Dis 1963, ketika itu saya berusia lapan tahun. Malam itu kami meraikan ulang tahun kelahiran ayah. Tiba-tiba lampu terpadam, siren berbunyi dan kami melihat agas berterbangan,” katanya.
“Rupanya bukan agas, tetapi peluru. Kami meniarap di atas lantai. Keesokannya kami melihat mayat bergelimpangan dan askar, batalion Gurkha berkawad.
“Kami juga disuruh menggali lubang di bawah rumah, supaya berlindung di dalamnya jika berlaku pertempuran lagi, selain untuk menyimpan makanan dan bersembunyi,” ujarnya.
Walaupun Malaysia masih negara baru, ia masih anggota Komanwel yang membantu dalam kawalan keselamatannya.
Askar dari tentera Britain, New Zealand dan Australia selain Gurkha dikerahkan untuk melindungi negara malah bertempur dengan rejimen Malaysia yang baru dibentuk.
Tentera Indonesia dijadikan tawanan askar Australia di Selaka. (Gambar Wikipedia)
Selain serangan kecil-kecilan, pihak berkuasa Indonesia cuba mencetuskan ketegangan etnik di Malaysia dengan menghasut kesangsian antara kumpulan etnik berbeza di Borneo.
Bagaimanapun, serangan dilancarkan bukanlah cuma dari pihak Indonesia, malah apabila tentera negara itu dikesan berhampiran Kuching, British melancarkan Operasi Claret untuk menggempur mereka.
Serang hendap dilakukan di sempadan manakala tentera Indonesia yang ditemui ‘diusir’ semula ke sempadan mereka seterusnya memaksa tentera lawan mempertingkatkan pertahanan di situ.
Bagaimana semuanya berakhir?
Kejatuhan Sukarno memainkan peranan penting menamatkan pertempuran yang tiada hala tuju itu, dan beliau digantikan dengan Suharto pada 1966.
Mujur Suharto tidak berminat meneruskan polisi Sukarno, dan rundingan damai dimulakan pada Mei 1966 yang berakhir dengan perjanjian yang diratifikasikan pada 11 Ogos 1966.
Sejak itu, hubungan antara Malaysia dan Indonesia semakin normal malah menjadi perkara biasa untuk ramai rakyat dua negara ini, tidak kira di Malaysia Timur atau Semenanjung untuk turut mempunyai ahli keluarga di seberang sempadan.
Lagipun, kedamaian adalah sesuatu yang memanfaatkan rakyat kedua-dua negara berbanding sentiasa berbalah. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|