|
Tukang masak dibunuh, disumbat dalam beg kerana dendam
Nor Azizah Mokhtar - April 20, 2021 @ 9:20pm
bhnews@bh.com.my
Polis memeriksa beg berisi mayat mangsa yang ditemui di susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke Persiaran Kewajipan, semalam. Foto Ihsan Polis
Lokasi dokumen peribadi, permaidani, kain dan dompet milik mangsa di bawah jejambat Jalan SS 16/1, Subang Jaya. - Foto Ihsan Polis
SUBANG JAYA: Polis menahan empat lelaki yang disyaki membunuh seorang tukang masak dengan kejam dalam sebuah apartmen servis di Jalan Kemajuan Subang, di sini, dengan mayatnya disumbat dalam sebuah beg pakaian, semalam.
Mangsa dipercayai dibunuh kira-kira jam 12.30 tengah malam, Ahad lalu, sebelum suspek menghumban beg berisi mayat mangsa ke dalam tong sampah dan ditinggalkan di tepi jalan di susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke Persiaran Kewajipan, di sini.
Tong sampah bersama beg berisi mayat itu kemudian ditemui oleh pasukan polis kira-kira jam 2.30 petang semalam, kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi mangsa dibunuh.
Terdahulu, polis turut menemui dokumen peribadi, permaidani, kain dan dompet milik mangsa di bawah jejambat Jalan SS 16/1, di sini, kira-kira satu km dari apartmen mangsa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata kejadian itu terbongkar selepas keluarga menyedari mangsa tidak dapat dihubungi dan 'lesap' tanpa berita.
"Mangsa yang berusia 20 tahun dan bekerja di sebuah restoran di SS 15 biasanya akan menghubungi ibu saudaranya setiap malam selepas pulang bekerja namun mangsa tidak berbuat demikian Sabtu lalu, menyebabkan wanita itu bimbang.
"Kira-kira jam 4.30 petang keesokannya (Ahad), wanita berusia 60 tahun itu menghubungi majikan mangsa dan diberitahu anak saudaranya itu tidak datang bekerja," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, ibu saudara bersama majikan mangsa serta pihak polis kemudian pergi ke apartmen servis berkenaan dan mendapati pintu dalam keadaan terbuka dan keadaan rumah berselerak.
"Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di apartmen servis mendapati tiga lelaki tidak dikenali masuk ke kediaman mangsa kira-kira jam 12 tengah malam, Ahad lalu sebelum mangsa dilihat pulang ke rumah setengah jam kemudian.
"Kira-kira sejam kemudian, tiga lelaki itu dilihat membawa keluar satu beg hitam dan kelihatan berat," katanya.
Abd Khalid berkata, susulan siasatan, pihaknya menahan empat lelaki dalam serbuan berasingan di Kajang; Port Dickson, Negeri Sembilan dan ibu negara, semalam untuk membantu siasatan.
"Suspek pertama berusia 25 tahun ditahan di Taman Kantan Permai, Kajang pada jam 4 petang, manakala suspek kedua berusia 21 tahun ditahan di Kampung Baru Sirusa, Port Dickson, pada jam 5.50 petang.
"Suspek ketiga dan keempat pula ditahan di Flat Sri Perlis 2 dan Flat Keramat Jaya di ibu negara pada jam 10 malam dan 10.30 malam. Kedua-dua mereka berusia 20 tahun," katanya.
Abd Khalid berkata, siasatan lanjut mendapati seorang daripada tiga suspek adalah rakan serumah mangsa dan dia bersama dua rakannya dipercayai menyerang mangsa dan menjerut lehernya dengan wayar kabel elektrik.
Katanya, mangsa kemudian ditarik masuk ke dalam tandas sebelum lehernya ditikam dan dikelar.
Mengulas lanjut, katanya, suspek pertama direman empat hari sehingga 23 April manakala tiga lagi suspek direman tujuh hari hingga 26 April ini.
"Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
"Motif pembunuhan dipercayai untuk membalas dendam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
2
View Rating Log
-
|