CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1360|Reply: 0

Alister Yoong Mahu Memecut Sepantas Bapanya Di Litar Lumba

[Copy link]
Post time 23-3-2021 09:26 AM | Show all posts |Read mode

Pelbagai jerit perih yang dilalui namun pelumba muda ini tidak berganjak dari litar perlumbaan (Gambar Alister Yoong


FMT

Tsen Ee Lin

Kuala Lumpur: Sukan permotoran dianggap sebagai salah satu sukan paling merbahaya di dunia dan hanya segelintir saja yang berani menyahut cabaran untuk berlumba di litar.

Sesiapa saja pasti berasa gerun membayangkan kemalangan dahsyat yang boleh berlaku dalam perlumbaan disertai.

Namun, tidak buat Alister Yoong. Anak muda berusia 18 tahun ini begitu menyerlah di litar antara bangsa dan Kejohanan Formula seakan sudah biasa dalam perlumbaan.

Ya, nama keluarganya adalah ‘Yoong’ yang anda biasa dengar kerana dia adalah anak kepada Alex Yoong, pemandu F1 Malaysia yang pertama. Dan tentu sekali bapa Alex, Hanifah Yoong yang juga merupakan pemandu ‘motor rally’ dan pemenang Malaysia Super Saga pada 1991.


Alex Yoong bersama anaknya di Thailand Super Circuit pada 2019. (Gambar Alister Yoong)


Hanifah bersaing dengan pelumba terpantas pada 2001 dan 2002 di Kejohanan Formula 1 yang bertaraf dunia, sekaligus memberi inspirasi buat negara termasuk anaknya sendiri.

Kini, semangat sama membakar dalam tubuh anak muda bergelar Alister.

Memecut sepantas 310km/j, Alister kini mengikut jejak langkah bapanya untuk menjadi pelumba terpantas negara.

Bagaimana pun, permulaannya agak lewat dalam sukan ini.


Alister berusia 14 tahun bersama bapanya, Alex. (Gambar Alister Yoong)


“Ketika saya mula menyertai perlumbaan pada 2016, saya sudah berusia 13 tahun. Kebanyakan pelumba menceburi bidang ini seawal usia lima hingga enam tahun.

“Tahun pertama saya menghabiskan masa di litar go-kart di Malaysia sebelum bertanding di peringkat antara bangsa pada 2017. Tahun ketiga pula saya layak menyertai Formula 4 dan pada usia 15 tahun, saya adalah salah seorang pelumba termuda,” katanya.

Alister mungkin masih baru dalam arena perlumbaan namun pelumba muda itu sudah mencipta nama di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa dengan merangkul beberapa trofi kemenangan.


Pada 14 Julai 2019, Alister meraikan kemenangan pertama di India pada Kejohanan Formula 4 Asia Tenggara. (Gambar Alister Yoong)


“Saya menang perlumbaan pertama ketika berusia 15 tahun pada Kejohanan Formula 4 di India dan ketika itu saya mungkin pelumba ketiga paling muda yang memenanginya,” kata Alister.

Beberapa tahun selepas itu, Alister terus lincah di litar perlumbaan dengan menyertai acara tempatan seperti Sepang 1,000km Endurance Race dan mencipta beberapa kemenangan lagi.

Pada Januari, dia menyertai Kejohanan Asia Formula 3 di Dubai namun nasib tidak menyebelahinya untuk membawa pulang kemenangan.

Pelumba muda itu sebaliknya hanya menyertai ujian pra-musim dan kali pertama menjadi mekanik tayar dan petrol, menggunakan pemutar skru bersama pasukan profesional Formula 3.


Alister memberi sokongan kepada pelumbanya di hentian pit di Dubai. (Gambar Alister Yoong)


“Saya berada di sana sepanjang musim dan penyertaan kali pertama sebagai mekanik dalam pasukan Formula 3 adalah kejayaan besar buat saya.

“Mekanik biasanya bermula dengan go-kart tetapi saya melangkau jauh dan terus bermula dalam kejohanan bertaraf dunia dan ia agak menyeronokkan,” katanya menjelaskan dia membuat keputusan itu kira-kira seminggu untuk terbang ke Dubai tanpa sebarang pengalaman.

Bagaimana pun katanya, dia perlu banyak belajar dan membiasakan diri selain mempelajari tips daripada pemandu lain.


Alister memecut kereta Formula 3 di Dubai Autodrome ketika ujian pra-musim. (Gambar Alister Yoong)


Walaupun Alister kini kembali ke Malaysia namun dia begitu rindukan adrenalin pada hari perlumbaan dan lebih rela berpanas di trek untuk memenuhi keinginannya itu.

Malangnya, pandemik menyebabkan Alister terpaksa akur dan berehat daripada semua perlumbaan.


Selepas memandu simulasi selama lima jam, Alister berlatih di gimnasium selama dua jam setiap hari. (Gambar Alister Yoong)


“Saya teringin untuk kembali memandu. Saya rindu berlumba secara profesional dan tiada apa yang boleh menggantikan perasaan seperti itu.

“Walaupun teknologi boleh membantu anda memberi perasaan seakan berlumba namun anda tidak dapat melalui suasana sebenar berada di bawah tekanan dan suhu panas ketika perlumbaan,” katanya.

Menurutnya, perkara paling penting ialah mempunyai ketahanan untuk berada dalam ruang sempit kereta dan boleh bertahan dengan suhu sehingga 50 darjah celsius.

“Pada hujung minggu di India, berat badan saya turun 5 kilogram ketika sihat. Namun, apabila kurang sihat ketika menyertai pertandingan, berat badan turun 10 kilogram dalam tempoh tiga hari,” katanya yang menjelaskan ia disebabkan dia terlalu banyak berpeluh akibat suhu panas di sana.


Alister menyertai perlumbaan enam jam Moraca Adventure Park di Langkawi sebagai perlumbaan pertama hujung minggu, tahun ini. (Gambar Alister Yoong)


Selain ketahanan fizikal yang tinggi, seorang pelumba kereta harus berani kerana ia bukanlah seperti memandu di bandar atau jalan biasa di Malaysia.

“Masyarakat tidak merasakan ini sebagai salah satu sukan dan hanya menganggap ia sekadar memusing stereng dan menekan pedal namun ia sebenarnya agak susah. Bukan semua orang boleh menyertainya dengan mudah.

“Perbezaannya agak sukar dibayangkan kerana menekan pedal dalam perlumbaan adalah sepuluh kali lebih susah berbanding kereta biasa,” katanya.

Alister berkata, sukan itu juga mencabar dari segi mental seperti ‘seorang peninju yang masuk ke gelanggang untuk menumpaskan lawannya’.


Alister berharap satu hari nanti menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi pertandingan ‘24 hourse of Le Mans. (Gambar Alister Yoong)


Walaupun sedar harapan yang disandarkan pada bahunya sebagai anak kepada Alex Yoong, namun Alister berkata dia hanya melakukannya untuk diri sendiri.

“Saya melakukannya untuk diri sendiri kerana ingin menjadi pelumba profesional,” katanya.

Namun, katanya ia adalah satu bonus sekiranya dia berjaya membuatkan bapanya berbangga atas kejayaan dengan membawa nama Malaysia.

Untuk menjinakkan ngauman kereta lumba perlukan bertahun latihan dan semangat waja namun Alister punyai semuanya. Tidak hairanlah kerana berlumba sudah menjadi darah dagingnya.

“Saya sukakan kelajuan,” ujar pelumba muda yang bercita-cita tinggi dalam dunia lumba kereta ini penuh semangat.

Ikuti perjalanan kehidupan Alister di trek perlumbaan di akaun Instagram pelumba muda ini.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 01:24 PM GMT+8 , Processed in 0.125315 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list