Pemain skateboard raih perhatian meluncur dengan pakaian tradisional
Biasanya pemain papan luncur dikaitkan dengan personaliti yang atletik dan maskulin, tetapi lain pula imej yang dibawakan oleh seorang pemain skateboard dari China ini.
Ah Kang adalah seorang pemain skateboard yang boleh menggayakan pelbagai jenis kostum ketika bermain papan luncur, termasuklah cosplay anime, pakaian seragam tentera, pakaian opera Cina, dan juga pakaian tradisional wanita, hanfu.
Pemuda itu belajar bermain skateboard sendiri pada 2018, dan mula memakai pelbagai kostum ketika bermain selepas menjalani sebuah sesi photoshoot untuk baju hanfu.
Pada mulanya dia hanya ingin mengketengahkan hanfu sebagai seorang peminat pakaian tradisional selain minatnya dalam sukan papan luncur, namun dia kemudian mendapat idea untuk menggabungkan kedua-dua minatnya itu dalam satu persembahan.
Dia percaya dengan bermain skateboard sambil memakai kostum tradisional orang ramai akan dapat melihat kecantikan pakaian itu.
Selain hanfu, Ah kang juga mendapatkan idea untuk kostumnya dari watak pahlawan rancangan-rancangan televisyen yang ditontonnya.
Walau bagaimanapun dia mengakui meluncur sambil memakai pakaian yang berlapis-lapis bukanlah sesuatu yang mudah. Dia juga mengakui sering melakukan kesilapan pada awalnya kerana malu ditonton di khalayak ramai.
Cara unik persembahan papan luncur pemuda China itu telah memberikannya 6.4 juta pengikut di media sosial di samping ramai juga yang mengkritik persembahannya itu.