CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1331|Reply: 0

Akidah penyuluh hidup

[Copy link]
Post time 14-6-2021 10:32 AM | Show all posts |Read mode
Akidah penyuluh hidup


Gambar hiasan


ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang hakikat tauhid) ini.” (Surah al-A’raaf, ayat 172)

Apabila membaca firman itu, barangkali ada yang bertanya, “Betulkah kita pernah berdialog dengan Allah SWT di alam roh? Namun, kenapa kita tidak ingat langsung?”

Adakah otak mampu mengingati semula detik itu? Tidak, bukan?

Namun, kenapa kita masih percaya? Itu disebabkan terdapat bukti saintifik yang sangat jelas.

Begitu juga bukti kesahihan wahyu. Ia sangat jelas untuk kita percaya. Daripada persoalan asas yang diutarakan itu, terbukti otak kita hebat tetapi terbatas.

Otak kita memerlukan suluhan akidah daripada sumber wahyu. Kita sekarang berada di fasa ujian atau peperiksaan di alam dunia.

Sebelum masuk ke alam ini dan diuji, Allah SWT membekalkan jawapan dalam wahyu-Nya secara fitrah, logik akal, bisikan ilham yang baik dan sebagainya.

Jawapan itu akan ditunjukkan semula kepada kita di akhirat selepas tamat ujian di dunia ini.

Di dunia, kita diuji bagaimana kita memperdayakan akidah supaya ia benar-benar berfungsi untuk memandu kehidupan?

Dengan akidah, kita meyakini Allah wujud. Dengan akidah, keperibadian kita mengikut perilaku yang wajar kerana dipandu perintah dan keizinan Allah SWT.

Hakikatnya, kepercayaan mengenai kewujudan Allah SWT tertanam dalam jiwa seseorang secara fitrah.

Kita dilahirkan dalam fitrah iaitu beragama Islam. Bagaimana pula kita mampu menguatkan fitrah agar akidah mampu berfungsi sebagai kekuatan berhadapan cabaran zaman?

Bagaimana kita boleh menjadikan akidah penggerak motivasi untuk menjadi hamba dan khalifah Allah SWT yang lebih baik?

Kita perlu mengetahui pengertian akidah. Secara bahasa, akidah adalah simpulan yang kuat.

Simpulan itu adalah keyakinan kukuh tanpa boleh digugat oleh syak atau keraguan.

Menurut kitab Syarah Usul 20 Al-Imam Hasan Al-Banna yang berkait Rukun Faham dikarang Ali Abdul Halim Mahmud mengatakan, Islam adalah akidah dan prinsip meliputi unsur-unsur utama seluruh fenomena kehidupan.

Seorang Muslim wajib beriman dengannya dan meyakini kebenaran dan kesahihannya serta sanggup mati di jalannya.

Sayid Sabiq membahagikan pengertian akidah kepada enam perkara iaitu:

1. Makrifatullah atau mengenal Allah SWT.

Allah SWT mempunyai nama-nama dan sifat-sifat yang mengagumkan. Allah SWT juga menunjukkan tanda kewujudan-Nya melalui kejadian alam ini.

Kehebatan alam semakin terserlah dan membawa kita kepada hakikat adanya Pencipta apabila kita meneroka ilmu sains.

Saintis mengakui ilmu sains boleh ‘menerangkan’ kehebatan alam, namun tidak terdaya ‘menciptakan’ segala sistem sehebat sistem alam.

2. Mengenali alam ghaib.

Alam ghaib tidak dapat dilihat. Ia terdiri daripada paksi kebaikan yang diwakili Malaikat dan paksi kejahatan diwakili Iblis dan tenteranya iaitu jin dan syaitan.

3. Mengenali kitab Allah SWT.

Kitab diturunkan untuk menjadi kayu ukur kebaikan atau kejahatan, halal atau haram dan baik atau buruk.

4. Mengenali Rasul-rasul-Nya.

Mereka adalah insan pilihan Allah SWT pembawa risalah kebenaran ke sekalian alam.

5. Mengenali hari akhirat dan segala perkara berkait rapat dengannya seperti hari kebangkitan, pembalasan, balasan baik atau buruk serta syurga dan neraka.

6. Mengenali qadar (ketentuan Allah) yang menentukan sistem perjalanan alam sama ada dari sudut penciptaan atau pentadbirannya.

Dalam kitab Hadis 40 yang disyarahkan oleh Mustafa Abdul Rahman, akidah adalah kepercayaan hati, pengakuan lidah dan amal dengan segala rukun atau perintah.

Akidah yang berfungsi akan menerangi seluruh jiwa seseorang dengan iman. Iman pula terasa manis sehingga seseorang begitu mencintai dan mempertahankan imannya.

Iman memimpin seseorang ke arah kemuliaan dan ketinggian. Iman mencegah seseorang daripada terikat dengan penjara keduniaan yang merugikan.

Iman membentuk seseorang menjadi insan berperibadi teguh, bermotivasi tinggi, bahagia lagi membahagiakan orang lain.

Saat menghadapi ujian, iman mendorong seseorang untuk tabah dan terus kuat.

Itulah keperibadian unggul ditunjukkan Nabi dan rasul sehingga sanggup menerima rintangan demi memperjuangkan agama.

Mereka semua adalah tokoh pejuang akidah sepanjang zaman. Allah SWT berfirman: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedangkan mereka belum diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.”

Kita juga kerap mendengar seruan bersatu. Tidak dinafikan, kita menjadi lebih kuat apabila bersatu dalam sesebuah negara.

Kesatuan hati insan seluruh dunia lebih teguh di bawah simpulan akidah yang satu.

Simpulan itu membawa kepada persamaan hebat dengan meyakini Allah SWT satu-satunya Tuhan yang layak disembah.

Itulah kesatuan umat Islam sedunia tanpa mengira bangsa, negara dan warna kulit.

Ia akan benar-benar membentuk kekuatan. Pada masa sama, kita tidak memusuhi, bahkan menyantuni kewujudan agama lain.

Syukuri persamaan, raikan perbezaan. Tiada paksaan dalam agama, yang ada cuma ajakan dan pujukan.

Kesimpulannya, akidah adalah tunjang kesatuan. Allah SWT menegaskan tentang kepentingan menjaga akidah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah dan petunjuk.” (Surah al-An’am, ayat 82)

Allah SWT juga menyebut fungsi iman sebagai faktor diterimanya amalan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya.” (Surah al-Anbiya’, ayat 94)

Penulis ialah pendakwah
Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

16-4-2024 07:35 PM GMT+8 , Processed in 0.053575 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list