Edited by Aking at 28-1-2021 10:28 PM
Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap penghantar makanan yang dikhuatiri diperalatkan untuk mengedar dadah. (Gambar JSJN)
FMT
PETALING JAYA: Sindiket pengedaran dadah kini kembali aktif memperalatkan penghantar makanan untuk mengedar bahan terlarang itu kepada pelanggan mereka dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.
Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengambil langkah proaktif menempatkan anggotanya di sekatan jalan raya bagi mengesan penghantar makanan yang terbabit kegiatan haram itu.
Sumber JSJN berkata, pihaknya berbuat demikian selepas mendapati khidmat penghantar makanan sekali lagi digunakan sindiket tertentu bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menghantar bekalan kepada pelanggan mereka ketika pelaksanaan PKP.
“Justeru, JSJN Bukit Aman mengambil tindakan proaktif menempatkan anggota narkotik bertugas di sekatan jalan raya bagi mengekang aktiviti ini,” kata sumber itu.
Sumber itu berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pengedaran dadah diminta menghantar mesej melalui WhatsApp ke HOTLINE JSJN di talian 012 2087222 yang beroperasi 24 jam.
“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Sebelum ini, JSJN mendedahkan beberapa kes dadah membabitkan pekerja penghantaran dengan menyorokkan bahan terlarang itu dalam bungkusan barangan lain, termasuk makanan dan kotak permainan kanak-kanak.
Pada 13 April 2020 iaitu ketika pelaksanaan PKP lalu, seorang pekerja penghantaran curiga dengan bungkusan yang perlu dihantar ke satu alamat di Setapak, Kuala Lumpur, sebelum dia terus ke balai polis berhampiran.
Apabila bungkusan itu dibuka, polis menemui beberapa paket ganja diisi bersama roti canai.
Berikutan itu, polis berjaya menahan lima individu termasuk pengirim dan penerima bungkusan dalam serbuan di Setiawangsa dan Bangsar.
Dalam kes berasingan pula, seorang penghantar makanan ditahan dalam sekatan jalan raya di depoh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kuala Lumpur dan menemui 121g dadah untuk dihantar kepada seorang pensyarah lelaki sebuah institusi pengajian tinggi yang memesannya secara dalam talian.
Hasil siasatan, polis menahan seorang lelaki warga Portugal dan teman wanitanya yang juga warga tempatan dalam serbuan di Jalan Imbi dengan merampas 11.3g syabu, 33g ketamin, 17 biji pil erimin 5 dan 51g ganja.
|