CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1588|Reply: 4

Perisai memperkukuh iman

[Copy link]
Post time 14-6-2021 10:30 AM | Show all posts |Read mode
Perisai memperkukuh iman

APABILA seorang Mukmin berkeyakinan Allah itu Pencipta alam sarwajagat maka sudah pastilah dia perlu menunaikan segala tuntutan syariat.
DARI sudut etimologi perkataan 'akidah dalam bahasa Arab diambil daripada perkataan 'aqada – ya'qidu – 'aqidatan yang secara etimologi ia bererti 'aqdan bererti simpul, ikatan, perjanjian dan kukuh.

Hubungan antara erti kata 'aqdan dan 'aqidah terserlah pada keyakinan yang tersimpul dengan kukuh di dalam hati, juga dari sudut ia bersifat mengikat dan memberi maksud adanya perjanjian antara seseorang yang beriktikad dengan apa yang diiktikadkan.

Daripada pengertian di atas sekiranya seseorang mengatakan: "Aku berjanji dengan si polan untuk berbuat begitu dan begini" maka dapatlah disimpulkan maksud perkataannya itu ialah "Aku terikat dengannya dengan ikatan yang kukuh untuk melakukan sesuatu." Sesuatu yang dijanjikan itu pula mestilah ditepati, tidak dimungkiri. Daripada pengertian ini dapatlah dinyatakan bahawa akidah itu adalah suatu janji yang kuat dan kukuh antara si hamba dengan Penciptanya yang mesti ditepati atau dilaksanakan.

Perkataan akidah juga boleh diertikan dengan sesuatu yang menguatkan serta mengukuhkan. Akidah daripada makna ini bererti sesuatu yang menguatkan serta mengukuhkan sikap dan pendirian orang yang mempunyai akidah tersebut. Seterusnya akidah ini menjadikan seseorang itu jauh daripada rasa lemah, terpelihara daripada kegagalan dan terselamat daripada kehancuran.

Menurut al-'Arusi, akidah daripada aspek terminologi yang lebih umum pula bermaksud semua iktikad yang dipegang dengan kukuh dan kuat oleh seseorang itu sama ada apa yang diiktikadkan itu benar atau salah. Ia dinamakan begitu kerana seseorang insan itu mengikat dengan kuat dan kemas atau menyimpul mati apa yang diiktikadkan dalam hatinya tanpa melihat kepada yang diiktikadkan itu benar atau batil. Tetapi akidah yang mengandungi kebatilan itu bukanlah yang dimaksudkan dengan akidah Islam.

Akidah Islam ialah akidah benar yang ditakrifkan al-Banna sebagai "beberapa perkara yang wajib diyakini oleh hati, yang jiwa rasa tenteram terhadapnya, juga yang menjadi keyakinan kepada dari, yang tidak bercampur sedikit pun dengan syak dan ragu." Akidah juga dinyatakan sebagai  perkara, masalah atau maklumat yang wajib dibenarkan (dipercayai) oleh seorang Muslim sebagai suatu pembenaran yang kukuh dan padu yang tiada keraguan padanya disertai dengan tunduk patuh dan penyerahan yang sepenuhnya.

Jadi, akidah seharusnya mempunyai ciri-ciri yang dibenarkan dan dipercayai, diyakini, tidak diragui, memberikan ketenteraman jiwa, menyebabkan tunduk patuh dan membawa kepada penyerahan yang sempurna.

Sehubungan dengan itu, seorang yang mempunyai akidah terhadap sesuatu perkara akan membenarkan dan mempercayai apa yang diiktikadkan. Sebagai contoh, apabila seseorang itu menerima dan membenarkan maklumat bahawa Allah itu pencipta alam ini, Dia Maha Berkuasa dan wajib ditaati maka dia wajib meyakini seratus peratus kepercayaan itu supaya maklumat itu menjadi akidah yang kukuh dan padu.

Ini kerana suatu pegangan tidak dinamakan akidah sekiranya ia tidak diyakini sepenuhnya atau terdapat keraguan padanya. Keyakinan yang penuh terhadap Allah itu pula akan membuatkan jiwa rasa tenteram walaupun ia perlu melaksanakan tuntutan syariat yang ada unsur taklif (bebanan) atau menjalani kehidupan yang ada kesulitan dan kesukaran. Ketenteraman jiwa akan wujud kerana akidah yang menjadi pegangannya itu benar dan selari dengan fitrah sucinya.

Tidak hanya setakat itu, bahkan seorang yang meyakini bahawa Allah itu wajib ditaati akan terus tunduk patuh dan menyerahkan jiwa raganya kepada Penciptanya. Di peringkat ini dapat dikesan bahawa akidah itu bukan semata-mata pegangan dan keyakinan kaku yang bertunjang dalam hati, sebaliknya akidah berperanan menolak dan menggerakkan seseorang ke arah merealisasikan apa yang diiktikadkan dalam bentuk perbuatan dan amalan.

Kenyataan ini selari dengan apa yang dinyatakan oleh 'Abd al-Rahman Habannakah bahawa akidah yang mantap itu dinamakan iman dan iman itu pula adalah unsur asas yang menggerakkan emosi juga mengarahkan keinginannya hingga akhirnya dia dapat mengawal perilakunya demi menjauhi segala keburukan dan mendekatkan diri kepada segala kebaikan di masa sekarang atau akan datang.

Definisi akidah yang dinyatakan di atas ialah definisi dengan makna iktikad yang berupa tindak balas jiwa atau keadaan yang dialami oleh jiwa. Manakala definisi ilmu akidah pula ialah ilmu yang dengannya mampu ditetapkan dan disabitkan akidah agama, yang diambil daripada dalil yang meyakinkan. Perbahasan akidah ini pula terkandung dalam tiga kategori besar iaitu al-Ilahiyyat (Ketuhanan), al-Nubuwwat (Kenabian) dan al-Sam'iyyat (perkara ghaib).

Al-Sayyid Sabiq menghuraikan kandungan perbahasan ilmu akidah  tersebut kepada enam perkara seperti berikut: Mengenal (ma'rifat) Allah SWT: Iaitu mengenal nama-Nya yang mulia dan sifat-Nya yang tinggi, mengenal bukti kewujudan-Nya dan kenyataan sifat keagungan-Nya di alam semesta ini, mengenal (ma'rifat) alam yang ada di sebalik alam yang nyata ini iaitu alam yang tidak dapat dilihat serta kekuatan kebaikan yang terdapat di dalamnya iaitu malaikat.

Juga mengenal kekuatan kejahatan iaitu iblis dan tenteranya yang terdiri daripada syaitan juga mengenal makhluk yang lain seperti jin dan roh yang wujud di alam ini, mengenal (ma'rifat) kitab Allah SWT yang diturunkan sebagai batas untuk mengetahui yang hak dan batil, kebaikan dan kejahatan, halal dan haram serta baik dan buruk, mengenal (ma'rifat) Nabi Allah dan rasul-rasul-Nya yang dipilih sebagai pembimbing hidayah, juga sebagai pemimpin seluruh makhluk ke arah yang hak, mengenal (ma'rifat) hari Akhirat dan peristiwa yang terjadi padanya seperti kebangkitan dari kubur, balasan pahala dan seksaan serta syurga dan neraka, mengenal (ma'rifat) takdir yang berjalan atas segala peraturan di alam ini sama ada dalam penciptaan atau aturan Allah SWT.

Dapat dirumuskan akidah Islam adalah akidah yang menunjukkan kepada keyakinan yang mantap, kukuh dan padu terhadap rukun iman yang enam. Akidah atau yang juga dinamakan iman itu bukan hanya sesuatu yang menetap kukuh di hati tanpa memainkan peranan.

Akidah sebenarnya turut bertindak sebagai penggerak dan juruarah seseorang yang berakidah atau beriman untuk memasuki medan amali atau praktikal. Dengan kata lain, akidah atau iman bukanlah hanya sekumpulan tasawur yang bersifat teori semata-mata yang terpisah daripada kehidupan praktikal seseorang, ia sebenarnya lebih daripada itu kerana ia memberi impak kepada perbuatan manusia.

Maka apabila seorang Mukmin berkeyakinan Allah itu Pencipta alam sarwajagat yang wajib disembah dan diberikan kepatuhan secara total maka sudah pastilah dia tidak teragak-agak lagi menunaikan segala tuntutan syariat dan menjauhi perkara yang dilarang. Begitu juga sekiranya dia tahu dan yakin bahawa musibah yang menimpanya itu memang telah tercatat dalam kitab takdir maka sudah tentu akidah dan imannya membuatnya bersedia menerima takdir tersebut dengan sabar, reda bahkan bersyukur kerana keyakinannya terhadap kebaikan di sebalik ketetapan Allah SWT. Sama-samalah kita menambahkan ilmu akidah dan berusaha memperbanyakkan amalan untuk memperkasakan iman sebagai perisai diri dalam mencari keredaan Ilahi.

Penulis Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,  Akademi Pengajian Islam,  Universiti Malaya (UM)

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 18-6-2021 01:17 PM | Show all posts
apa yg TT faham tentang Islam , Iman  and Ihsan dan kenapa hadis ini so important ?
Reply

Use magic Report

Post time 18-6-2021 01:19 PM | Show all posts
bagaimana nak memperkukuhkan konsep ihsan dari konsep ke amalan

i think i find it very challenging  like i know  itu lagha a bit  but that is kinda fun butt when would i latch on serious matters hehehe
Reply

Use magic Report

Post time 20-6-2021 04:32 PM | Show all posts
dan TT i nak tanya kenapa dalam bebanyak hal Jibrai tanya RasululLAH SAW tentang 3 benda ni

kat mana konsep IHSAN tu penting ?
Reply

Use magic Report

Post time 20-6-2021 04:33 PM | Show all posts
dalam media sosial macam  mane kita praktikkan konsep Ihsan ni ?

sebab relevan juga kan ?

so cam ne ye?
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 09:03 PM GMT+8 , Processed in 0.078992 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list