Edited by FOTHER-MUCKER at 7-3-2021 03:16 AM
Tun M lega selepas disuntik vaksin COVID-19
Oleh Hamzah Osman - Mac 7, 2021 @ 8:20ambhnews@bh.com.my
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (dua dari kiri) dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menunjukkan isyarat bagus selepas menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 di Kompleks Sukan Langkawi, Langkawi. NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Selepas menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berasa lega dan yakin vaksin itu selamat.
Pada masa sama, beliau mengajak rakyat Malaysia tampil mendaftar menerusi aplikasi dan kaedah dalam talian yang disediakan kerajaan. "Tak rasa apa pun, (proses suntik) sekejap sangat tak sampai satu minit, lebih lama ketika proses mendaftar sebab kena jawab banyak soalan.
"Saya sekarang berasa lega," katanya pada sidang media selepas menerima suntikan vaksin itu di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 di Kompleks Sukan Langkawi (KSL), di sini, hari ini.
Turut menerima suntikan vaksin sama, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Dr Mahathir berkata, rakyat tidak perlu meragui keberkesanan vaksin yang diluluskan oleh pihak berkuasa, malah yakin dapat mengurangkan jangkitan.
"Ada vaksin yang perlu disuntik dua kali, malah ada cuma sekali, tetapi semua vaksin COVID-19 yang diluluskan pihak berkuasa sudah ditapis dan berkesan.
"Proses suntikan semua rakyat perlu dipercepatkan kerana penduduk Malaysia (berjumlah) kira-kira 33 juta, tidak ramai berbanding Amerika ada 360 juta," katanya.
Beliau berkata, penduduk terdiri golongan tua dan mempunyai masalah kesihatan sewajarnya diberi keutamaan untuk menerima suntikan vaksin.
Terdahulu, Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah tiba di KSL pada jam 1.50 tengah hari dan menjadi orang pertama serta kedua menerima suntikan pada hari pertama program suntikan vaksin COVID-19 berskala besar di sini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/793609/tun-m-lega-selepas-disuntik-vaksin-covid-19
|