CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1260|Reply: 5

[Tempatan] Terima kasih Malaysia, anda sentiasa di hati saya - Duta Besar AS ke Malaysia

[Copy link]
Post time 23-1-2021 05:42 AM | Show all posts |Read mode
Edited by FOTHER-MUCKER at 22-1-2021 01:45 PM

Terima kasih Malaysia, anda sentiasa di hati saya - Duta Besar AS ke Malaysia

Oleh Kamala Shirin Lakhdhir - Januari 22, 2021 @ 12:47pm

Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir. - Foto NSTP



Ketika bersiap untuk pulang bagi jawatan baharu, saya mengenang kembali empat tahun di Malaysia. Ia kenangan manis bersama rakyat negara ini yang luar biasa dan begitu ramah mengalu-alukan saya, malah begitu banyak saya pelajari.

Sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, tugas saya mempromosikan dan memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara. Bagaimanapun, tugas saya lebih sekadar bertemu menteri untuk menyokong tindakan dan dasar yang selaras objektif dasar luar AS (walaupun saya juga melakukannya).

Bahagian terbaik dalam tugas saya adalah mengenali rakyat Malaysia dan Malaysia. Saya berjaya mencapai tujuan untuk mengunjungi setiap negeri di Malaysia. Ada juga negeri yang saya kunjungi banyak kali.

Saya bertuah dijemput menjadi tetamu oleh ramai rakyat Malaysia yang pemurah, daripada setiap lapisan masyarakat. Saya menghargai setiap keramahan diberikan dan setiap perbualan berlangsung. Saya berkesempatan mengunjungi sekolah dan universiti di hampir setiap negeri - dari Sarawak hingga Kelantan.


Di Kedah, saya belajar banyak perkara daripada Puan Zur'aiza, yang ketika itu Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongor di Kedah semasa lawatan ke sekolah itu pada 2018.
Seorang pendidik berinspirasi dan pemimpin dengan empati terhadap rakan guru beliau, Puan Zur'aiza menunjukkan dedikasi memberikan masa depan yang lebih baik kepada pelajarnya.

Saya juga bangga beliau salah seorang peserta program pertukaran Study of the United States Institute (SUSI) kami. Sebagai bekas guru, saya memberi keutamaan untuk menyokong peluang kepada anak muda Malaysia.

Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir (duduk depan kiri) bersama Guru Tadika, Shamsul Sawiyah Zakaria (duduk depan kanan) mengajar murid-murid Tadika Kemas Teluk Wanjah ketika Program Lawatan Duta AS ke Perpustakaan Awam Kedah pada 2018. - Foto NSTP


Malaysia sebuah negara penuh bertenaga, dengan peluang untuk memanfaatkan tenaga, kreativiti dan bakat golongan belianya. Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) kami adalah satu contoh terbaik.

Saya bertemu dengan 100 guru dari Malaysia dan seluruh ASEAN dalam Bengkel Serantau YSEALI 2019 untuk memperkasakan pendidik Asia Tenggara. Guru-guru yang saya temui menumpu kepada pembangunan generasi pemimpin serantau yang akan datang.
Satu lagi contoh perubahan transformatif yang boleh dibawa orang muda ialah gerakan UNDI 18. Gerakan ini menunjukkan bagaimana gabungan dipimpin belia pada peringkat akar umbi dapat mendorong reformasi Perlembagaan.

Hak untuk memilih dan penyertaan demokratik berjuta-juta anak muda Malaysia adalah pencapaian dihargai oleh rakyat AS dan Malaysia.
Mempromosikan pemerkasaan wanita di Malaysia turut menjadi keutamaan saya. Tahun lalu, Kedutaan AS melancarkan kempen #WanitaEmpowered, yang memberi peluang bimbingan perniagaan kepada usahawan wanita di Malaysia. Saya bertuah dapat bertemu beberapa wanita Malaysia yang membuka jalan bagi orang lain dalam bidang mereka, seperti Tun Tengku Maimun, Ketua Hakim wanita pertama.

Saya juga bertuah dapat bekerjasama dengan pemimpin seperti Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, yang menjawab seruan untuk membantu negaranya dengan membawa kepakaran kesihatannya yang luar biasa untuk memerangi COVID-19 Malaysia.

Saya sangat kagum dengan usaha Datuk Ambiga Sreenevasan, All Women's Action Society (AWAM), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sisters in Islam, Good Shepherds, Tenaganita, Lawyers for Liberty, SUARAM dan ramai lagi wanita serta lelaki yang berusaha membawa keadilan dan kesamarataan bagi wanita dan anak-anak mereka.

Saya sangat berbangga kerana dapat meraikan Janushaa Bala Krishnan Muthiah dan Grace Sian Ern Hui, kadet wanita Malaysia pertama yang menghadiri Akademi Tentera Laut AS dan Akademi Tentera Udara AS. Dua wanita muda ini menunjukkan dedikasi kepada negara dan mereka mewakili yang terbaik dari Malaysia.

Banyak kejayaan kadet Malaysia di akademi ketenteraan AS selama ini menggambarkan kekuatan hubungan antara rakyat dan kerjasama keselamatan kita.

Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir (dua kiri) menyampaikan sijil lanjutan pengajian kepada Putra Nadeem Damanhuri Ahmad Damanhuri (kiri) dan Janushan Bala Krishnan Muthiah (dua kanan) pada Majlis Penyerahan Lanjutan Pengajian Ketenteraan ke AS di kediaman rasmi kedutaan pada 2018. Turut serta Timbalan Ketua Staff Operasi Pertahanan dan Latihan MAF, Major General Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan. Foto NSTP


Tentera Laut Diraja Malaysia menghantar sebuah kapal untuk menyertai RIMPAC untuk pertama kalinya pada 2018. Ia latihan ketenteraan bersama dengan 25 negara lain berlangsung di Hawaii.

Saya tidak akan lupa perjalanan dilakukan ke Lumut untuk majlis pelepasan KD Lekiu. Pasukan Kedutaan AS terpaksa menghalang saya daripada melompat ke kapal untuk menaikinya. Saya bangga mengikuti pelayaran mereka ke Honolulu dan pulang ke Lumut.
Dalam penguatkuasaan undang-undang, pengukuhan kerjasama antarabangsa dan koordinasi antara kerajaan dalam memerangi pemerdagangan hidupan liar menjadi keutamaan tinggi bagi saya.

Dalam 'Bengkel Multilateral untuk Memerangi Pemerdagangan Hidupan Liar' yang dibiayai kerajaan AS di Kuala Lumpur pada 2017, saya bertemu ramai penyiasat dan pendakwa berpengalaman dalam menangani pemerdagangan hidupan liar dan kes alam sekitar yang berkaitan dari Indonesia, Laos, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Saya mendengar daripada peserta bagaimana mereka bekerja untuk memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap pemerdagangan hidupan liar global, mengurangkan permintaan untuk hidupan liar yang diperdagangkan secara haram dan membangunkan kerjasama antarabangsa.
Geran kerajaan AS juga menyokong pembentukan unit pengesanan hidupan liar K9 di lapangan terbang dan pembangunan unit penyiasatan jenayah hidupan liar khusus di Sabah.

Kerjasama kesihatan awam kita lama menjadi keutamaan bagi AS dan Malaysia, malah sebelum menghadapi cabaran COVID-19 bersama-sama.

Datuk Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman dari Universiti Malaya sudah bekerjasama dengan penyelidik di Universiti Yale di negeri saya di Connecticut dalam penyelidikan penyakit berjangkit selama hampir 15 tahun. Dari Malaysia, beliau bekerjasama secara rapat dengan rakan-rakannya di AS, menunjukkan 'semangat inovasi' yang penting untuk mengalahkan cabaran bersama ini.

Saya telah melihat bagaimana saintis di Jabatan Hidupan Liar Sabah, sebagai sebahagian daripada program PREDICT yang dibiayai oleh USAID, menyelidik penyakit yang baharu muncul dan menyumbang kepada pengetahuan antarabangsa mengenai penyakit zoonotik.

Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir, ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan Parlimen pada November lalu. - Foto Ihsan Facebook Muhyiddin Yassin


Saya tidak boleh bercakap mengenai perkongsian kesihatan awam kita tanpa berbicara mengenai COVID-19. Pandemik ini jelas menunjukkan bahawa syarikat AS dan pembekal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia mereka adalah sebahagian daripada rantaian bekalan global untuk industri kritikal, termasuk alat ujian, ventilator dan alat perubatan lain.

Kedutaan dan Dewan Perniagaan AS di Malaysia bekerjasama secara erat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pengangkutan, untuk memastikan industri yang terlibat dalam rantaian bekalan kesihatan global terus beroperasi.

Melalui Operation Warp Speed, kerajaan AS melabur AS$14 bilion untuk mempercepat pembangunan, ujian klinikal dan proses pembuatan vaksin COVID-19 yang selamat dan berkesan. Apa yang nampak tidak boleh dilaksanakan hanya beberapa bulan lalu sekarang menjadi kenyataan - pelbagai vaksin selamat bersedia untuk digunakan dan kami menjangkakan akan ada lebih banyak lagi nanti.

Malaysia bekerjasama dengan syarikat AS untuk membeli vaksin ini dan saya gembira kerana rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada usaha AS ini.
Perdagangan dua hala antara AS dan Malaysia mencapai hampir AS$60 bilion pada 2019, tetapi itu tidak menceritakan keseluruhan hubungan ekonomi kita. Syarikat AS melabur di Malaysia selama hampir 100 tahun, yang membawa peluang pekerjaan, latihan dan kepimpinan kepada rakyat Malaysia.

Syarikat-syarikat AS ini memandang serius komitmen mereka kepada masyarakat Malaysia di tempat mereka beroperasi dan berkhidmat. Anggota My AMCHAM Cares telah menyumbangkan lebih RM7 juta pada 2020 untuk menyokong respons Malaysia terhadap COVID-19, termasuk kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan, bantuan kemanusiaan kepada mereka yang kehilangan mata pencarian dan banyak lagi.

Syarikat AS memberikan sumbangan kepada masyarakat di Malaysia selama berdekad lamanya, malah lama sebelum cabaran COVID-19. Kluster Sains Pulau Pinang (PSC) adalah inisiatif dipimpin industri dilancarkan dengan kerjasama kerajaan Pulau Pinang. Syarikat AS termasuk Keysight Technologies, Intel, Motorola, Agilent Technologies, Hewlett-Packard, National Instruments Penang, Jabil dan banyak lagi dengan bangganya membentuk sebahagian besar rakan industri PSC.

Pusat ini mempromosikan sains dan teknologi, inovasi dan keusahawanan kepada generasi akan datang dan inovator muda yang saya temui melalui pusat ini memberi saya banyak harapan untuk masa depan Malaysia. Syarikat AS sentiasa berfungsi sebagai standard global untuk inisiatif tanggungjawab sosial korporat dan pemimpin serta pekerja Malaysia yang mewakili syarikat ini merangkumi nilai terbaik AS dan Malaysia.

Kebanyakan syarikat ini juga menyokong program latihan untuk rakyat Malaysia, seperti Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris Fulbright Kedutaan, yang memberikan pendidikan bahasa Inggeris kepada pelajar di seluruh Malaysia yang berkemungkinan tidak berpeluang belajar daripada penutur asal bahasa Inggeris.

Semasa saya melakukan perjalanan di Malaysia selama empat tahun di sini, saya bercakap dengan ratusan pelajar seperti Erniza Evieyannie Sudiman dari SMK Pengiran Omar di Sipitang, Sabah, yang memberitahu saya tentang kemampuan berbahasa Inggeris mereka yang akan membantu dalam pelajaran dan kerjaya masa depan.

Pelajar juga berkongsi budaya dan bahasa Malaysia dengan guru mereka, yang membawa pengalaman ke AS dan menjadi penyokong untuk Malaysia. Hubungan antara AS dan Malaysia didasarkan pada nilai demokrasi, kepelbagaian dan keprihatinan kita bersama.

Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir (empat dari kiri), bersama barisan kepemimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia ketika USA Patnership Pavilion sempena Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2018 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto NSTP


Idea-idea ini dirangkumi oleh sebilangan besar rakyat Malaysia yang saya bertuah dapat bertemu, terutama calon kami untuk Anugerah Keberanian Wanita Antarabangsa, Nisha Ayub dan organisasinya Yayasan SEED terus memberikan sokongan kepada pelbagai komuniti di seluruh Kuala Lumpur meskipun menghadapi COVID-19.

Sharifah Shakira bekerja tanpa penat lelah untuk mempromosikan hak dan kebajikan pelarian Rohingya di Malaysia. Indira Gandhi dan Susanna Liew begitu bersungguh memperjuangkan keadilan bagi golongan agama minoriti.

Dengan pelantikan Presiden AS yang baharu, saya juga akan melepaskan tanggungjawab ini kepada bakal Duta Brian McFeeters yang mempunyai pengalaman luas di Malaysia dan pernah ditugaskan di Kedutaan AS di Kuala Lumpur sebelum ini.

Saya membawa Malaysia dalam hati saya semasa kembali ke AS. Daripada bermain wau bulan dengan pelajar di Terengganu, kepada bertemu dengan penjaga gajah di Sabah dan melawat pemimpin agama di kuil serta masjid yang indah di Sarawak, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur, saya berpeluang mengunjungi begitu banyak tempat indah dan bertemu begitu ramai rakyat Malaysia yang memberi inspirasi.

Kami bekerjasama dalam banyak isu penting termasuk pelaburan ekonomi, kerjasama keselamatan, antirasuah dan peraturan undang-undang, kebebasan akhbar, pendidikan dan kebebasan beragama. Saya tahu perkongsian kita dalam
perkara ini dan isu bersama lain akan berterusan selepas ini.

Akhir kata, kepada begitu ramai rakyat Malaysia yang mengalu-alukan saya, membimbing saya, bekerja dengan saya, memberi inspirasi kepada saya dan menjadikan empat tahun saya di Malaysia kenangan yang tidak dapat dilupakan, terima kasih.
Penulis adalah Duta Besar AS ke Malaysia yang akan kembali ke negara asal.







Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 23-1-2021 08:58 AM From the mobile phone | Show all posts
Memula baca best, tiba tang dia petik nama Ambiga, terus tak minat nak baca. Now I know.
Reply

Use magic Report

Post time 23-1-2021 09:46 AM | Show all posts
Panjang juga penulisan ni
Reply

Use magic Report

Post time 24-1-2021 07:39 AM From the mobile phone | Show all posts
Leh jadi buku biografi dh..
Kamala ni pun lahir kt Malaysia tk silap
Reply

Use magic Report

Post time 24-1-2021 08:16 AM From the mobile phone | Show all posts
Dengan pentadbiran baru ni harap rakyat Malaysia ni takdelah nak burukkan US sangat. Biden pun dah tarik balik larangan muslim ban, walaupun Malaysia ni terkesan pun. Maklumlah Malaysia ni kan nak jadi jaguh dunia islam. Sikit-sikit terasa. Bagi aku isu yang lebih besar berkenaan trade. Isu palm oil ban yang memberi kesan terus kepada syarikat tempatan. Ini periuk nasi kita.

Daripada sentiasa curiga dengan US, baik kita berhati-hati dengan China. Ni negara yang menceroboh perairan kita.
Reply

Use magic Report

Post time 24-1-2021 08:20 AM From the mobile phone | Show all posts
Tulis pjg2, tapi rupanya nak kata babai...

Dengan pelantikan Presiden AS yang baharu, saya juga akan melepaskan tanggungjawab ini kepada bakal Duta Brian McFeeters yang mempunyai pengalaman luas di Malaysia dan pernah ditugaskan di Kedutaan AS di Kuala Lumpur sebelum ini.
Reply

Use magic Report

Follow Us
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 11:38 AM GMT+8 , Processed in 0.102242 second(s), 35 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list