View: 1959|Reply: 2
|
Menyanggah 'Mufti Maya'
[Copy link]
|
|
Vaksin Pfizer BioNTech.
Harian Metro
Dr Lokman Ab Rahman
Isu vaksin seringkali diperkatakan oleh khalayak ramai. Dalam bidang farmaseutikal, bioteknologi banyak digunakan untuk menghasilkan pelbagai vaksin sebagai langkah pencegahan kepada penyakit berjangkit. Vaksin adalah bahan perangsang menghasilkan antibodi dalam tubuh terhadap sesuatu penyakit. Kandungannya ialah bahan komposit yang dinyahaktifkan mudarat dan risiko di mana kandungan biologinya berperanan mengarahkan antibodi terhadap sesuatu penyakit secara semula jadi. Penghasilan vaksin melalui ujian klinikal yang sangat ketat melalui penilaian potensi risiko terhadap manusia.
Dalam sejarah perubatan, vaksinasi di Malaysia dikatakan bermula pada awal 1868 dengan memperkenalkan imunisasi oleh pemerintah British. Ketika itu imunisasi mencegah cacar (smallpox) diberikan kepada guru-guru besar Melayu di negeri-negeri Selat. Pada 1950-an, imunisasi cacar diperluaskan ke seluruh negara. Program imunisasi ini berjaya menurunkan bilangan kes serta wabak cacar sehingga dapat dibasmikan sepenuhnya pada 1980. Setelah perkembangan teknologi perubatan, pada 1961 imunisasi BCG diperkenalkan untuk mencegah tuberculosis (TB) kepada masyarakat. Manakala 1972 imunisasi poliomyelitis diperkenalkan apabila timbul wabak polio dan pada tahun sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memulakan program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan secara tersusun dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini bermakna penggunaan dan penerimaan vaksin dalam kalangan masyarakat Malaysia bukan perkara baharu.
Ada yang menyangka penggunaan vaksin mula digunakan di negara bukan Islam memandangkan mutakhir ini banyak produk berkenaan ditawarkan dari negara Barat dan Eropah. Sudah tentulah datang dari negera bukan Islam termasuk China. Sebaliknya terdapat dakwaan menyatakan Khalifah Uthmaniyyah Turki mula-mula bertanggungjawab memperkenalkan vaksin pada 1717 ekoran surat Lady Montagu kepada rakannya Sarah Chiswell yang menceritakan mengenai imunisasi bagi berdepan wabak cacar ketika itu. Bagaimanapun ada yang mempertikaikan fakta terbabit kerana di China dan Afrika pun juga mengamalkan pendekatan yang hampir sama. Bagaimanapun, Stanley Williamson cuba menganalisis mengenai perdebatan berkenaan vaksin dalam bukunya The Vaccination Controversy: The Rise, Reign and Fall of Compulsory Vaccination for Smallpox. Pada bab pertama lagi beliau cuba mengaitkan perkembangan vaksin dalam operasi pencegahan wabak dalam sejarah Khalifah Uthmaniyyah. Dengan kenyataan ini sekurang-kurangnya menujukkan kerajaan Islam Turki antara negara awal dalam sejarah perubatan menekankan kepentingan keselamatan dan kesihatan rakyat awam. Sebagai kerajaan yang pernah menjadi pemerintah dunia, Khalifah Uthmaniyyah tidak mustahil berjaya memanfaatkan amalan perubatan Arab, Parsi, India dan China kemudian menghasilkan pendekatan yang lebih maju. Malah apa yang lebih menarik pada hari ini sepasang suami isteri kelahiran Turki yang menetap di Jerman iaitu Ugur Sahin dan isterinya muncul sebagai pelopor dalam persaingan penghasilan dan pemasaran vaksin Covid-19. Mereka berdua adalah berdarah Turki. Ugur adalah CEO syarikat BioNTech membuat penemuan yang mengejutkan dalam tempoh setahun menghasilkan vaksin Covid-19 yang lazimnya mengambil masa tujuh sehingga lapan tahun.
Dalam kalangan yang anti vaksin sentimen menolak vaksin sangat kuat hatta merujuk kepada Thailand dikatakan hanya bergantung kepada pakar herba dan tidak perlu kepada vaksin. Sebalik Indonesia negara besar pun hebat dengan pakar perubatan, herba dan kajian bioteknologi tetap memperolehi vaksin daripada Sinovac Life Sciences Co LTD dari China untuk menyelamatkan rakyatnya. Majlis Ulama Indonesia mengeluarkan fatwa pada awal 2021 dengan jaminan halal dan keselamatan vaksin yang diperolehi. Kenapa vaksinasi menjadi kontroversi dalam masyarakat? Lazimnya menghantui masyarakat Islam ialah fobia dengan info dalam media yang menguasai minda menggunakan bahan haram. Pertamanya bagi pengguna Muslim lazim mempersoalkan kandungannya. Keduanya berfahaman naturalis, percaya kepada kejadian semula jadi mampu bertahan kepada sebarang gangguan penyakit. Ketiganya risiko terhadap kesan sampingan seolah-olah rakyat sebagai pengguna menjadi medan ujian kepada syarikat pengeluar yang sudah tentu mengaut keuntungan besar dalam industri farmaseutikal. Keempat syarikat pengeluar vaksin seperti China, Amerika, United Kingdom dan German dilihat seperti menangguk di air keruh mengambil peluang dalam kegawatan dunia berdepan dengan pendamik k ini. Malah, China dan AS pernah dituduh punca tercetus virus ini tiba-tiba dalam masa yang singkat menawarkan vaksin pula sebagai penawarnya.
Perkembangan terkini di Malaysia penularan Covid-19 menunjukkan semakin serius dan masih belum berjaya dibendung sebaiknya. Sebagai langkah proaktif kerajaan berusaha mendapatkan vaksin untuk melindungi rakyat yang berdepan dan terdedah kepada risiko virus ini. Melalui KKM, kerajaan telah menandatangani perjanjian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer pada November 2020 untuk mendapat bekalan vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi sebanyak 20 peratus di peringkat permulaan. Dalam tempoh 12 bulan, 80 peratus atau dijangka hampir 27 juta penduduk Malaysia akan menerimanya menjelang suku pertama 2022.
Sehingga kini tiada jawapan konklusif ditemui terhadap punca Covid-19 menjadi misteri saintifik ekoran sikap berahsia China. Pada 11.1.2021 adalah genap setahun jika mengambil kira kematian seorang lelaki China warga emas berusia 61 tahun di Wuhan. Dalam tempoh ini sudah mengorbankan hampir dua juta nyawa seluruh dunia. Usaha mengesan asal usul virus bahaya ini masih tidak terungkai bagaimana ia boleh berpindah dari haiwan kepada manusia. Penularan wabak ini tidak lagi terkawal di kebanyakan negara menyebabkan puluhan juta jatuh sakit dan ekonomi global merosot.
Bagi menjamin kepentingan ummah setiap sudut, Muzakarah Fatwa Kebangsaan atau hari ini dikenali sebagai Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan telah membahaskan isu imunisasi dan vaksin sebanyak tujuh kali dengan isu berlainan sekian lama. Perbahasan itu bermula dengan Pelalian Rubela pada 2008 sehinggalah kepada vaksin Meningtis pada 2013. Muzakarah Khas (MKI) Kali Ke-10 pada 2020 secara khususnya membincangkan hukum penggunaan vaksin Covid-19 dan memutuskan penggunaannya adalah harus. Alasan fiqh adalah jelas untuk menyingkirkan mudarat dan menimbang risiko (mafsadah) yang lebih ringan dari menanggung risiko yang lebih besar kepada masyarakat awam. Dalam hal ini, pandangan muzakarah melihat kepatuhan kepada pemerintah (Ulil Amri) untuk melaksanakannya sangat penting. Sebarang usaha demi kebaikan rakyat semestinya diberikan sokongan padu. Hal ini bertepatan dengan prinsip pencegahan lebih baik dari rawatan (al-wiqayah khairun min 'ilaj).
Dengan beberapa teori dan andaian daripada pelbagai pihak begitu panas dan sesetengahnya sangat beremosi, kerajaan Malaysia menyatakan fakta secara terbuka. Seperti dinyatakan kepada media, bahawa kerajaan Malaysia melalui KKM telah menandatangi perjanjian awal dengan syarikat farmaseutikal untuk pembekalan vaksin Covid-19. Sebenarnya vaksin yang akan dibawa adalah dijamin selamat yang berasaskan bahan sintetik. Ahli perubatan pula menganggap penghasilan vaksin ini sebagai teknologi hebat dan canggih dalam usaha berdepan dengan pendamik. Pertikaian panjang dan terperinci daripada aspek hukum dan fatwa mengenai kesuciannya boleh dikurangkan apabila sumbernya dikenal pasti tidak diambil daripada protein haiwan.
Malah, sama sekali tiada kaitan dengan babi atau saripati haiwan lain seperti lembu atau monyet seperti sumber vaksin lain. Oleh itu, tidak ada lagi isu mana-mana pihak khususnya dalam kalangan 'mufti maya' cuba mengulas perkara ini kononnya berkaitan fiqh melibatkan aplikasi istihalah-perubahan zat, asalnya boleh menjadi harus.
Walau bagaimanapun perbicangan dan pencerahan di luar konteks bukan sahaja gagal memahamkan masyarakat awam, malah mencelarukan minda masyarakat.
Senario sejarah perubatan dan pencegahan penyakit penggunaan vaksin bukan perkara baharu untuk melindungi pesakit dan mencegah virus terus mengganas. Kini virus Covid-19 sudah berada dalam komuniti. Setiap individu sewajarnya menjaga kesihatan diri dan SOP. Kepada pemerintah adalah suatu kewajipan mencegah sebarang mudarat dan menjaga keselamatan nyawa rakyat sebagai keutamaan seperti tuntutan maqasid syariah.
*Penulis Pengarah Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Akin, boleh dibawakan link asal ke?
|
|
|
|
|
|
|
| |
|